PANDUAN MENANAM LIMAU BALI LIMAU BALI (Citrus grandis (L) Osbeck) Limau Bali adalah buah yang terbesar dalam kumpulan citrus. Ia berasal dari kawasan Asia Tenggara terutamanya Indonesia, China dan Thailand. Di Malaysia, limau ini dikenali juga sebagai Limau Besar atau Limau Betawi. Jenis Klon: • PO 51 Buah limau bali ini popular dengan nama 'Shathing' berasal dari mukim Rompin, Negeri Sembilan dan didaftar pada 1 Jun 1978. Buah bersaiz sederhana dan bentuk buah membulat dan leper di bahagian bawah. Kulit berwarna kuning kehijauan. Rasanya manis, kelat sedikit dan beraroma. Isi berwarna putih dan mengandungi banyak air. • PO 52 Limau bali ini popular dengan gelaran Limau Tambun. Berasal dari Tambun, Ipoh, Perak dan didaftarkan pada 30 Jun 1984. Buahnya bersaiz sederhana besar, bentuknya membulat dan meleper di bahagian bawah dan berkulit tipis. Warna kulit hijau kekuningan bila masak. Isi berwarna merah jambu, sangat berjus dan rasanya manis. Bilangan bijinya sedikit. • Melo Mas Dikeluarkan oleh MARDI. Buah ini bersaiz kecil hingga sederhana dengan beratnya anggaran 1.0-1.2 kg. Bentuk buah agak bulat dan kulit mudah ditanggal. Kulitnya nipis dan berwarna hijau kekuningan bila matang dan terdapat bulu halus di permukaannya. Isinya putih kuning dengan samar-samar merah jambu dan kurang berserabut, kandungan gula tinggi, asidnya rendah dan tidak ada rasa pahit selepas dimakan.
Penanaman Limau Bali: Limau bali sesuai ditanam di kawasan rendah beriklim tropika. Taburan hujan yang sesuai untuk tanaman ini ialah antara 1000-2000 mm setahun manakala suhu yang optimum ialah diantara 23-30oC. Tanaman ini memerlukan banyak cahaya matahari untuk permulaan pembungaan serta pembentukan warna buah. Limau bali biasanya dibiak dengan cara tut. Kaedah ini kurang baik kerana penyakit seperti phythopthora dan penyakit virus lain mudah berjangkit melalui ranting yang ditut. Ranting yang dijangkiti virus juga sukar ditentukan. Untuk mengatasi masalah ini adalah disyorkan tanaman limau bali dibiak secara cantuman. Anak pokok yang diguna mestilah sihat, bebas daripada serangga dan penyakit. Ini kerana tanaman limau bali senang dijangkiti penyakit seperti tristeza dan phythopthora. Oleh itu pemilihan baka untuk pokok penanti, sumber mata tunas dan cara pembiakan perlu ditentukan terlebih dahulu. •
Penyediaan pokok penanti:
Biji benih yang didapati dari jenis yang dipilih dibasuh bersih dari pulpa. Untuk menghapuskan kulat biji benih direndam dalam air suam pada 52oC selama 10 minit. Biji benih kemudian disejukkan dalam air dan dikeringkan selama 1 jam sebelum digaulkan dengan racun kulat seperti thiram atau captan untuk mengelakkan dari berkulat. Selepas itu biji benih disemai di dalam kotak semaian sementara. Seterusnya diletakkan di permukaan tanah dan ditutup dengan lapisan pasir setebal 3-4 cm. Anak benih yang telah mencapai ketinggian 15-18 cm boleh diubah ke dalam polibeg berukuran 20 cm x 30 cm. Anak benih ini sedia dicantum apabila lilitan batangnya mencapai tahap sebesar batang pensil iaitu apabila mencapai umur 6 bulan. •
Kaedah Cantuman:
Anak benih dicantum dengan menggunakan kaedah cantuman tunas kepingan (patch budding). Dalam kaedah ini kulit batang pokok (1.0 cm x 3.0 cm) dituris dan ditanggalkan dari atas. Kemudian satu kepingan mata tunas daripada klon terpilih diselitkan ke dalam tapak tersebut. Cantuman ini diikat dengan pita plastik. Tiga minggu selepas cantuman ini dibuat, pita plastik dibuka dan sekiranya mata tunas masih hijau, ini bermakna cantuman telah berjaya. Pokok penanti kemudian dicantas lebih kurang 4.0-5.0 cm dari atas tapak cantuman untuk menggalakkan pemecahan dan tumbesaran mata tunas. Pokok cantuman sesuai diubah ke ladang apabila berumur di antara 2-3 bulan. Semua tunas air yang tumbuh daripada pokok penanti hendaklah dibuang. Penyediaan Kawasan: Keadaan permukaan tanah hendaklah rata supaya hujan tidak bertakung dan memudahkan operasi jentera dan sistem pengairan. Bagi kawasan di lereng bukit, teres kontor perlu dibuat. Lebar teres hendak tidak kurang daripada 3 m untuk pertumbuhan akar yang baik pada peringkat pokok matang. Tanah untuk dusun buah-buahan, hanya dibajak sedalam 30 cm mengikut barisan yang hendak ditanam. Barisan ini akan digemburkan dengan pemutar. Menggali lubang boleh dibuat dengan menggunakan jentera gerudi yang dipasang pada traktor. Penaman dengan penutup bumi pada kadar 5-6 kg/ha. pada nisbah 5:4:1 (Calopoganium mucunoides : Pueraria phaseloides : Calopogonium caereleum) atau nisbah 9:1 (Pueraria javanica : Calopogonium caereieum) digalakkan untuk kawalan rumpai pada peringkat juvana iaitu selama 4-5 tahun. Penanaman di Ladang: Penanaman dilakukan pada awal musim hujan bagi mengelakkan risiko anak pokok mati selepas ditanam. Sebenarnya penanaman boleh dilakukan bila-bila masa sahaja sekiranya pengurusan dan penjagaan yang sempurna diberi sepenuhnya. Anak benih dalam polibeg perlu disiram air sebelum diubah ke ladang. Lubang sebesar polibeg dibuat semula di tengah-tengah lubang tersebut. Polibeg ditanggal perlahan-lahan tanpa merosakkan akar anak benih tersebut dan letakkannya di dalam lubang yang telah disediakan. Lubang tanaman hendaklah ditimbus dan dipadatkan dengan segera. Sokongan dengan kayu pancang adalah perlu bagi memastikan pertumbuhan yang tegak. Bahan naungan sementara seperti daun kelapa kering disediakan bagi memastikan anakanak pokok tidak mengalami tekanan kekurangan air yang serius. Pemangkasan:
•
Cantasan Bentuk:
Limau bali memerlukan dua jenis cantasan iaitu cantasan bentuk dan cantasan penjagaan. Bila pokok berusia 6 bulan, pokok dibiarkan tumbuh dengan satu batang utama setinggi 1.5 m. Di awal musim hujan, batang utama dipangkas pada paras 1 m untuk menggalakkan pengeluaran cabang. Batang pokok diikat pada kayu pancang supaya pokok tumbuh tegak. Apabila beberapa tunas tumbuh di batang utama, pilih 4 batang yang agak teguh dan seimbang dan buang yang selebihnya. Tunas-tunas tadi tumbuh menjadi cabang pertama dan seterusnya membentuk batang pokok. Apabila kesemua 4 cabang pertama telah mencapai 1.5m panjang, ia dicantas semula pada jarak 1 m dari batang utama. Tunas-tunas baru akan tumbuh dan pilih tunas-tunas yang menghala keluar untuk disimpan. Gunting tunas yang tumbuh menghala ke arah dalam pokok untuk memberi bentuk pokok 'terbuka tengah'. Bentuk pokok yang seimbang dengan ruang dahan utama yang lapang akan mendapat pengudaraan dan cahaya matahari yang mencukupi untuk pokok. Pemangkasan keseluruhan masih perlu diteruskan dua kali setahun sehingga pokok menghasilkan buah. Tunas-tunas air serta dahan berpenyakit dan cedera hendaklah digunting. •
Cantasan Penjagaan (pokok dewasa):
Pemangkasan seterusnya dibuat selepas pengeluaran hasil pertama. Potong dahandahan yang melentur serta mencecah tanah. Gunting semua tunas air serta dahan yang menegak ke atas dan yang tumbuh menghala ke dalam pokok. Buang dahandahan yang mati dan berpenyakit hingga tanda-tanda mati atau penyakit tiada kelihatan pada dahan tersebut. Kemudian sapukan cat ke atas keratan tersebut untuk mengelakkan jangkitan merebak. Pokok limau bali yang matang boleh dijadualkan untuk berbunga sehingga 4 kali setahun. Ini boleh dilakukan dengan membuat pemangkasan khusus untuk tujuan ini. Pilih ranting yang matang dan gunting sebelum buku ruas. Berhentikan pengairan kepada pokok buat sementara bagi menggalakkan pengeluaran bunga. Empat minggu selepas pemangkasan bunga akan keluar sepenuhnya. Buah boleh dipetik 6 bulan dari tarikh bunga kembang. Bagi pokok limau yang telah mula berbuah penjarangan buah amat digalakkan. Amalan yang sesuai adalah dengan meninggalkan hanya satu buah sahaja pada setiap tangkai. Penjarangan ini dilakukan apabila buah mencapai saiz sebesar bola pingpong. Ikat kertas pada tangkai buah pada jarak 8 cm dari buah. Ini adalah untuk mengelak kertas dari melekat pada kulit buah. Pembalutan buah akan mengelakkan serangan lalat buah. Pemangkasan seterusnya ialah selepas pengutipan hasi. Cantas semua tunas air dan tangkai buah yang sama serta dahan-dahan yang mati dari berpenyakit. Sila lihat panduan cantuman dan pangkasan
o
pokok o
Mencantas / memangkas pokok
Pembajaan:
Baja organik adalah perlu. Baja kimia juga diberi 3.4 kali setahun dengan menabur di sekeliling pokok dari pangkal pokok hingga hujung kanopi. Pengurusan Air: Dusun limau bali biasanya menggunakan sistem pengairan titis pada kadar 2.5 liter sehari untuk anak pokok yang baru ditanam di ladang dan 10-20 liter sehari untuk pokok matang. Kematangan dan Pengutipan Hasil 1. Penghasilan Pokok limau bali mula mengeluarkan buah pada umur 3 tahun tetapi hasil yang maksimum akan tercapai dalam masa 8-10 tahun. Pada amnya, pokok yang sihat boleh mengeluarkan lebih kurang 100-200 biji setahun dengan 60-80 biji/pokok/bulan dalam masa musim kemuncak dan hanya 10-20 biji/pokok/bulan pada musim melawas. 2. Musim Buah Setelah matang, pokok limau bali akan berbunga dan berbuah sepanjang tahun. Walau bagaimanapun, pengeluaran buah dijadualkan mengikut musim perayaan. Tahun Baru Cina dan perayaan Kuih Bulan iaitu pada bulan Februari, Ogos dan September. 3. Penjarangan Buah Setangkai bunga boleh mengeluarkan 3-6 biji buah. Selepas sebulan hanya 1-2 biji buah sahaja ditinggalkan iaitu mengikut saiz cabang. Untuk dahan yang kuat dan besar, bergaris pusat 2 cm ke atas biasanya dijumpai di tengah kanopi, 2 biji buah/tangkai ditinggalkan sementara bagi ranting pada hujung kanopi yang biasanya lebih kecil hanya 1 biji buah/tangkai ditinggalkan. Buah-buah ini dibungkus apabila ia mencapai garis pusat 6-8 cm atau sebesar bola pingpong.
4. Kematangan Buah Jarak masa dari pengeluaran bunga hingga matang ialah 6 bulan. Buah yang matang dikenali dari kulit yang licin berbintik hijau kekuningan atau hijau perang. Bulu-bulu yang terdapat pada kulit akan hilang apabila buah matang. Indeks kematangan buah adalah seperti berikut:Indeks 1 Indeks 2 Indeks 3 Indeks 4 Indeks 5 Indeks 6 -
Belum matang. Keseluruhan permukaan kulit berwarna hijau tua sepenuhnya. Permulaan matang. Permukaan kulit berwarna hijau muda. Matang. Permukaan kulit berwarna hijau meliputi 85% dan warna kuning 15%. Permulaan masak. Permukaan kulit berwarna kuning meliputi 60% dan warna hijau 40%. Masak. Permukaan kulit berwarna kuning meliputi 80% dan warna hijau 20%. Terlalu masak. Permukaan kulit berwarna kuning oren 100%.
5. Pengutipan Hasil Buah dipetik dengan menggunakan gunting bagi memotong tangkainya. Buah yang dipetik diletakkan dalam bakul atau raga. Berat sebiji buah limau bali ialah diantara 1-3 kilogram. Buah yang dipotong dibiarkan bertangkai sepanjang 5-7 cm untuk
dihantar ke pusat pembungkusan. 6. Pengendalian di Pusat Pembungkusan Di pusat pembungkusan, beberapa aktiviti dijalankan seperti memilih, membasuh, mengering, menggred dan menyimpan. Semasa pemilihan, buah yang elok dant tidak berpenyakit diasingkan. Selepas itu buah dibasuh bersih dan segala kekotoran yang melekat pada kulit dibuang dan dikeringkan. Penggredan dilakukan berasaskan saiz, kebersihan dan rupa bentuk. Pada tahun keempat, limau bali boleh menghasilkan sebanyak 1,500 biji buah sehektar. Hasilnya meningkat tahun demi tahun dan mencapai hasil tertinggi sebanyak 9,600 biji buah pada tahun kelima belas. Selepas itu, hasilnya menurun sedikit kerana dianggarkan sebanyak 30% pokok akan mati akibat penyakit. Harga limau bali di ladang bergantung kepada saiz buah. Dengan adanya pengurusan ladang yang baik, lebih kurang 30% daripada hasil pengeluarannya boleh mendapat harga gred A (saiz besar), 50% harga gred B (saiz sederhana) dan baki harga gred C (saiz kecil). PENGENDALIAN LEPAS TUAI 1. Pengendalian di Ladang Buah limau bali yang dipotong dibiarkan bertangkai sepanajng 5-7 cm dan dimasukkan ke dalam bakul untuk pembungkusan. 2. Pengendalian di Pusat Pembungkusan Di sini beberapa aktiviti seperti memilih, membasuh, mengering, menggred dan penyimpanan dijalankan. Semasa pemilihan buah yang elok dan tidak berpenyakit diasingkan. Selepas itu buah dibasuh bersih dan segala kekotoran yang melekat pada kulit dibuang dan seterusnya buah dikering diatas para atau rak. Gred A - saiz buah >62 cm Gred B - saiz buah 57-62 cm Gred C - saiz buah <67 cm 3. Penyimpanan Hasil Buah limau bali yang telah dipetik dan digred boleh disimpan selama 1-2 bulan dalam bilik yang mempunyai pengudaraan yang baik.