2012 - Daftar Pemilih Isu Dan Penjelasan

Page 1


DAFTAR PEMILIH ISU DAN PENJELASAN

10 Julai 2012


Isu 1 Wujud lebih tiga juta bukan pemastautin dalam Daftar Pemilih SPR SPR percaya apa yang dimaksudkan oleh pihak yang mendakwa wujud lebih tiga juta pemilih bukan pemastautin dalam Daftar Pemilih SPR adalah dimaksudkan kepada pemilih yang tidak tinggal di alamat mastautinnya iaitu alamat pendaftaran asal tempat mengundinya sepertimana yang tercatat dalam Daftar Pemilih Induk (DPI) SPR. SPR tidak menolak dakwaan tersebut memandangkan bahawa berdasarkan rekod pemilih yang ada, sememangnya didapati masih ramai pemilih yang tidak menukar alamat mengundi mereka walaupun mereka telah pun berpindah dan tidak lagi tinggal di alamat pendaftaran asal mereka itu. Hakikatnya, di negara ini ramai pengundi yang telah berpindah tempat bermastautin tetapi tidak membuat pertukaran alamat tempat mengundi mereka. Apa yang berlaku, pemilih ini berkemungkinan akan balik ke kawasan pendaftaran asal mereka untuk mengundi pada hari pengundian, atau mungkin tidak balik mengundi langsung disebabkan perjalanan yang jauh untuk kembali ke pusat pengundian asal mereka. Ketiadaan pemilih di alamat pengundian asal mereka untuk suatu tempoh yang panjang inilah yang mendorongkan beberapa pihak mentafsirkan pemilih berkenaan sebagai ‘bukan pemastautin’. Malah, bagi sesetengah pihak lain, mereka cederung untuk melabelkan pemilih ini sebagai ‘pengundi hantu’, semata-mata kerana pemilih ini tiba-tiba muncul pada hari pengundian ketika balik mengundi di kawasan pendaftaran asal mereka. Dalam konteks ini ingin SPR tegaskan bahawa SPR tidak mempunyai kuasa secara langsung untuk memaksa seseorang pemilih supaya menukarkan alamat pengundian mereka ke alamat baru jika mereka telah berpindah. Apa yang boleh dibuat oleh SPR pada masa ini adalah untuk menasihati setiap pemilih yang telah berpindah supaya menukar alamat masing-masing dan seterusnya memohon menukar pusat mengundi berdasarkan alamat terbaru mereka. Fakta sebenar yang wujud ialah seseorang pemilih bebas untuk mengekalkan alamat pengundiannya di alamat asal pendaftarannya 2


atau boleh memohon untuk berpindah ke alamat baru jika mereka ingin berbuat demikian. Selagi seseorang pemilih tidak memohon untuk berbuat demikian, SPR tidak mempunyai hak atau kuasa untuk membetulkan alamat tempat pengundian mereka. Sehubungan dengan ini juga, pemilih perlu menyedari bahawa dengan tindakan mereka menukar alamat kediaman mereka di Jabatan Pendaftaran Negara, ianya tidaklah secara automatik menyebabkan maklumat mereka dalam Daftar Pemilih dibetulkan oleh SPR. Dengan kata lain, ianya hanya boleh berlaku melalui adanya permohonan pertukaran alamat tempat mengundi yang dikemukakan oleh pemohon sendiri kepada SPR sepertimana yang diterangkan di atas. Justeru, berdasarkan penjelasan ini, SPR berpandangan bahawa dakwaan konon terdapatnya pemilih yang bukan pemastautin dalam daftar pemilih SPR bukan merupakan isu yang bercanggah dengan undang-undang dan tidak seharusnya ditimbulkan dan dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu dengan tujuan untuk mempertikaikan kesahihan dan kredibiliti daftar pemilih SPR.

Isu 2 Terdapat seramai kira-kira 42,000 pemilih awam yang tidak memperbaharui MyKad masih berada dalam Daftar Pemilih SPR 3Â Â


Di pihak SPR, usaha yang bersungguh-sungguh telah pun dilakukan melalui berbagai cara untuk menyelesaikan masalah kira-kira 42,000 pemilih awam yang tidak memperbaharui MyKad mereka sehingga menyebabkan maklumat terkini mereka tidak diketahui oleh SPR. Pameran nama-nama pemilih berkenaan pernah dibuat oleh SPR selama tiga bulan iaitu antara bulan Oktober hingga Disember 2011 dan disambung sebulan lagi pada bulan Januari 2012 atas permintaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya. Walaubagaimanapun, pameran tersebut tidak membuahkan hasil sebagaimana yang diharapkan. Di pihak Jabatan Pendaftaran Negara, sehingga awal Mei 2012, hanya seramai kira-kira 1,500 pemilih sahaja dilaporkan telah tampil menukarkan kad pengenalan lama mereka kepada MyKad manakala sebahagian yang lain telah mengemaskinikan rekod kematian waris masing-masing. Pada 8 Mei 2012, SPR, melalui Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Daftar Pemilih bersama-sama Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Pendaftaran Negara, telah dimaklumkan bahawa bagi baki kira-kira 40,500 pemilih awam yang berkenaan, rekod mereka disahkan sebagai masih berada dalam pengkalan data Jabatan Pendaftaran Negara dan dengan itu, mengikut undang-undang, tidak boleh digugurkan oleh SPR. Sehubungan ini, ingin SPR tegaskan kepada umum bahawa undangundang tidak membenarkan mana-mana nama dalam Daftar Pemilih dipotong sewenang-wenangnya tanpa pengesahan daripada pihak berwajib iaitu JPN, sama ada mereka telah meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan atau hilang kelayakan atas sebab-sebab lain seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, nama-nama bagi pemilih yang berada dalam kategori ini akan terus kekal berada di dalam Daftar Pemilih SPR bagi memastikan hak mereka sebagai pemilih terjamin sepenuhnya di bawah Perlembagaan Persekutuan. Pada waktu yang sama SPR akan terus berusaha untuk membuat semakan secara berterusan bagi mengemaskini fakta pemilih-pemilih berkenaan di dalam Daftar Pemilih.

4Â Â


Isu 3 Daftar Pemilih SPR mengandungi maklumat yang tidak konsisten antara jantina pemilih dengan kad pengenalan mereka Tidak dinafikan, wujud tanggapan umum selama ini di mana seorang pemilik MyKad lelaki akan diperuntukkan nombor MyKad yang mengandungi angka ganjil di akhir nombor MyKad mereka. Bagi pemegang MyKad wanita pula, mereka biasanya akan diperuntukkan dengan nombor MyKad berangka genap. Berhubung dakwaan konon wujudnya suatu keadaan yang tidak konsisten antara jantina pemilih dengan kad pengenalan mereka, SPR telah cuba mendapatkan penjelasan Jabatan Pendaftaran Negara mengenainya. Pihak JPN telah memaklumkan kepada SPR bahawa pengeluaran nombor kad pengenalan kepada seseorang warganegara itu tidak semestinya dibuat dengan memperuntukkan angka ganjil kepada lelaki manakala angka genap kepada wanita. Dengan kata lain, adalah sesuatu yang biasa sekiranya terdapat seseorang pemegang kad pengenalan lelaki akan menggunakan angka genap pada digit terakhir kad pengenalannya. Demikian juga bagi pemegang kad pengenalan wanita, mungkin terdapat di kalangan mereka yang menggunakan angka ganjil pada digit terakhir kad pengenalan mereka. Di pihak SPR, pendaftaran seseorang pemilih dibuat dengan berpandukan sepenuhnya kepada nombor kad pengenalan dan alamat seperti yang tertera di dalam kad pengenalan mereka. Selagi kad pengenalan yang dikemukakan kepada SPR adalah yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, sistem pendaftaran SPR akan menerimanya dan akan menggunakan maklumat yang tertera di atas kad pengenalan berkenaan sebagai maklumat yang sah bagi maksud penentuan alamat pendaftaran pemilih. Justeru itu, SPR berharap orang ramai memahami fakta sebenar di sebalik dakwaan seperti ini yang mana ianya dipercayai timbul disebabkan kurangnya kefahaman pihak-pihak tertentu terhadap prosedur kerja baik di pihak JPN yang bertanggungjawab dalam pengeluaran kad pengenalan kepada warganegara, mahupun di pihak SPR, yang bertanggungjawab dalam urusan pendaftaran pemilih. 5Â Â


Isu 4 Daftar Pemilih SPR masih mengandungi alamat pemilih yang tidak lengkap walhal mereka tinggal di negeri-negeri yang maju seperti Selangor dan Kuala Lumpur Adalah menjadi matlamat SPR untuk memiliki sebuah Daftar Pemilih yang mempunyai alamat yang lengkap dan terkini bagi kesemua lebih kurang 13 juta pemilih berdaftar di negara ini. Malangnya, keadaan yang berlaku di lapangan tidak mengizinkan SPR berbuat demikian. Umum mengetahui, di sebalik adanya kepesatan pembangunan dan proses perbandaran yang berlaku di beberapa buah negeri seperti Selangor dan Kuala Lumpur, masih terdapat kawasan-kawasan yang belum menikmati sepenuhnya arus perbandaran tersebut seperti di kawasan-kawasan setinggan dan kawasan tanah yang berstatus pegangan sementara. Di kawasan-kawasan seperti ini, masih wujud keadaan di mana sesebuah rumah tidak dapat dinomborkan kecuali sekadar menggunakan alamat jalan. Malah, masih terdapat apa yang disebut sebagai ‘alamat tumpang’ bila mana premis seperti kedai-kedai kopi dijadikan alamat tumpangan untuk tujuan surat menyurat penghuni bagi rumah-rumah yang berdekatan atau di dalam sesuatu kawasan berkenaan. Selain itu, berdasarkan kajian SPR, sebelum tahun 2002 di mana pendaftaran pemilih dibuat secara manual didapati ada berlaku kes-kes 6 Â


di mana semasa mengisi borang pendaftaran, pihak pemilih atau waris mereka atau mana-mana orang yang membantu menyempurnakan borang berkenaan, telah tidak mencatatkan alamat pemilih secara lengkap pada borang permohonan pendaftaran. SPR pada masa itu pula tidaklah menjadikan alamat lengkap sebagai suatu keutamaan semasa memproses permohonan pendaftaran kerana apa yang lebih diutamakan ialah pembentukan lokaliti dan seterusnya penetapan daerah mengundi bagi seseorang pemilih yang baru mendaftar. Selain itu, SPR juga turut mengambil kira faktor ketidak seragaman alamat yang wujud ketika itu terutama di kawasan luar bandar dan pinggir bandar yang rata-ratanya adalah bersifat terlalu umum . Pada masa ini, bagi alamat-alamat kediaman pemilih yang baru melalui fasa penambahbaikan kawasan, SPR akan berusaha untuk mengesan dan melengkapkan maklumat mereka di dalam Daftar Pemilih Induk. Sehubungan ini, SPR telah meningkatkan usaha bagi melengkapkan alamat pemilih-pemilih yang terlibat seperti dengan membuat semakan di kawasan-kawasan yang terlibat dan mewujudkan ruang khas di laman sesawang SPR bagi memberi peluang kepada pemilih untuk mengemaskinikan alamat masing-masing.

Isu 5: Terdapat pemilih yang mempunyai nama yang serupa dan kadang kala tarikh lahir yang sama dalam Daftar Pemilih SPR Dengan jumlah pemilih yang kini mencecah hampir 13 juta orang, adalah menjadi suatu fenomena biasa jika ditemui pemilih yang mempunyai nama yang serupa, malah kadang kala tarikh lahir yang sama, terutamanya dalam kalangan pemilih Melayu dan mereka yang beragama Islam. Kajian sepintas lalu yang dijalankan oleh SPR mendapati wujud beberapa nama yang mempunyai persamaan seratus peratus. Bagi nama Abdul Aziz bin Mohd Yusof misalnya, didapati seramai 15 pemilih mempunyai nama dan ejaan yang sama. Demikian juga bagi nama seperti Wan Ahmad bin Wan Omar, sejumlah 10 pemilih lain didapati turut mempunyai nama dan ejaan yang serupa. 7Â Â


Bagi kes-kes di mana nama pemilih mempunyai persamaan yang ketara, diikuti dengan tarikh lahir yang sama di antara mereka, kajian SPR mendapati kes-kes seumpama itu memang turut berlaku. Bagaimanapun setelah semakan dilakukan, SPR mendapati mereka bukanlah terdiri daripada pemilih yang sama seperti yang sering didakwa oleh pihak-pihak tertentu sebagai ‘clon’ atau ‘duplicate’.

Isu 6: Daftar pemilih SPR mengandungi ramai pemilih yang memegang kad pengenalan angka “71” Kod “71” adalah merupakan kod yang diberi kepada kad pengenalan bagi warganegara Malaysia yang lahir di luar negara dan juga rakyat asing yang memperoleh status warganegara Malaysia. Bagi SPR, sesiapa sahaja yang disahkan sebagai warganegara Malaysia melalui bukti kad pengenalan yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara, mereka adalah layak dan berhak untuk memohon didaftarkan sebagai pemilih dan menjadi pengundi dalam pilihan raya di negara ini. Bagi mereka yang bukan warganegara atau warga asing, adalah mustahil mereka dapat mendaftar sebagai pemilih. Ini disebabkan proses permohononan seseorang warganegara Malaysia yang layak akan dibuat melalui satu tapisan sistem komputer yang ketat dan perlu mengikut tatacara pemerosesan yang ditetapkan di bawah undangundang. Justeru itu, tidak timbul soal tentang siapa atau apakah latar 8


belakang seseorang warganegara itu apabila ia memohon untuk mendaftar sebagai pemilih jika dia mengemukakan kad pengenalan yang sah dan telah mencapai umur 21 tahun dan ke atas serta memenuhi syarat-syarat kelayakan lain yang ditetapkan di bawah Perlembagaan.

Isu 7: Daftar Pemilih SPR mengandungi ramai pemilih berumur 85 tahun dan ke atas, malah juga mereka yang berumur melebihi 100 tahun. Mengikut rekod SPR, masih ramai pemilih berumur 85 tahun dan ke atas terdapat dalam Daftar Pemilih SPR. Mereka ini layak untuk menjadi pengundi dalam pilihan raya, termasuklah PRU Ke-13 akan datang. Bagi SPR, faktor usia yang telah terlalu tua itu bukanlah suatu kreteria yang boleh digunapakai bagi tujuan menggugurkan sewenangwenangnya nama-nama mereka daripada senarai Daftar Pemilih Induk SPR. Sebarang tindakan bagi pemotongan nama seseorang pemilih berdaftar hanya dapat dibuat atas beberapa sebab seperti pemilih telah meninggal dunia mengikut pengesahan rekod di JPN atau pemilih telah dilucutkan taraf kewarganegaraannya oleh Kerajaan Malaysia. Justeru itu, walaupun umur seseorang pemilih itu telah melangkaui 100 tahun, undang-undang yang sedia ada tidak membolehkan SPR untuk memotong nama mereka sewenang-wenangnya semata-mata atas anggapan bahawa mereka mungkin telah meninggal dunia. Justeru itu, sekiranya mana-mana pihak mengetahui dan dapat membuktikan bahawa terdapat waris mereka yang telah meninggal dunia, SPR berharap mereka tampil ke JPN untuk mengemaskinikan rekod kematian berkenaan. Pihak JPN, selepas memperoleh sesuatu maklumat kematian, akan memaklumkan pula maklumat tersebut kepada SPR bagi tindakan pemotongan nama pemilih berkenaan. Dalam soal pengesahan rekod kematian seseorang warganegara, SPR bersandarkan sepenuhnya kepada maklumat yang sahih daripada pihak JPN bagi mengelak penipuan atau sebagainya. 9Â Â


Isu 8: Daftar Pemilih SPR mengandungi terlalu ramai pengundi pos dari kalangan isteri anggota tentera dan polis Mengikut peruntukan yang ditetapkan di bawah undang-undang, isteri atau suami kepada anggota angkatan tentera adalah berhak mengundi secara pos seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003, iaitu Peraturan 3(1)(a) “manamana orang yang telah mendaftarkan diri sebagai seorang pemilih Parlimen atau Negeri di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, dan dia ialah seorang pengundi tidak hadir, adalah berhak untuk mengundi sebagai pengundi pos�. Mengikut Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 itu juga, anggota polis dan pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) adalah golongan yang layak mengundi secara pos. Perkara ini disebut dengan jelas di bawah sub peraturan 3(1)(c) undang-undang tersebut. Bagi kedua-dua kategori pemilih di atas, prosedur memproses permohonan pendaftaran pengundi pos di buat secara teliti bagi mengelak berlakunya pendaftaran berganda di kalangan mereka di mana nama seseorang pengundi pos berkenaan dipastikan tidak akan wujud di dalam senarai pengundi awam. Bagaimanapun, berikutan adanya pindaan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) (Pindaan)(No. 2, 2012) yang telah diwartakan pada 27 April 2012 dan mula berkuat kuasa pada 30 April 2012, kesemua anggota tentera serta pasangan dan anggota polis serta pasangan Polis PGA akan menjadi pengundi awal. Bagi mana-mana anggota tentera dan polis (tidak termasuk pasangan) yang terpaksa melaksanakan tugasan operasi di kawasan yang berjauhan dari kawasan pengundiannya, mereka akan dibenarkan untuk memohon menjadi pengundi tidak hadir yang akan mengundi secara pos.

10Â Â


Isu 9: Daftar Pemilih SPR dari kalangan tentera dan polis yang baru didaftarkan terdiri daripada mereka yang melebihi umur kelayakan pengambilan sebagai anggota tentera/polis iaitu maksima 28 tahun. Tidak dinafikan, terdapat dalam Daftar Pemilih SPR pemilih dari kalangan tentera dan polis yang telah melebihi umur kelayakan pengambilan sebagai anggota bagi kedua-dua pasukan iaitu 28 tahun. Hal ini berlaku kerana di pihak tentera pernah berlaku pengambilan anggota pasukan tersebut dalam bentuk penyerapan daripada anggota Regimen Sempadan atau lebih dikenali sebagai anggota Wataniah. Mereka ini, semasa diserapkan masuk untuk menjadi anggota tentera, sedia melangkaui had umur kelayakan pengambilan. Bagi pasukan polis pula, kewujudan pemilih dari kalangan anggotanya yang melebihi had umur kelayakan pengambilan berlaku ekoran adanya langkah Polis DiRaja Malaysia dalam membuat pengambilan anggota dalam kalangan bekas anggota tentera yang telah tamat perkhidmatan jangka pendek. Mereka ini secara puratanya ketika memohon menjadi anggota polis adalah berumur melebihi 30 tahun. Selain itu, kedapatan juga dalam kalangan anggota tentera dan polis yang sememangnya lambat mendaftar sebagai pemilih setelah mereka menyertai perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia atau Polis DiRaja Malaysia. Ini secara langsung menampakkan seolah-olah ketika mendaftar sebagai pemilih, umur mereka telah sedia melangkaui umur pengambilan bagi kedua-dua perkhidmatan yang terlibat. Dalam keadaan-keadaan seperti di ataslah kemungkinan tercetusnya dakwaan adanya anggota tentera atau polis masih diambil untuk 11Â Â


berkhidmat walaupun telah melepasi umur pengambilan. Ini, jelasnya, adalah berpunca daripada bentuk kemasukan mereka yang sedemikian rupa ke dalam perkhidmatan-perkhidmatan berkenaan.

Isu 10: Daftar Pemilih SPR masih mengandungi ramai pemilih dari kalangan anggota tentera dan polis yang telah pun melepasi umur persaraan Undang-undang SPR menetapkan bahawa sebarang pindaan maklumat terhadap kedudukan seseorang pemilih perlu dilakukan sendiri oleh pemilih berkenaan. SPR, jelasnya, tidak boleh melakukan pindaan sewenang-wenangnya ke atas maklumat pemilih tanpa menerima permohonan daripada pemilih yang berkenaan. Dalam konteks ini, sekiranya terdapat anggota tentera atau polis yang telah pun ditamatkan perkhidmatan tetapi tidak memohon membuat pembetulan maklumat pemilih mereka, maka nama-nama mereka akan terus berada dalam keadaan sedia ada di dalam senarai pemilih SPR. Dalam kes sekiranya seseorang anggota tentera atau polis telah bersara tetapi tidak memohon membuat pertukaran status mereka daripada Pemilih Tidak Hadir (PTH) kepada pemilih biasa, maka mereka tidak akan dapat mengundi sebagai pemilih biasa kerana nama mereka masih berada dalam senarai PTH. Dalam keadaan seperti ini, pemilih berkenaan sebenarnya berada dalam keadaan yang rugi kerana mereka tidak akan dapat mengundi baik bagi mana-mana kategori. Mereka tidak akan dapat mengundi selaku PTH kerana telah menamatkan perkhidmatan sama ada sebagai tentera atau polis. Sebaliknya, mereka juga tidak akan dapat mengundi sebagai pemilih awam disebabkan nama mereka masih berada dalam daftar PTH. Di pihak Angkatan Tentera Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia, usaha gigih kini dilakukan bagi memastikan setiap anggota mereka yang bersara segera memohon untuk membuat pertukaran status pengundian mereka daripada status PTH kepada status pengundi awam. Sehubungan ini, bahagian saraan kedua-dua perkhidmatan difahamkan, kini mula menyertakan bersama Borang A (Permohonan Pendaftaran) 12Â Â


kepada mana-mana anggota mereka yang memasuki umur persaraan bagi membolehkan mereka memohon perubahan status mengundi daripada status PTH kepada pengundi awam. Dengan cara itu, diharapkan masalah terdapatnya anggota tentera atau polis yang gagal menukarkan status pemilih mereka, biarpun telah lama bersara, akan dapat dikurangkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia

13Â Â


Turn static files into dynamic content formats.

Create a flipbook
Issuu converts static files into: digital portfolios, online yearbooks, online catalogs, digital photo albums and more. Sign up and create your flipbook.