Mimpi

Page 1

MIMPI

1


MIMPI

MIMPI Edisi Pertama/Cetakan Pertama 2013 Hakcipta Kognitiv Publishing/Sesi Seni Collective Buku/Zine ini adalah sebuah koleksi fiksyen hasil nukilan Wafeeq Ismail. Segala yang tercetak adalah hasil dongengan penulis semata-mata, termasuk nahu dan emosi, kecuali dinyatakan sebaliknya. Jika terdapat persamaan dengan yang hidup, telah pergi, akan pergi, mahu pulang, atau sekadar bersiar-siar, hanyalah sekadar kebetulan sahaja. Segala hasil tangkapan foto atau contengan adalah hasil kerja penulis, kecuali dinyatakan sebaliknya. Segalan hakcipta hasil kerja bukan daripada penulis masih kekal bersama tuan empunya. Edisi Pertama/Cetakan Pertama DITERBITKAN OLEH Kognitiv Publishing dengan kerjasama Sesi Seni Collective

Dikuasakan oleh Aurasma.

2


M

MIMPI

I M P I

3


MIMPI

PRAKATA MIMPI, menurut definisi laman sesawang Wikipedia adalah pengalaman bawah sedar yang melibatkan pelbagai stimuli seperti penglihatan, pendengaran, fikiran, perasaan, atau panca indera lain ketika dalam keadaan tidur, sama ada tidur malam atau siang di dalam kelas. Mimpi juga sering dikaitkan dengan angan-angan, atau harapan yang tidak mungkin menjadi kenyataan, yang seeloknya dilupakan. “Jangan mimpilah kau nakkan si Rosmah. Dia baru nikoh dengan orang besor di bandor!� Namun siapa mereka untuk menidakkan apa mimpi kita? Kita punya kuasa untuk menjadikan mimpi itu satu ilusi, atau realiti. Zine Mimpi ini mengumpulkan hasil nukilan, luahan perasaan, emosi, dongengan, karutan dan apa sahaja dirasakan sedap oleh penulis melalui blognya katakatakesat@blogspot.com yang dikendalikan (secara amatur) sejak tahun awal keremajaannya, 2010. Sepanjang masa penulis bergiat separa-aktif dalam bidang penulisan blog, beliau hanya mendapat sebanyak 7 orang follower di blogspot. Satu angka yang agak dibanggakan oleh penulis sehingga kini. Ini juga adalah hasil kerja tercetak pertama oleh penulis yang memaparkan sepenuhnya hasil tangan penulis. (Sebelum ini hasil kerjanya pernah diterbitkan oleh Sesi Seni Collective menerusi edisi Sesi Suara yang menampilkan penulis/pengkarya daripada seluruh pelosok dunia.) Semoga anda menikmati naskhah pertama ini.

Kognitiv Publishing.

4


MIMPI

Azmyl Yunor @ No Black Tie 2012

5


MIMPI

Lelaki Optimis Terjatuh Daripada Tangga Ketika Mencari Cinta

Lelaki Terjatuh Tangga

Optimis Daripada Ketika

Mencari Cinta

6


MIMPI

Kau bercakap tentang bulan dan bintang, yang jauh dari takat capai, yang tak mungkin mampu untuk aku sampai. Kau kata kau idamkan bintang untuk dijadikan perhiasan, samada ditempa menjadi rantai, atau disemat rapi di dinding kamar. Kau kata kau mahu jadikan bulan itu milik kau, dijadikan lampu disko di bilik satu pintu satu tingkap di loteng rumah agam ibu bapa kau itu. Sukar untuk mana-mana lelaki tampan dan gagah dan perkasa untuk tunaikan hasrat melangit kau itu, Dewi. Tapi aku bukan sebarang lelaki tampan, aku bukan sebarang lelaki gagah. Ku-usahakan untuk membina satu tangga, yang tingginya membuatkan aku mampu untuk tunaikan apa yang kau hajatkan. 3 hari 3 malam kudaki tangga mega itu untuk kuambil bulan dan bintang permintaan kau. Tapi, apakan daya, pada anak tangga ke enam ribu enam puluh enam, aku tersingkuh, hilang daya imbangan, lalu terjatuh ke permukaan realiti menjadi stew daging yang bersepah di tengah jalan Lebuhraya Persekutuan. Berita itu menggemparkan seluruh dunia. Katanya; Lelaki Optimis Terjatuh Dari Tangga Ketika Mencari Cinta. Ramai manusia dari seluruh pelosok dunia hadir memberi hormat terakhir. Bunga-bunga disusun rapi di tepi hancuran daging-daging yang merata di tengah lebuh raya itu. Tapi kau, Dewi, tapi kau tidak hadir. Dari ura-ura yang aku dengar dari mulut-mulut kaki gosip yang ada di lebuhraya itu, kau sedang duduk di atas bumbung, bersama seorang lelaki lain, bercerita tentang bulan dan bintang yang kau selalu inginkan.

Kau kejam Dewi, kau kejam.

7


MIMPI

Lelaki Optimis Terjatuh Daripada Tangga Ketika Mencari Cinta ii. Ingat lagi ketika kita di atas bumbung, berbicara soal bintang dan bulan? Kemudian kau berlaku curang dan curi hati aku dan kau gantikan dengan bateri triple a yang sekarang ini, hampir kehabisan tenaga hayat. Ramai yang tertanya-tanya kenapa aku berperwatakan seperti manusia yang tak punya hati? Kata aku, bukan aku tak punya hati, cuma di ruang yang sepatutnya diletak hati aku itu telah digantikan dengan sepasang bateri yang hampir kehabisan tenaga. Jadi, maafkan aku jika sesiapa terasa dengan sifat ketidak-punyaan hati aku ini. Atau jika dipandang daripada perspektif berbeza, mungkin juga aku tidak punya hati, kerana hati aku kini adalah sepasang bateri. Ketika itu aku berada di depan kedai serbaneka 7-11 untuk membeli sepasang bateri baru untuk menggantikan bateri ini. Kemudian seorang gadis berdiri di hadapan pintu, memegang seketul hati yang sudah buruk, berjahit di kiri dan atas, ber-plaster di bahagian kanan. Hati itu kelihatan seperti mahu mati, berdegup hanya beberapa kali dalam seminit. Katanya, itu hati aku, yang dia jumpa di tepi Lebuhraya Persekutuan, dan dia mahu pulangkannya kepadaku. Aku memandang hati aku itu (jika benar ianya kepunyaanku), dan memandang beberapa helaian kertas berwarna biru tertulis angka satu di tangan. Pada ketika ini aku ditakdirkan untuk membuat keputusan;

8

bateri baru ataupun hati yang lama?

- Apa yang kau harapkan? bateri baru atau hati lama?


MIMPI

Seven Collsr T-Shirt @ No Black Tie 2012

9


MIMPI

Lelaki Optimis Terjatuh Daripada Tangga Ketika Mencari Cinta III

Lelaki Optimis Terjatuh Daripada Tangga Ketika Mencari Cinta iii

10


MIMPI

Aku seorang di atas bumbung rumah bernombor 7, memerhati langit malam yang tiada bintang, dan bulan segan mahu memancarkan cahaya pantulan daripada matahari itu, langsung sembunyi di balik awan hitam yang sesekali mendengus dan memancarkan cahaya petir, menandakan hujan akan tiba. Di tanganku kini ada sebuah hati, yang siap diletak dalam botol kaca oleh gadis yang aku jumpa di outlet 7-11 siang tadi. Dan di tangan kiri aku pula kugenggam sepasang bateri triple A yang juga aku beli di lokasi yang sama. Malam ini harus jadi malam penentu, sama ada hati dalam botol kaca, ataupun sepersalinan sel bateri baru. Tiba-tiba ada suara memanggil aku daripada bawah. Aku menjenguk, dan mendapati gadis yang aku jumpa di 7-11 itu berada di bawah, sambil tersenyum. Senyuman yang manja, dan membuat hati aku yang berada di dalam botol kaca itu berdegup kencang. Serta-merta, aku turut tersenyum. Aku turun, dan berdiri di hadapan dia, seorang yang setiap tingkah lakunya, membuatkan aku tertarik, walaupun hanya dengan lirikan mata yang bersahaja. Ya, satu perasaan yang sudah lama tidak aku rasa, dan mungkin juga perasaan ini melampaui dan membunuh perasaan-perasaan yang pernah aku rasa sebelum ini. Tidak pernah aku tertarik sebegini rupa pada seorang manusia. Nah, sila simpan hati saya ini dengan baik-baik. Terima kasih kerana sanggup mengutip hati yang telah rabak ini di tepi jalanan. Mungkin pada ketika itu Lebuhraya Persekutuan amat sesak, namun awak masih mampu menjumpai hati saya ini. Terima kasih. Itu sahaja yang mampu saya ucapkan. Kau tersenyum, dan mengambil botol kaca itu, lalu menyimpannya di dalam beg galas yang sering kau bawa. Dan aku takkan lupakan senyuman itu, sampai bila-bila. Secara tiba-tiba, bintang-bintang berkelip, dan bulan memancarkan cahayanya, sambil tersenyum. Rahmat. 11


MIMPI Mimi Merenung Masa Depan @ Shah Alam 2012

12


MIMPI Lelaki Katang Bertatu @ Krabi 2013

13


Gadis Klasik

MIMPI

gadis klasik

Aku duduk di bar, berbual dengan si gadis bartender, tentang hal ekonomi dan politik semasa, sambil menghirup McKenna. Si gadis bartender kata dia mahu jadi seorang gadis klasik. Klasik yang bagaimana, aku tanya. Klasik yang klasik, yang sudah tidak ada sekarang, yang hanya wujud di zaman piring hitam dan telegram. Kau berada di zaman yang salah, aku berkata. Ya, mungkin. Tapi aku tidak akan berputus asa untuk menjadi gadis klasik. Si gadis bartender membalas dengan senyuman. Ya, aku pun tidak harus berputus asa. Dengan perasaan berkobar aku keluar mengharungi salji yang menebal.

- Duduk sambil mendengar lagulagu Ebiet G. Ade ketika hujan. Mana boleh lawan barang klasik.

14


MIMPI

bukan hasil kerja penulis

15


MIMPI

gadis klasik ii Klaus memerhati Gadis Klasik itu dari meja paling jauh di dalam bar The Hundreds itu. Hampir setiap hari Klaus akan melakukan perkara yang sama. Selepas tamat waktu pejabat, Klaus akan ke The Hundreds, memesan segelas Jack Daniel’s, dan duduk di meja paling jauh daripada Gadis Klasik itu. Klaus tidak pernah melakukan sesuatu yang lebih daripada itu. Hanya duduk, dan memerhati. Selepas tamat shif Gadis Klasik tersebut sebagai bartender, baru Klaus akan pulang, bersedia untuk mengulang perbuatan tersebut pada esok hari. Itulah jadual harian Klaus. *** Gadis Klasik itu memang klasik. Daripada cara pemakaian hingga pertuturan, memang klasik. Itu membuatkan dia menjadi perhatian di The Hundreds. Hampir setiap masa ada saja yang mahu menegur. Mungkin kerana mereka merasakan bahawa dia sesuatu yang aneh untuk zaman itu. Kereta sudah terapung, manusia sudah ke Pluto, barah sudah punya penawar, android sudah berkeliaran, namun si Gadis Klasik masih klasik. Masih. Itu membuatkan kerjanya sebagai bartender tidak pernah sunyi. Sentiasa kecoh dengan hilai tawa dan dekahan-dekahan jejaka mabuk. Namun tumpuan Gadis Klasik hanya satu. Hanya kepada jejaka di meja paling hujung, yang saban hari memesan Jack Daniel’s. Hanya kepada jejaka itu, tidak kepada lain. *** Namun Klaus dan Gadis Klasik tidak pernah bertemu, meluahkan rasa masing-masing.

Biar mati mencuba jangan mati kecewa.

16


MIMPI

Teater Rugabadi @ Stor Teater DBP 2012

17


MIMPI

Whiski Murah dan Lucky Strike Kotak Lembut Malam itu agak sejuk. Awan menebal menghalang cahaya bulan sampai ke permukaan bumi. Bintang tidak kelihatan. Kalau ada pun, sudah ditutupi oleh awan tebal itu. Ali duduk seorang di atas bumbung, hanya ditemani sebotol whiski murah dan sekotak Lucky Strike. Kotak lembut. Kedua-duanya dibeli di Kedai Runcit Raja. Ali pandang langit. Gelap. Memang gelap. Kaki Ali terjuntai ke bawah, sambil kepala di dongak ke atas. Ali menyedut nikotina dari sebatang Lucky Strike kotak lembutnya. Ali menghembus asap hasil pembakaran beribu-ribu bahan kimia tersebut, namun hanya sedikit yang keluar. Selebihnya keluar melalui lubang besar di dada Ali. Ali mengeluh. Botol whiski murah dicapai lalu diteguk. Perkara sama berlaku. Sisa air kencing syaitan itu melimpah keluar melalui rongga kosong di dada Ali. Ali mengeluh.

Ali memegang lohong besar di dadanya. Ali mengeluh.

Ya, hati Ali masih ada pada Violet. Tapi hati Violet sudah tidak ada pada Ali.

18

Whiski Murah dan Luck Strike Kotak Lembut


MIMPI

Kisah lelaki bernama KassimTerperangkap Di Angkasa Raya Bonda aku pernah bercerita dahulu, di mana pada masa itu Bonda masih kecil. Di kampung itu, ada seorang yang cukup suka sama Bonda, sehinggakan setiap hari, Bonda akan menerima sekuntum bunga mawar daripadanya. Tapi Bonda tidak pernah berbicara dengannya.

Sehinggalah pada satu hari..

Kassim, jejaka yang menyukai Bonda datang meluahkan rasa. Kassim kata, dia tak pernah menyukai wanita lain, selain Bonda. Dia makan, dia nampak Bonda. Dia tidur, dia nampak Bonda. Dia menuai padi, dia nampak Bonda. Seolah-olah ada seseorang yang mengukir imej bonda di kornea matanya. Dia berharap Bonda mahu menjadi miliknya. Bonda tersenyum, dan Bonda bersetuju kerana tindakan Kassim yang memberi Bonda mawar setiap hari itu sangat mencuit hati Bonda. Muka Kassim bertukar ceria sejurus jawapan Bonda. Kassim terlalu girang sehingga dia melompat kegembiraan. Namun, disebabkan terlalu gembira, Kassim terlebih lompat, lalu menembusi atmosfera Bumi, terus ke stratosfera, mesosfera, dan terapung di eksosfera, di mana Kassim bergerak makin jauh daripada Bumi disebabkan oleh inertia yang diakibatkan oleh lantunan lompatan Kassim di permukaan Bumi tadi*. Sifat angkasa yang tidak punya geseran menyebabkan Kassim yang berada dalam keadaan bergerak(motion) tidak akan berhenti, selamalamanya.

Kesian Kassim. Semakin hari semakin jauh daripada Bonda.

Oleh itu, Bonda berkata, jika suka sama seseorang, jangan terlalu eksaited. Nanti aku akan terbang ke luar Bumi, sama seperti apa yang terjadi sama Kassim. Baik Bonda, aku akan ingat pesan Bonda. *Orang dulu-dulu kata, jika kita dilamun cinta, hukum graviti tidak akan memberi kesan kepada tubuh badan kita. Ingat ya semua.

Kisah Lelaki Bernama Kassim Terperangkap Di Angkasa Raya

19


MIMPI

bukan hasil kerja penulis

20


Ralat/Palat

MIMPI

ralat/palat Juga diterbitkan dalam Sesi Seni 02 - Ralat oleh Sesi Seni Collective

21


MIMPI

“Perang sudah tamat! Perang sudah tamat!” “Merdeka! Merdeka!” Tempik seorang pejuang bangsa, diikuti sorakan pengikut-pengikut daripada belakang mengiakan kata-katanya. Mereka semua kelihatan gembira. Gembira kerana bebas daripada cengkaman penjajah, yang sudah memijak kita seperti daun kering selama lebih 400 tahun. Tapi bagaimana perang boleh tamat, kalau kita masih tidak bebas? Aku tutup dokumentari tersebut dan mengangkat punggung ke balkoni, berbekalkan seputung rokok sepanjang satu setengah sentimeter yang aku simpan daripada semalam. Hisap sikit-sikit. Jimat. Aku nyalakan, sedut segala nikotin, tar dan ejen karsinojen ke dalam paru-paru, dan hembuskan keluar bersama segala perit seksa keluhan hidup di planet ketiga daripada Matahari ini. “Merdeka? Heh.. Merdeka kepala jimbit.” Hari-hari aku berperang dengan hidup. Hari-hari aku berperang dengan harga minyak yang semakin naik. Berperang dengan harga gula yang semakin naik. Berperang dengan harga ayam yang semakin naik. Berperang dengan harga teh tarik yang semakin naik akibat harga minyak yang naik. (Selepas ini mungkin harga air suam akan naik jika menurut ramalan pengkaji ekonomi tersohor yang mengajar di UiTM.) Tapi darah aku yang naik tak siapa yang peduli. Inilah logik demokrasi. Aku berjuang dan berperang dengan hidup dalam pertarungan kalah mati. Dan hampir selalunya aku tewas. Ironiknya aku masih hidup, tidak mati. Kalau mati, itu mungkin lebih menyenangkan. Dan mungkin aku sememangnya mengharapkan aku kalah, dan mati. Tapi Dia telah menulis takdir aku lebih awal. Takdir aku untuk tewas, dan terus hidup, dan terus tewas. Hidup untuk merasa kekalahan aku, dan untuk merasa bagaimana sakitnya realiti mati itu, sebelum watak aku betul-betul dimatikan daripada muka bumi ini. Hari ini aku cuma mampu kutip RM 3.20, hasil daripada jualan suratsurat khabar lama dan tin-tin kosong yang aku kutip sepanjang perjalan aku pulang daripada tempat kerja menaiki tren. Ya, aku menjual tin-tin kosong dan sampah-sarap itu bukan bererti aku tak punya pekerjaan. Tapi realiti pekerjaan di Malaysia ini hampir mirip kepada sistem perhambaan 22


MIMPI

abdi di Mesir dahulu. Tapi bezanya jika aku ini adalah seorang hamba abdi di Mesir, aku diberi peluang untuk membina piramid Giza yang mana dalam prosesnya memberi peluang untuk aku betul-betul mati. Sama ada dihempap batu, atau keletihan. Tak pun terkena jangkitan malaria (mungkin sudah wujud, atau belum. Maaf, aku tak buat kajian. Aku Melayu. Aku harus kotakan persepsi global bahawa Melayu itu sifatnya malas) akibat sistem kesihatan yang tidak efisien dan mungkin tidak termasuk dalam Bajet Tahunan yang dibentangkan Firaun. Kini, pada tahun 2013 ini, aku diperhambakan kepada sistem Kapitalisma yang mana jauh lebih kejam. Aku diberi kerja hamba abdi, dan aku tidak dibenarkan untuk mati. Dibayar dengan gaji minima dan dipaksa hidup semaksima mungkin. Aku disuap dengan sistem Health Care dan insurans yang realitinya hasil daripada poket aku sendiri. Lucu. Poket aku sudah koyak berlubang, tapi mereka masih mampu korek dan korek sehingga koyaknya makin besar, dan akhirnya sudah tidak berupa poket. Pernah sekali aku masukkan telefon bimbit ke dalam poket seluar, tapi ia terus menggelongsor jatuh dan terus jatuh ke arah balkoni lalu takdirnya dihabiskan dengan terhempap ke bahu jalan 10 tingkat di bawah lalu dilenyek treler 16 tayar. Aku berkabung selama 16 hari. Usai rokok dihisap, yang mana hanya mengambil kurang tiga sedutan, aku sarung baju kemeja lusuh petak warna merah, yang aku beli sewaktu tahun pertama pengajian di universiti tempatan yang mana paksinya tertumpu ke arah menolong kaum bumiputera mencapai taraf borjuis (menurut definisi Karl Marx) dalam pecahan kelas sosial. (Heh, lucu.) Kucapai kunci kereta dan turun ke tingkat G apartment murah ‘mampumilik’ yang aku beli melalui program yang diperkenalkan kerajaan; 1 Orang 1 Rumah(1O1R). Aku berjalan malas (Melayu) ke kereta, unlock, dan aku hidupkan enjin kereta. Perodua Viva 1.3 itu gagal dihidupkan. Melihat kepada jumlah isipadu minyak yang masih ada di dalam tangki, aku mengeluh. Enjin dimatikan. Lalu aku berjalan ke arah stesen komuter tanpa mengunci kereta. Siapa yang mahu mencuri kereta yang tak berisi minyak? Telefon bimbit yang aku kutip dan pasangkan semula satu-persatu itu dengan duct tape berdering dengan nada monofonik yang di-set kepada paling tinggi. Manusia sekeliling berpaling dan memandang dengan sinis sambil membuat muka riak. Ada yang mengeluarkan telefon pintar 23


MIMPI

mereka dan lantas membuka aplikasi Youtube dan memilih lagu Blurred Lines versi eksplisit, lalu dimuat-turun dan ditetapkan sebagai nada dering. Semua itu dilakukan dengan senyuman nipis di hujung bibir berkumis lentik mereka. Misai mereka yang lentik itu turut ikut naik, seolah-olah misai itu sendiri mempersendakan telefon bimbit aku. Ada juga yang memakai Google Glass tapi tak perlulah aku cerita. “Hello Tan Sri! Ya, ya, lagi 5 minit saya sampai. Ha ha ha biasalah, jalan jam sikit time-time macam ni. Kita inikan negara membangun. So bendabenda macam ni normal Tan Sri, normal.” Aku sengaja kuatkan sedikit volume suara. Aku berlalu pergi meninggalkan mereka yang masih cuba mengutip malu yang bersepah di tepi jalan. 2013, dan kita masih menilai taraf sosial melalui harta benda. Sebentar lagi, dalam 5 minit yang dijanji, (baca: janji Melayu) aku akan sampai ke Hotel Sheraton Imperial dan akan melalui satu sesi makan tengahari bersama Tan Sri Hamad membincangkan projek juta-juta yang hanya mendatangkan untung sebanyak RM 1800 kepada pemegang jawatan Penolong Arkitek seperti aku. Dalam 5 minit, taraf sosial aku akan berubah kepada pseudo-Borjuis untuk satu tempoh singkat. Dalam 5 minit, aku akan menjadi pencium bontot golongan kelas atasan. (Perlakuan ini sudah biasa aku praktikkan terhadap pensyarah dulu, jadi tiada masalah.) Dalam 5 minit, aku akan menjadi seorang hipokrit.

“A man’s got to do what a man’s got to do.” - John Steinbeck, Grapes of Wrath

- Cuba cakap apa yang sangup kau lakukan untuk hidup?

24


MIMPI

bukan hasil kerja penulis

25


MIMPI

26


MIMPI

semoga mimpi indah

27


MIMPI

28


Turn static files into dynamic content formats.

Create a flipbook
Issuu converts static files into: digital portfolios, online yearbooks, online catalogs, digital photo albums and more. Sign up and create your flipbook.