ARCA PANGGILAN PULAU IKATAN ANTARA SENIMAN DAN BAJAU LAUT PULAU SILK
Jurufotografi: Ali Shamsul Bahar
Pada 16 -20 Jun 2022 lalu 18 orang seniman telah menyertai projek rintis yang diberi nama PANGGILAN PULAU disebuah pulau kecil di Kudat, Sabah. Pulau Silk bersaiz 3km x 3km persegi, berpenduduk tidak melebihi 100 orang. Acara ini dianjurkan oleh SILA Kuantan dan PeRUPA Malaysia, dengan kerjasama Unisel dam Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Salah seorang anak Bajau Laut Pulau Silk iaitu Dr Zahimie Sahibil adalah orang yang membantu dari awal hingga akhir kumpulan seniman sepanjang berada di pulau tersebut.
Dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu peserta perlu mengharungi 5 jam perjalanan darat ke Kampung Mapan-Mapan, Kudat. Dari Kg.Mapan-Mapan pula perlu menaiki bot 1 jam perjalanan ke Kampung Lagaton, Pulau Silk. Sebuah pulau yang indah, penduduknya masih mengekalkan kaedah tradisional dalam kehidupan seharian dan yang penting adat, budaya dan agama masih digenggam erat oleh keseluruhan penduduknya. Aktiviti utama mereka ialah menjadi nelayan dan mengusahakan kebun untuk sumber makanan harian. Tenaga elektrik diperolehi dari generator manakala sumber air minuman dan masakan dari tadahan air hujan dan telaga. Ada juga penduduk yang mahir menganyam tikar mengkuang untuk kegunaan sendiri dan jualan. Warga tua Pulau Silk yang menyimpan beribu pengalaman
Warga Pulau Silk dengan sepenuh hati menerima kunjungan seniman dari pelbagai negeri dan negara.
Dr Ali Shamsul Bahar jurufotografi profesional sentiasa teruja dengan subjek matter yang terdapat di Kg. Lagaton
Anak Bajau Laut tekun membuat arca dari bahan kayu ais krim.
AKTIVITI SOSIAL DAN SENI VISUAL Acara pertama yang dilakukan ialah penyerahan hadiah dan cederahati kepada penduduk dan pihak surau. Wang yang diderma oleh orang ramai telah diguna membeli barang keperluan seperti generator, solar, sejadah, tudung wanita, telekung, quran dan kitab mukadam. Semua barang diserahkan dan diterima dalam keadaan terharu kerana sumbangan tersebut amat bermakna kepada penduduk terutama dalam mengimarah amalan beragama dalam pulau tersebut. Sesi kedua ialah aktiviti seni bersama penduduk. Sanae Yamada peserta dari Jepun mengelola pembelajaran membuat rantai manik, manakala Cikgu Norlita Abu Seman mengendalikan kelas lukisan dan arca bersama kanak-kanak. Sejumlah 35 orang wanita dan anak-anak Bajau Laut terlibat dalam kedua sesi. Dari aktiviti ini semua yang terlibat iaitu seniman dan penduduk mengaktifkan sifat saling membantu, memberi dan menerima, ajar dan mengajar serta kasih sayang sesama insan.
Jeti utama untuk akses ke Kampung Lagaton
Kelas membuat rantai manik untuk wanita dewasa
Selain aktiviti yang disusun oleh pihak seniman, pihak penduduk juga menyediakan aktiviti mereka. Antaranya ialah merawai, menyelam di laut jernih, melawat sekitar pulau dan mengadakan kenduri.
Kelas lukisan dan arca untuk kanak-kanak
Senario indah mandi telaga
Kurau 20 kg, hasil merawai untuk juadah makan malam. Lawatan ke pulau-pulau kecil di sekitar Pulau Silk
ARCA PANGGILAN PULAU Sesuatu yang bermakna perlu ditinggalkan sebelum pulang. Ianya bukan sahaja sebagai tanda kenangan tetapi tanda ikatan antara seniman dan penduduk kampung Lagaton. Sebuah arca telah dibina dalam masa 2 hari, dengan menggunakan bahan kayu bakau, papan terpakai, dan cat. Arca berbentuk piramid dikukuhkan dengan menanam batang bakau sedalam 3 kaki ke dalam pasir. Kayu- kayu yang telah ditulis nama oleh masing-masing seniman dipaku kepada struktur binaan supaya melekat dan memegang antara satu sama lain. Akhirnya terbina sebuah arca yang berbentuk piramid runcing menuju hala langit sebagai simbol bahawa acara singkat itu membawa interpretasi saling kebersamaan, bantu-membantu, yang kecil dan yang besar semua berperanan, dan ‘menghala ke langit’ sudah tentu sebagai hamba kita semua dalam ‘perjalanan’ menuju kepada Allah yang Esa. Hablum minannashubungan sesama insan, manakala Hablum minallah – hubungan dengan Allah jangan dilupa untuk mencapai kejayaan hakiki dunia dan akhirat.
Sukairi Shahri menunjuk ajar anak Bajau Laut melukis di atas kayu arca.
Sanae Yamada, peserta dari Jepun teruja bergambar di samping arca Panggilan Pulau.
Faktor alami pasang surut air laut yang menenggelamkan kaki ‘piramid nama’ pada ketika air pasang akan mewujudkan kesan lebih dramatik yang memberi kesan emosi. Kesan emosi pula bergantung pada ketika apa ia dilihat. Barangkali ia dibadai ribut, di tenggelam air pasang besar, bahkan mungkin juga akan kekeringan dimusim panas. Biarkan Allah menjaganya, sudah pasti Dia memberi yang terbaik. Kesemua seniman merasa amat berterima kasih atas layanan Prof Dr Zaimie, Andry Chin dan semua penduduk kampung.
Seniman pulang membawa kenangan dan meninggalkan arca Panggilan Pulau sebagai tanda sahabat, tanda ikatan dan tanda persaudaraan.
Belakang: Dr Ali Shamsul bahar, Qhazril Qhazwan, Radzuan Mat Diah, Raduan Norudin, Dr James, Sukeri Ahmad, Sanae Yamada, Jennifer, Fazz Ramli, Adlin Junita, Enah Samad, Norlita Abu Seman. Depan: Zaim Durulaman, A Zaki Hadri, Dr Zaimie Sahibil, Sukairi Shahri, Abdullah Jones, Abu Jalal Sarimon.
Dibina dalam masa 2 hari ketika berada di Pulau Silk.