“Depa tak tau” Secawan teh kurang manis ku letakkan di atas meja bulat di taman. Leka dia membaca coretan-coretan di Utusan Malaysia tanpa menyedari kehadiran aku di sisinya. Aku gembira melihat dia begitu. Tenang. Kadang-kadang lucu pula melihat kelibat dia membaca kisah-kisah yang dibacanya. Kadang-kadang menggeleng-geleng; adakalanya terdengar dengusan; tak kurang juga ketawa kecil. Lamunanku dikejutkan oleh batuk kecil Babahku. “Minum air tu, Babah” pelawaku. “Oh, dah sampai rupanya. Awat tak bagitau?” selar ayah. Pelat Kedahnya masih menebal walaupun lebih 30 tahun kami tinggal di pinggir Selayang ini. “Apa yang marah sangat tu?” tanyaku setelah melihat dia mendengus demi helaian muka surat khabar diselak. “Ini. Cerita akhbar hari ni. Along dah baca? Banyak betul cerita buruk mengenai polis disebarkan pihak tak bertanggungjawab. Seolah-olah tiada apa yang betul dilakukan oleh kami, pihak berkuasa ni. Buat ni salah, buat tu salah. Sedangkan depa tak tau apa yang sebenarnya berlaku di luar sana tu. Orang ramai pun satu. Apa yang dengar, terus percaya. Sepatutnya selidik, uji dan bandingkan dulu. Bukan main share, retweet atau post saja” panjang bebel ayat. Memang nalurinya cukup mudah tersentuh apabila ada cerita-cerita mengenai kepolisian. Mendengar kata kami juga cukup sudah menggambarkan bagaimana kerjaya itu sudah menjadi darah dagingnya walau sudah hampir lima tahun dia menggantung seragam rasmi itu. Dia Sarjan Hisham, atau Tuan Hisham yang dikenali oleh sesiapa yang lama mengenalinya. Baik di kedai kopi, balai raya, mahupun di kejiranan, semua masih mesra memanggilnya sarjan, atau tuan. Kebelakangan ini, Babah memang banyak mengeluh mengenai nasib pihak polis yang menjadi serangan pihak yang sengaja menyalahkan pihak polis demi kemajuan politik mereka. Saban hari, media tidak henti-henti menyiarkan cerita-cerita buruk mengenai pihak polis, walau sebenarnya yang melakukannya hanya sebilangan orang. Inilah yang dikata orang, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Namun begitu, aku harap masyarakat masih ingat peranan dan jasa polis yang berpanas berhujan selama ini. Hanya kami, keluarga polis yang benar-benar tahu perit jerih membesar dalam sebuah keluarga seorang anggota polis.
Aku Mahu Jadi Polis Jam sudah menunjukkan pukul 7 pagi. Hari ini hari pertama adikku di Sekolah Kebangsaan Felda Lok Heng. Semua buku dan alat tulis telah kukemas dan letakkan di sisi katil. Kini ku telah selesai memakai kasut. Namun, kelibat mama dan adikku belum juga muncul. “Mama, cepatlah! Nanti kalau Along lewat nanti tentu didenda Cikgu Azri!” bentakku. Mama segera muncul dari muka pintu sambil mengheret adikku. Rupanya si Tasya meragam tak mahu ke sekolah. “Adik, jangan takut. Nanti kalau ada orang kacau, adik cakap pada kakak. Kalau tak pun, adik beritahu adik ni siapa, adik siapa. Mesti tak ada siapa yang berani ganggu” pujukku. “Amboi! Along di sekolah dah jadi gangster ke? Jangan cari pasal, Along. Along tu perempuan. Lagi pulak, Cikgu Azri tu kawan baik Babah. Nanti sampai cerita pada Babah, Along juga yang teruk”, pesan mama. “Apalah mama ni. Along ni kan Penolong Pengawas sesi petang. Kalau Along tak laporkan salah laku murid-murid yang membuli murid-murid lain, siapa lagi. Lagipun, Babah kan selalu pesan, berani kerana benar, takut kerana salah”, kataku mempertahankan diri. Ibu hanya menjeling. Ku tahu maksud jelingan itu. Anak Babah.
Babah tiada di rumah hari ini untuk menghantar aku dan adik. Kami semua akur dengan peranan Babah yang mengkehendakinya sering keluar ke sana sini. Namun begitu, terdetik jua perasaan cemburu melihat kawan-kawan yang dihantar oleh ayah mereka. Alangkah indahnya jika Babah menghantarku ke sekolah dalam pakaian seragam lengkapnya. Sudah tentu kawankawan akan kagum melihat segaknya Babahku.
Walaubagaimanapun, aku selalu ingat pesan Babah – “Jaga adik dan mama. Sekarang Babah keluar, Along kena jadi ketua keluarga�. Jesteru, aku bersemangat untuk memastikan Tasya yang merengek-rengek dipimpin ibu kekal di sekolah. Tanggungjawab yang diberikan oleh ayah akan kutunaikan sebaik mungkin. Sejak kecil lagi, Babah selalu berpesan, kalau lembu diikat pada talinya, manusia berpegang pada janjinya. Kedatanganku disambut riang Irfan yang menunggu di tepi pintu kelas. Memang sejak di Tahun Satu, aku lebih senang berkawan dengan Irfan, Ketua Pengawas sesi petang. Senyuman manis itu menyenangkanku. Keterampilannya juga sama sepertiku. Kami lantang bersuara, aktif bersukan dan yang paling penting, kami berdua anak polis. Aku tidak kisah ejekan nakal sesetengah murid-murid yang padaku tidak lain, tidak bukan hanyalah dengki terhadap kami. Sudah pelbagai gelaran diberi; pasangan bercintalah, merpati sejoli lah, belangkas lah. Paling teruk sekali tentulah digelar sebagai pasangan gila kuasa. Namun begitu, aku tak pernah kisah semua itu, kerana mengingatkan kata Babah; perjuangan menegakkan kebenaran bukanlah sesuatu yang mudah. Nabi dan Rasul pada zaman dahulu pun diazab dan dihina caci oleh kaum mereka sendiri. Malah, ada yang dimusuhi oleh darah daging mereka sendiri. Irfan tidak seperti kawan-kawanku yang lain. Aku tidak suka kawan-kawan perempuan yang suka merungut. Cengeng! Aku juga sukar merapatkan diri dengan murid-murid lelaki sebayaku. Mereka gemar berangan-angan ingin menunjukkan siapa lebih hebat, siapa lebih jaguh, tetapi dalam hal-hal yang negatif seperti merempit, bersosial bebas, melepak dan macam-macam lagi. Mungkin juga pengaruh negatif filem-filem dan media pada zaman itu. Sebelum masuk ke kelas, sempat aku menoleh ke Tasya. Nampaknya sudah berjumpa kawan-kawannya dari tadika lamanya. Ibu juga sudah lama pulang. Aku melambaikan tangan kepada Tasya yang sedang leka bermain. Tasya melambai kepadaku sebelum aku segera ke kelas 3 Bestari melihatkan Puan Norina sudah sampai ke kelas. Sudah tiada tangisan di matanya. Hmmm, macam tu lah adik kakak.
Aku Polis Kecil Petang itu Irfan datang ke rumahku seperti biasa. Irfan agak cerdas otaknya berbanding diriku yang agak lembab dalam memahami sesuatu terutamanya matapelajaran Matematik. Oleh itu, aku selalu meminta tunjuk ajar daripadanya bagi menyiapkan kerja sekolah. Kelihatan bajunya agak lembap, mungkin kerana berpeluh selepas latihan sepak takraw di sekolah. “Zati, jom teman aku ke kedai Uncle Singam dulu. Dahaga sangat ni. Lepas tu baru kita buat kerja sekolah”, ajak Irfan. Aku segera meminta izin ibu lalu mengenakan tudung merah jambu kegemaranku. Kedai Uncle Singam hanya selang beberapa blok daripada rumahku. Namun begitu, kami memilih untuk melalui jalan pintas kerana hari masih panas. Irfan pula enggan meninggalkan basikalnya kerana kasut but barunya diletakkan di dalam raga basikal. Kami berjalan melalui laluan pejalan kaki sambil Irfan menuntun basikalnya. Perjalanan kami melewati kawasan padang permainan dan kawasan tepi sungai. Kami suka berjalan melalui tepi sungai tersebut kerana kawasannya teduh sedikit dengan pohon-pohon petai liar yang tumbuh subur di situ. Adakalanya, kami dapat melihat beberapa ekor burung gagak dan tupai di pinggir hutan di seberang sungai. Sedang kami berjalan, tiba-tiba kami terdengar jeritan dari celah-celah semak di pinggir sungai. Hatiku berdegup kencang. Irfan mengajakku beredar segera dari situ. Namun begitu, aku enggan kerana aku ingin tahu apa yang berlaku. Aku memberanikan diri menggendap dari celah-celah batang petai diikuti Irfan yang mengekori di belakang. Rupa-rupanya seorang perempuan sedang dikepung oleh beberapa orang lelaki yang aku pasti berniat jahat terhadapnya. Tidak sanggup kumembayangkan apa yang mungkin dilakukan oleh mereka. “Mari kita pergi dari sini cepat. Aku takutlah!”, bisik Irfan menarik bahuku. “Shhh.. Macam ni. Jom kita balik dan panggil orang-orang taman dan pengawal keselamatan di depan sana. Jom!”, lalu kami bingkas ingin beredar. Prakkk.. tiba-tiba batang tempat kami berpaut patah. Semua remaja itu segera berpaling dan menjerit kepada kami.
“Woi, apa korang buat hah? Jangan lari!”, jerit remaja yang berseluar jeans sambil berlari ke arah kami. Kaget, kami segera memanjat tebing sungai itu. Malang nasibku, tudungku tersangkut pada sebatang dahan petai yang terjulai ke tanah. “Irfan!! Tolong!!”, jeritku. Tanganku direntap kuat oleh penjahat itu. Dua lagi rakannya cuba mengejar Irfan yang sudah sampai di atas jalan. Tanpa kusangka, Irfan berpatah balik sambil mencapai sebatang dahan mati yang berada di tepi jalan. Dengan beraninya, dia menghayun-hayunkan dahan itu ke arah dua orang lelaki yang mengejarnya. Malangnya, mudah sekali dahan itu dirampas oleh penjahat itu yang dua, tiga kali lebih besar badan mereka berbanding badannya. Tidak cukup dengan itu, dia turut membaling batu-batu kerikil yang terdapat di tepi jalan. Beberapa ketul batu itu mengenai badan penjahat yang merangkul tubuhku. Menyedari rangkulan penjahat itu yang semakin longgar, aku segera menggigit tangan penjahat itu dan melarikan diri dari situ. Aku segera mencapai basikal Irfan dan mengayuh basikal itu sekuatkuat hatiku. Irfan ku lihat mengekoriku dari belakang. Bertahanlah Irfan, aku akan panggil orang ramai untuk menolong kita. Aku sampai di kedai Uncle Singam. Kebetulan ada beberapa orang yang turut berada di dalam kedai itu mendengar cerita cemasku. Mereka segera mengekoriku sambil membawa beberapa batang kayu sebagai tujuan keselamatan. Terdengar juga Pak Cik Mustaffa menelefon polis. Sebaik saja kami sampai, penjenayah itu segera bertempiaran lari. Namun begitu, mereka disekat oleh pengawal keselamatan yang tiba dengan motosikal. Mataku berlegar-legar mencari kelibat Irfan. Ya Allah. Kulihat sekujur tubuh kaku di tepi semak. “Irfan!!”
Jam menunjukkan pukul 8 malam. Aku baru selesai mengerjakan solat Maghrib bersama ibuku di surau Hospital Ampang Puteri. Sudah tiga jam Irfan dimasukkan ke dalam
wad, tetapi dia masih belum sedarkan diri. Dalam doaku usai solat tadi, aku tak henti-henti mendoakan agar keadaan Irfan selamat semuanya. Rasa bersalah menyelubungi diriku. Sekiranya aku tidak berdegil untuk menolong gadis itu, tentu semua ini tidak terjadi. Kalaulah aku tak menjerit meminta tolong, tentu Irfan sudah selamat. Kalaulah aku tidak meninggalkannya untuk memanggil orang ramai, mungkin Irfan tak terlantar di wad sekarang ini. Air mataku berlinangan lagi untuk kesekian kalinya.