Retak itu
B
isa ercantum
Oleh: Wan Mahani Wan Hassan
SI ABAH Hidup miskin dan susah itu bukan pilihan. Namun, andai terdesak, masih adakah yang sudi membantu? Majid memerhatikan lauk-pauk dan sayur di rak makanan restoran Melayu itu. Dia tengok ke dalam dompetnya, cuma ada tiga ringgit dan beberapa duit syiling. “Abah, nanti beli ayam goreng ya. Hafiz tengok tv kedai Pak Abu tu, Upin Ipin tu selalu makan ayam goreng.” Terngiang-ngiang rayuan si anak yang baru berumur tujuh tahun itu. “Aku perlu duit bulan ni. Kau top up sikitlah ya sewa rumah, limapuluh pun jadilah.” Majid melangkah longlai. Dia harus ketepikan dulu rayuan anaknya yang entah ke berapa puluh kali itu. Ada benda lain lebih penting dia perlu utamakan. Maafkan abah nak. Bukan abah tak berusaha, rezeki belum memihak kepada abahmu ini. Terik mentari yang tiada simpati itu tidak pernah melelahkan Majid, membanting tulang empat kerat sebagai pekerja kontraktor di tapak pembinaan itu. Hanya itu yang mampu dia kerjakan dengan setakat SPMnya yang buruk keputusannya. Mungkin begitulah hidup anak yang terabai oleh kemiskinan dan masalah ibu bapa yang tak pentingkan pelajaran. Dari kecil tidak dipentingkan pendidikan, tahunya kais pagi makan pagi, kais petang untuk petang. Kau itu ayah, abah, bapa, papa… KETUA dan IMAM. Andai kau faham makna-makna itu, kau takkan biarkan anak-anak dan isterimu dalam kesusahan. Daripada kau lah, mereka tercipta. Tergamak kau biar mereka derita? Bukan kemewahan kau wajib berikan, cukup sekadar kesederhanaan. Namun kau WAJIB dekatkan mereka dengan Maha Pencipta kita. Kerana Dialah satu-satunya penolongmu.
****************** SI ANAK Hafiz, berbaju T lusuh, berseluar paras lutut, terhendap-hendap mencari dan mengutip barang-barang yang boleh dikitar semula sambil bawa guni besar. Tempat pembuangan sampah yang kotor, jijik dan berbau itu bagai syurga rezeki dia. Ternampak satu kereta mainan, pantas Hafiz terkam dan ambilnya. Dia membelek dan cuba menolaknya di atas tanah yang diketepikan sampah lain agar rata. Namun tayarnya yang tinggal tiga itu tidak berpusing, Hafiz ketuk-ketuk sikit tayarnya ke atas tanah dan cuba lagi. Tetap sama. Hafiz muncung, kecewa kerana kereta itu sudah tak berfungsi. Dia baling kereta itu dengan geram dan tercampak ke satu beg sekolah. Mata Hafiz bersinar. Dia terus berlari, menerkam beg yang cuma tiga meter darinya itu. Dia buka beg sekolah yang nampak elok lagi itu. Oh, zipnya yang rosak, dah tak boleh ditutup dan buka dengan betul. Hafiz dengan teruja keluarkan semua yang ada di dalam beg itu. Ada beberapa buah buku tadika yang sudah digunakan dan beberapa pensil warna pendek.
“Yeayyy! Ada pensil warna!” Hafiz senyum teruja dan masukkan semula semuanya ke dalam beg itu bawa ke tempat yang teduh. Dia terus duduk dan membelek buku-buku itu dengan wajah penuh minat. Sesekali dia menulis ikut huruf-huruf di dalam buku ABC itu. Perutnya yang lapar tadi sudah tidak menjadi masalah lagi. Mak yang berada di hospital, dapat dilupakan sebentar. Adik yang belum dilihat comelnya, juga dapat ditepis mahunya. Yang penting sekarang, dia sudah dapat apa yang dia impikan selama ini. Beg sekolah dan alat tulis. Tapi… bila Hafiz boleh pergi sekolah? “Kemiskinan bukan penghalang menuntut ilmu. Jangan jadikan anak-anakmu yang tidak bersalah mangsa ketidakupayaan mu wahai ibu ayah. Pasti Allah menolong kamu andai usaha tak henti, doa tak putus dan tawakal tak bertepi.”
****************** SI IBU “Kenapa aku di sini? Di mana aku sekarang?” Jeritan itu tidak kedengaran. Cuma tersekat di dalam kerongkong Norlia. Dia kini bagaikan di awang-awangan, di kawasan yang putih semuanya. Mahu dia bergerak ke sana, ke mari namun tak mampu. Dia bagai terikat di situ, hanya mata meliar mencari di mana anaknya yang sebelum ini dia kandung Sembilan bulan? Di mana anak sulungnya, Si Hafiz yang petah? Dan di mana suaminya, Majid? Ikutkan hati, kau dia jerit. Namun serasa lemah segala tubuhnya. “Di mana pun kita berada, di puncak atau paling bawah, jangan sesekali lupa Lia. Tuhan itu sudah menetapkan takdir kita. Bukan kita kena berserah terus. Kita kena usaha sampai habis. Ingat Dia! Ingat Allah selalu.” Airmata Norlia menitis laju, dipejam matanya. Terdengar sayup-sayup suara seorang wanita berzikir. Dari jauh, makin dekat. “Allah, Allah, Allah, Allah, Allah, Allah, Allah, Allah…” Norlia terkejut, dibuka matanya. Bukan suara orang lain. Itu suara dia. Ya hatinya berzikir. “Ya, aku perlu lupakan segala-galanya ketika ini. Aku hanya perlukan Mu Allah. Andai Kau takdirkan aku berada di sini selama-lamanya, aku reda. Aku pasti, takdir Mu adalah yang terbaik untukku…” Ibu. Mak. Bonda. Mama. Mami. Segala nalurinya hanya utamakan anak, suami, keluarga. Bukan diri sendiri. Wahai ibu, sesekali kamu perlu jaga perasaanmu, didik hatimu, ajari akal mu agar utamakan dirimu terlebih dahulu. Bukan kerana pentingkan diri sendiri. Tetapi… untuk kebaikan semua yang engkau sayangi. Jangan biarkan dirimu sakit dan disakiti. Kau berhak mendapat hidup yang aman bahagia.
******************
BOS-BOS Mail bercekak pinggang, tak puas hati. Majid di depannya tunduk, muram dan bersalah. Majid bawa beg kain tersangkut di bahunya dan dalamnya ada botol air mineral besar dengan tuala good morning. “Pekerja seorang ini selalu bikin masalah. Macam dia seorang susah dalam dunia ni. Aku pun ada masalah jugak!” Bentak hati Mail. Dia bukan bos besar. Dia hanya Penyelia. Kalau dia tak jalankan tugas dengan betul kerana pekerja bermasalah seperti Majid, pasti dia juga tempias keburukannya. “Dahlah minggu lepas kau seminggu tak masuk kerja. Ini baru masuk dua hari, dah nak balik awal pulak?” Tegas Mail. “Maaflah Encik Mail, isteri dan anak saya masih di ICU. Saya kena tengok mereka.” Perlahan Majid membalas, sedar diri punya masalah. “Eh! Kalau kau pergi lepas habis waktu kerja pun apa masalahnya?” “Err kalau balik pukul 6 setengah nanti, saya tak sempat lawat mereka encik.” “Kalau tau nak balik awal, datanglah awal. Ini datang pun lewat juga! Macam mana nak settle masalah?” Herdik Mail lagi. Geram dengan orang tak reti menyusun masa begitu. “Maaf encik... saya... saya uruskan dua anak saya tu lagi. Lagipun…” “Eh, tak payah bagi alasan macam-macam boleh tak? Kau dah tau nak kerja lah, nak melawat bini lah, pandailah uruskan masa. Jangan sebab kau miskin, hidup susah, tapi nak susahkan orang lain sama! Kalau gini caranya kau uruskan keluarga dan kerja semua ni, sampai bila-bila lah kau takkan ke mana Majid.” Majid tunduk, angguk, setuju dia yang bersalah dan betul apa kata Penyelianya itu. “Maaf encik Mail... saya pergi dulu ya. Encik boleh potong je gaji saya nanti. Assalamualaikum.” Majid beredar. Mail gelengkan kepala geram. “Banyak pulak alasannya. Macamlah orang lain tak ada masalah!” Rungut Mail geram. Tapi di dalam hatinya, ada simpati juga. “Hoi! Ni kau ke spital ni naik apa?” Jerit Mail kepada Majid yang sudah tiga meter darinya. Majid toleh kepada Mail, senyum tawar saja dan beredar. Mail gelengkan kepala. “Masalah manusia itu tidak sama. Berpeganglah kepada janji Dia. Siapa yang bersedekah, dialah yang paling untung. Untung di dunia, akhirat kaya. Andai kau berada di atas, jangan lupa melihat ke bawah. Kerana di bawah itulah lubuk saham akhirat mu.”
******************
Airmata Majid bergenang, melihat betapa indahnya ciptaan Allah yang kecil dan comel itu. Nur Raudhah, anak perempuan abah berselirat dengan wayar-wayar di dadanya, di mulutnya. Allahu, ayah mana yang tidak sedih melihat permandangan itu… “Isteri encik masih koma lagi akibat komplikasi ketika melahirkan anak minggu lepas. Tapi Alhamdulillah dia stabil.” Kata-kata doktor wanita itu terngiang-ngiang di dalam fikiran Majid. “Anak saya macam mana doktor?” “Anak encik juga masih dirawat di ICU. Jantungnya masih belum stabil.” Majid mengesat airmata yang jatuh jua. Sedih dan buntu. “Hidup ini ujian. Jadi miskin, ujian. Jadi kaya pun ujian. Tapi sebesar mana pun ujian yang aku hadapi, in sha Allah, selagi ada kudrat, aku takkan susahkan orang lain.” Detik hati Majid, memberi semangat pada jiwa yang makin melara. ******************
Hafiz sedang tunggu di satu sudut kegemarannya. Duduk mencangkung, memeluk beg sekolah yang baru dia jumpa pagi tadi di tempat buangan sampah. Tangan kanannya sedang mengukir huruf-huruf A, B, C di atas tanah kering itu dengan sebatang kayu. Seketika kemudian beberapa budak sekolah rendah lalu di jalan itu sambil berbual-bual, ceria bukan main. Hafiz segera bangun dan tengok mereka dengan pandangan terliur dan seronok. Ada di antara budak-budak itu melambai dan senyum padanya. Namun ada juga yang mengejeknya sebab tidak bersekolah. Dia pernah bertanya budak-budak sekolah itu. Nyata mereka semua sebaya dengannya. Tapi kenapa dia tidak bersekolah seperti mereka? “Bukan Hafiz tak boleh sekolah. Boleh. Tapi bukan sekarang ya?” Abah pernah memujuknya begitu selepas beberapa kali dia bertanya. “Abah belum cukup duit. Lagipun abah kena uruskan mak dengan adik dulu. Hafiz sayang mak dengan adik kan?” Abah pujuk lagi. Hafiz angguk perlahan walaupun dalam hati, masih tak faham apa kaitannya dengan dia yang tak boleh bersekolah. Majid sedang berjalan kaki menghala ke rumah Bakhtiar. Tiba-tiba dia terhenti tengok Hafiz sedang mengekori budak-budak sekolah dengan teruja. Majid sebak, dia faham perasaan anaknya itu. Bukan Hafiz tak pandai. Mengaji pun pandai, cuma dia yang tidak ada masa untuk anak sulungnya itu. Hafiz nampak ayahnya, terus berlari dah terkam ayahnya dengan teruja. Mereka berbual sambil berjalan ke rumah. “Abah! Abah tau tak apa Hafiz jumpa hari ni?” “Apa Hafiz jumpa?”
“Ni haa, Hafiz jumpa beg sekolah. Elok lagi bah. Cuma zip dia je yang rosak. Lepas tu kan dalam beg ni ada buku tadika bah. Lepas tu ada juga pensil-pencil warna. Pensil, pembaris pun ada. Haa bekas pensil pun ada. Takpelah dah pendek-pendek tapi boleh pakai lagi ni. Gilalah best bah. Nanti abah ajar Hafiz tau?” Begitu teruja Hafiz bercerita. Majid simpati senyum mengusap kepala Hafiz yang terus tunjuk buku-buku tadika yang sudah penuh diisi jawapannya “Kesian anak abah...” “Haa takpe bah. Buku ni kan, semua dah ada tulisan pensil ni. Tapi nanti Hafiz padamlah semula semua. Lepas tu Hafiz nak cuba buat sendiri. Boleh tak bah?” “Iyalah, buatlah nak. Hafiz kan rajin?” “Yeayy, tak sabarnya nak sampai rumah!” Jerit Hafiz, bahagia betul rasanya. Majid senyum dalam sebak, airmata yang bergenang, pantas dikesat. Tak mahu anaknya bertanya. Ya. Dia akan cuba gembirakan anak kecilnya itu. Anak kecil yang tidak berdosa. “Abah yang berdosa Hafiz.” Bisik hati Majid. Tiba-tiba Hafiz berhenti, pandang abahnya. Majid turut berhenti, hairan. “Kenapa sayang?” “Nanti Hafiz janji, Hafiz pergi sendiri je ke sekolah tu. Hafiz takkan susahkan abah hantar ambik. Abah kan nak kerja? Nak jaga mak dengan adik lagi. Boleh ya bah?” Sayu suara kecil itu memujuk. Bergetar bibir Majid menahan sebak. Tau-tau, anak itu sudah di dalam pelukannya. “Abah nak tengok mak dengan adik lagi kan? Hafiz takkan susahkan abah, Hafiz janji bah. Boleh ya bah?” Rayu Hafiz lagi namun tiada air mata, cuma wajah penuh harapan. “Allahuakhabar... kesiannya anak abah...” Tumpah juga air mata yang ditahan sejak tadi.
****************** Rumah flat tiga bilik itu cuma ada sofa lama dan televisyen lama yang sudah rosak di ruang tamunya. Majid dan Bakhtiar duduk di atas lantai depan pintu, ambil angin malam. Namun mata mereka tertancap kepada Hafiz di ruang tamu. Anak kecil itu sedang mewarna dalam buku baru yang dijumpainya. Tergambar keterujaan wajah kecil itu untuk belajar. “Lega lah kau anak bini pantang kat kampung. Selamat dah dia orang kat sana tu.” Ujar Majid kepada Bakhtiar. Abang iparnya itulah yang membantu dia selama dia berada di Kuala Lumpur ini. Bukan sahaja ipar duai, mereka sebaya dan bersekolah yang sama sejak sekolah rendah dan menengah ketika di kampung. Dah tau buruk baiknya. Adakalanya Majid sangat rasa bersalah kerana terus bergantung harap kepada abang isterinya sendiri itu. Sedangkan Bakhtiar juga ada isteri dan tiga anak kecil.
“Alhamdulillah, bolehlah aku pulun kerja bagi masyuk lebih sikit.” Balas Bakhtiar, kemudian muncungkan ke arah Hafiz. “Masukkan je lah ke sekolah budak tu Jid. Kesian hari-hari tengok budak-budak pergi balik sekolah.” Majid mengeluh, berat benar untuk diungkap alasan yang sama itu selalu. “Kalau dia seribu kali nak pergi sekolah, aku ni abahnya sejuta kali nak dia belajar. Bukan setakat di sekolah rendah menengah je, tapi sampai universiti bagai. Tapi kau tengoklah keadaan aku ni...” “Kau jangan cepat mengalah lah. Hafiz tu baru tujuh tahun je. Banyak masa lagi kau boleh usahakan.” “Aku dah kira, nak beli uniform, kasut dan yuran semua tu, tak cukup. Buku lagi.” Ahh kau beralasan lagi Majid. “Biarlah kita ni miskin, biar kita bodoh. Tapi jangan didik anak kita jadi bodoh sekali. Aku ni walau anak kecik-kecik lagi tapi in sha Allah akan aku usahakan dia orang sekolah juga nanti.” Tempelak Bakhtiar, geram dengan sikap Majid yang lembik itu. “Dengan setiap hari kena berulang-alik ke hospital untuk tengok isteri dan anak aku tu lagi. Dua-dua dalam ICU lagi. Mana nak kerja lagi...?” “Takkan bos kau Mail tu tak ada hati perut bagi kelonggaran kot? Bukannya kau yang mintak anak bini kau sakit macam ni kan?” “Bukan semua orang boleh faham masalah orang lain Bahktiar.” Keluh Majid. “Kau lah yang kena fahamkan!” Majid senyum tawar, faham sangat sikap Bakhtiar yang tak pernah bosan berinya semangat. “Tak apalah. Ujian ni kalau aku tak mampu hadapinya, Allah takkan bagi... kan?” Bakhtiar tak terkata apa lagi. Orang tua, memang susah nak diajar, detik hatinya.
****************** Terik mentari tengahari itu sedikit pun tidak dihiraukan Majid. Dia perlu sudahkan mengangkat timbunan batu bata itu hari itu juga. Sudah banyak hari dia balik awal, dia kena tebus semua waktu kerja yang dia luangkan masa untuk keluarganya. Mail pantau tak jauh dari situ sambil sesekali menelefon. Majid berhenti makan tengahari. Dia buka bekal tupperwarenya, nasi kosong dan ikan bilis goreng bawang saja. Lauk hariannya yang perlu dia sumbat untuk terus kuat. Namun panggilan telefon daripada hospital, bagai meranap segala kelaparan dan kepenatannya. Jururawat itu minta dia segera ke hospital. Raudhah yang baru sebelas hari itu menghadapi komplikasi kritikal. Bagai mahu terbang ke hospital, memeluk tubuh kecil comel itu. Isterinya juga sudah sedar. Dia perlu uruskan semuanya. Mail mengeluh tengok Majid di depannya tunduk bersalah. “Ni berapa lama pulak dah nak cutinya?” “Tak tau lagi encik. Pihak hospital cuma bagitau yang isteri saya dah sedar. Jadi, mungkin banyak perkara yang saya kena uruskan.”
“Aduhhh! Apa aku nak cakap pada bos besar nanti?” Majid serba-salah. Ligat berfikir apa yang perlu dia katakan lagi. Dia bukanya pandai berbohong. “Bulan ni saja separuh bulan kau cuti. Kau ingat projek ni bapak kau punya ke suka hati nak datang kerja ke tak? Cubalah selesaikan masalah kau tu elok-elok, bukan suka hati je lari dari masalah!” Getus Mail geram. Majid menarik nafas panjang dan melepasnya panjang juga. “Macam ni lah encik. Saya pun banyak susahkan encik dan kawan-kawan lain. Jadi… rasanya dah sampai masa saya permudahkanlah untuk semua.” Tenang Majid membalas. “Haa eloklah tu kalau ada jalan penyelesaiannya. Tak payahlah aku pening kepala fikir lagi. Apa dia?” “Saya berhenti kerja lah.” Mail terkedu seketika, merenung Majid yang tunduk, tenang. Mail mengeluh. Serba-salah dibuatnya. “Kau dah fikir habis dah? Betul ini cara terbaiknya? Kau ingat senang orang macam kau nak dapat kerja?” “Biarlah saya susah daripada heret lebih ramai orang susah dan saya pun disumpah orang. In sha-Allah rezeki Allah ada di mana-mana.” Mail hilang kata, teragak-agak nak pujuk atau biarkan saja. Majid hulur salam. Mail sambut juga. “Terima kasih kerana bersabar dengan saya selama ni. Maaflah kalau saya buat salah. Assalamualaikum.” “Yelah. Esok datang semula ambil gaji kau tu.” Mendatar saja Mail berkata kerana masih bercampur-baur perasaannya tika itu. “Takpelah. Saya rasa gaji tu cukup-cukup untuk bayar hutang saya pada encik. Encik ambillah gaji saya tu ya?” Majid membalas lalu beredar dengan longlai. Mail yang simpati juga, keluarkan duit dari dompetnya dan kejar Majid. Lalu dimasukkan ke dalam tangan Majid. Majid terkejut dan tengok RM100 di tangannya. “Eh takpelah encik. Saya taknak berhutang lagi.” “Ini sedekah aku lah. Ambik!” Tegas Mail. “Tapi encik...” “Kau taknak bagi aku pahala sikit ke?” Majid serba-salah kemudian senyum sikit, terharu juga. Dia sedar, Mail cuma menjalankan tugasnya. “Terima kasih encik Mail. Alhamdulillah. Moga murah lagi rezeki encik selepas ni.” Majid beredar, menyimpan duit itu di dalam poketnya. Dia berdoa sungguh-sungguh agar Mail berjaya di dunia dan akhirat, insha-Allah. Aaminnn.
TEKNIK BERSYUKUR Kejayaan besar Allah akan kurniakan apabila kita meraikan kejayaan-kejayaan kecil kita. Semakin kau bersyukur, semakin banyak Allah tambah nikmat.
****************** Norlia terbaring lemah di atas katil. Wad wanita itu tenang petang hari begitu. Dia baru dipindahkan ke situ. Melalui penerangan jururawat, tahulah dia bahawa dia koma setelah melahirkan bayinya. Sebelas hari dia koma. Disangkanya dia sudah mati di alam putih bercahaya itu. Disangkanya dia berada di alam yang perlu dia jauhi. Mujurlah pesanan suami dan ibunya memegang hatinyanya dengan kuat. Zikir-zikir itulah yang buatkan dia makin yakin, dia pasti kembali semula. “Harapan itu tetap ada di mana-mana. Kitalah yang perlu garap dan pegangnya sekuat hati. Dalam susah, dalam payah, harapan itu takkan pudar andai kita yakin Allah itu Maha Adil.” Begitu nasihat ibu tika dia memujuk Norlia apabila diduga dengan kemiskinan suaminya. Tapi siapa nak disalahkan? Dia yang memilih Majid. Dia tahu Majid cuma buruh kasar. Tak perlu persalahkan Majid kerana tak dapat berikan kesenangan kepadanya. “Tapi dia kan suami? Dah tahu anak makin membesar, tak reti-reti lagi nak usaha lebih supaya anak tu boleh sekolah? Kerajaan yang bayar sekolah tu kan?” Pernah Norlia berdebat dengan ibunya. Rusnah cuma senyum. “Ada orang lahirnya memang tak bijak Lia. Tak pandai nak uruskan diri mahupun keluarga. Ada orang rasa dia sudah cukup berusaha tapi rezeki tak berpihak pada dia. Akal, perangai orang tak sama. Takdir pun lain Lia. Lia dah tau Majid tak reti uruskan duit dan kerja dia, Lia lah yang kena bantu. Itu tugas isteri. Faham?” Ahh ibu memang takkan salahkan orang lain. Tapi ya, benar sekali apa yang ibu katakan itu. Ibu memang jarang salah. Memang aku yang salah. Sering marahkan Majid sebab kelurusannya, sebab tak mampu nak fikir di luar kotak. Ya, mungkin sebab dia memang tak cerdik. SPM pun boleh dikatakan semua subjek tak lulus… tak mungkin. Ada je orang yang tak sekolah tapi boleh saja dapat kerja yang lebih baik. Boleh saja hidup senang. Buka gerai pisang goreng tepi jalan pun boleh senang. Kenapa Majid tak boleh fikir begitu? Tak habis-habis Norlia berbalah dengan Majid ketika dia mengandungkan Raudhah. Dan Majid, seperti biasa, akan mengalah saja. Akur dengan segala kelemahannya. Ahhh lelaki itu amat lemah, bentak hati Norlia.
Dan kini, lelaki yang dia tuduh lembik itu sedang mengelap wajahnya dengan tuala basah. Lelaki lemah itu jugalah yang mengelap tangan, tubuh badannya agar sentiasa bersih dan wangi. Lelaki lurus itu jugalah yang suapkan dia. Ya, rupa-rupanya Allah kurniakan Majid kepadanya agar dia belajar erti sabar. Agar dia tahu makna setia. Agar dia faham nilai kasih cinta tanpa syarat. Itulah dia Majid, lelaki berusia 35 tahun yang berkulit sawo matang namun sentiasa tenang itu. “Kenapa menangis ni? Abang kuat sangat ke lap tangan Lia? Maafkan abang ya?” Ahh lelaki itu sering meminta maaf walau belum tahu apa silapnya. Ya mungkin kerana itulah dia tidak berjaya dalam apa juga pekerjaanya. Kerana dia terlalu baik. “Boleh tak abang jangan mintak maaf selalu?” Jawab Norlia dengan air mata bergenang. Majid makin hairan. Wajah bersalahnya terus tergambar, digenggam tangan kanan Norlia. “Abang tau abang salah. Abang tak mampu buatkan Lia senang. Lia tengah sakit ni, abang sebolehnya nak Lia rasa selamat.” Pujuk Majid. “Lia akan sentiasa selamat dengan abang…” “Lia… kenapa ni? Abang ada buat salah ya?” “Ampunkan Lia ya bang? Lia yang banyak buat salah dengan abang. Lia selalu cari salah abang. Padahal abang dah usaha semua.” “Tak! Tak! Lia tak salah apa pun. Semua yang Lia cakap selama ni betul. Abang yang tak pandai… abang yang-” “Dahlah bang. Kita buka buku baru ya? Susah kita ni insha-Allah kita jadikan harapan kita. Lia akan usaha juga nanti. Maaf sebab terlewat sedar.” “Kita tak pernah terlewat Lia. Semua tu aturan Allah. Kena yakin itulah sebaik takdir kita.” Norlia angguk senyum. Walaupun tak belajar tinggi, Majid memang pandai beri kata-kata penyedap hatinya. Dan cinta kepadamu makin besar abang.
Doa Keluarga Bahagia – Surah Al-Furqan 25:74 Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.
******************
Majid keluar masuk kedai makan, bengkel kereta, kedai runcit, pasaraya bertanyakan kerja kosong. Namun semua gelengkan kepala. Sudah dua hari dia mencari kerja tanpa hiraukan penat dan lapar. Dia perlu dapatkan kerja secepat mungkin. Seeloknya sebelum Norlia dibenarkan keluar hospital. Agar Norlia tidak susah hati. Dia tak mahu Norlia risau. Sesekali Majid mengesat peluhnya dengan tuala good morningnya. Belum ada rezekinya hari itu. Langkah diatur ke tempat pembuangan sampah. Lokasi yang dipandang jelik dan geli oleh kebanyakan orang itulah tempat dia mencari rezeki. Ahhh, kekotoran dan busuk itu cuma sementara. Dia dan Hafiz sudah lali. Apa yang penting, setiap hari semakin banyak barang-barang kitar semula yang dibuang di situ. Mungkin masyarakat kita belum sedisiplin masyarakat negara Korea atau Jepun. Mereka sangat menjaga alam sekitar dengan membuang barang-barang kitar semula itu ke tempat yang berasingan. Hafiz sedang menarik guni yang sudah separuh guni dipenuhi barang kitar semula. Dia cuba cari lagi tapi tiada. Hafiz mengeluh. Tiba-tiba satu botol/tin kosong disua di depan mukanya. Hafiz toleh ke arah Majid yang memberinya dengan senyum. Hafiz senyum teruja. “Cepatnya abah balik hari ni?” “Abah nak tolong Hafiz hari ni.” “Iya ke? Abah tak kerja ke? “Abah dah tak kerja dekat projek pembinaan tu.” “Ooo kenapa?” “Abah taknak susahkan orang lain. Lagipun abah kena selalu pergi hospital untuk jaga mak.” “Oooo. Habis tu bila mak dengan adik boleh balik? Hafiz tak sabar nak tengok adik lah abah.” “In sha Allah kalau adik dah sihat nanti kita bawa balik ya?” “Yeaay! Seronoknyaaaa!” Jerit Hafiz. Majid tumpang bahagia tengok senyum bahagia seorang abang itu. “Dah jom cari lagi barang kitar semula. Kita lumba siapa paling banyak ya?” “Haaa lumba? Kalau menang, dapat apa?” “Emmmm dapat apa ya? Agak-agak dapat apa?” Sengaja Majid mengusik Hafiz yang teruja dan bulat mata nak tahu itu. Hafiz tarik-tarik tangan abahnya dengan gembira. “Alaaa cakaplah bah. Cepatlah cakap bah!” Rengek Hafiz. “Emmm kalau menang, dapat hadiah aaaaa….” “Aaaa apaa abah?” Makin gelak Majid tengok ketidaksabaran anak comel itu. “Aaaaaayam goreng, boleh?” Hafiz terhenti dari melompat-lompat, terbeliak matanya, tak sangka itu hadiahnya. Hafiz angguk-angguk, tak terucap kata bahagianya. “Nakkk! Nak! Hafiz nak ayam goreng Ipin Ipin boleh bah?”
Majid angguk senyum. Hafiz menjerit gembira lalu terus berlari menyeret guninya ke arah timbunan sampah yang jijik dan busuk itu tanpa geli. Mereka mencari sebanyak mungkin barang kitar semula dan hasilnya, tujuh ringgit diperolehi. Majid tunaikan janjinya membeli paha ayam goreng untuk Hafiz. Kunyahan dan pujian sedapnya ayam goreng itu tak henti daripada mulut si comel itu suidah kenyangkan perut seorang abah sepertinya. Alhamdulillah. Majid baru masuk bilik. Dia ambil satu bekas kecil atas almari pakaian plastik itu dan duduk atas tilam lusuh. Dia buka bekas itu, ada duit RM20 saja yang tinggal. Majid mengeluh risau, termenung. Mana dia nak dapatkan duit untuk bawa keluar Norlia? Takkan dia mahu dukung Norlia sampai ke rumah? Duit seratus yang disedekah Mail tempohari, sudah diberi limapuluh kepada Bakhtiar dan selebihnya beras dan barang dapur. Hafiz masuk dengan wajah basah, baru selesai wuduk. Hafiz membawa sejadah dan Muqaddam, terus duduk depan Majid. Majid cepat-cepat tutup bekas itu dan kemudian senyum kepada Hafiz. “Oo dah ambik wuduk ya?” “Haa. Lepas solat ni, nak mengaji. Dah lama abah tak ajar mengaji kan?” Majid terkedu. Allah! Berdosanya dia terlalu alpa hingga anak sekecil itu yang harus ingatkan dia. “Hafiz nak pandai mengaji Muqaddam. Lepas tu al-Quran, sebab Hafiz tak pandai baca ABC. Boleh kan bah?” Majid terlalu sebak lalu memeluk Hafiz. “Iya, iya nanti abah ajar Hafiz membaca, mengira ya? Maafkan abah ya sibuk sangat?” Hafiz leraikan pelukannya dan senyum. Senyum seorang anak yang mulus dan naif. “Takpe. Abah kan pergi jaga mak dengan adik? Mak pun selalu pesan kat Hafiz, jangan susahkan abah, jangan susahkan orang lain. Kena sabar selalu. Barulah Allah sayang. Betulkan bah?” Majid angguk dalam senyum, kembali memeluk anak itu. Bersyukur kerana walau sekecil itu, Hafiz sudah dapat memahami kesusahan mereka. Abah akan selalu doakan kau jadi anak yang soleh dan berjaya Hafiz. Abah akan cuba… Surah IBRAHIM: 7 “Sesungguhnya jika kalian bersyukur, pasti Aku akan tambah nikmat kepadamu, tapi bila kalian kufur akan nikmatKu, maka sesungguhnya azabKu amat pedih.”
******************
Majid dan Hafiz berjalan ke rumah Bakhtiar setelah penat dengan hal masing-masing. Majid penat mencari kerja yang tak kunjung tiba. Hafiz penat mencari barang kitar semula. “Dua ringgit pun rezeki juga Hafiz. Ucap apa?” “Alhamdulillah. Tu kira banyaklah abah. Selalu Hafiz dapat tak sampai seringgit pun.” Balas Hafiz. “Ye lah, alhamdulillah. Nanti esok kita cari tempat lain pulak ya?” “Bila kita nak pergi hospital ni? Hafiz nak jumpa mak lah.” Ada nada rindu dalam suara si kecil. Majid berhenti, pandang Hafiz yang turut berhenti. Majid usap kepala Hafiz. Ketika ini beberapa budak sekolah rendah melepasi mereka, baru balik dari sekolah. Hafiz perhatikan mereka seakan cemburu. “Nanti lah ya? Kan mak tak sihat lagi tu. Sabar ya Fiz?” Pujuk Majid lembut. “Asyik sabar jeee! Sampai bila?” Tiba-tiba Hafiz membentak. Majid tersentak juga. “Eh kenapa ni Hafiz? Selalu tak marah macam ni pun?” “Yelah, asyik suruh sabar je. Nak jumpa mak pun suruh sabar. Hafiz nak pergi sekolah pun abah suruh sabar. Habis tu sampai bila nak sabar ni? Penatlah!” Balas Hafiz kuat juga. Belum sempat Majid nak balas, Hafiz sudah berlari laju ke arah flat Bakhtiar, muncung, merajuk. “Hafizzz... sinilah dulu. Hafizz!” Panggil Majid sambil turut berjalan laju mengejar Hafiz. “Hafiz nak makkkk! Hafiz nak sekolahhhh! Nak makkkkk!” Jerit Hafiz, nadanya sudah bergetar dalam tangisan. Hafiz berlari masuk rumah dan terlanggarkan Bakhtiar yang baru nak keluar. Belum sempat Bakhtiar tegur, Hafiz sudah larikan diri masuk bilik dan menutupnya dengan kuat. Bakhtiar perhatikan anak itu sambil gelengkan kepala simpati, kemudian pandang ke arah Majid yang baru sampai depannya. Wajah Majid serba-salah. “Kan aku dah bagi amaran? Sebelum Hafiz tu makin memberontak, baik kau sekolahkan dia.” Luah Bakhtiar. “Maknya dan anak kecik aku tu kan kat hospital lagi? Mana aku nak kejar? Tak! Bukan itu pun. Masalah utama aku sekarang bukan kau tak tau. Duit! Duit! Duit!” Balas Majid bagai putus asa. “Kau ni cakap macam kaki tangan kau tu dah patah, tak boleh guna langsung! Kita ni lelaki, sihat tubuh badan, tak boleh ke usaha lagi? Lagi?” Balas Bakhtiar, tegas. “Kau ingat aku tak cari kerja ke? Tu semua kedai, bengkel kereta, motor dekat sana tu habis aku tanya. Satu pun taknak pakai orang lah.” “Habis tu nak kutip barang kitar semula yang dapat 2,3 ringgit sehari tu sampai tua ke apa? Kau nak bagi makan apa kat anak bini kau kalau macam tu?” “Eiss diamlahh! Kau kalau tak boleh tolong, janganlah makin pecahkan kepala aku ni!” Terkeluar juga amarah Majid yang lama terpendam.
Majid meraup kepalanya, stress amat dan bengang juga dengan kata-kata Bakhtiar itu. Bakhtiar geleng kepala sikit, geram tak habis dengan sikap Majid itu. “Sebab aku nak tolonglah ni aku cakap. Kau tu tak cukup usaha lagi!” Bakar Bakhtiar lagi. “Aku dah usaha macam-macam sampai ikat perut, ikat nafsu, ikat anak aku. Kalau dah tak ada rezeki, aku nak buat apa lagi? Tak cukup lagi ke?” “Kalau dah usaha, kau takkan duduk menumpang rumah aku ni lagi lah Majid!” Majid tersentak, tak sangka kata-kata itu terkeluar dari mulut abang iparnya yang juga kawan baiknya. Tersandar Majid merenung Baktiar yang mengeluh. “Kau halau aku lah ni? Aku tau lah aku tak bayar sewa. Aku tak mampu lagi kan?” “Kau tu adik ipar aku. Kalau aku tak tolong kau, siapa lagi? Tapi kau tengoklah keadaan kita ni. Anak aku dah masuk tiga. Aku kalau boleh taknak anak-anak aku tinggal bersempit-sempit. Sementara dia orang kecil lagi ni takpelah. Tak payah tunggu besarlah, kalau dia orang dah akil baligh nanti, mana nak jaga aurat lagi. Kau tak fikir ke tu semua?” Luah Bakhtiar. Puas dia dapat sedarkan Majid yang bagaikan tak peka dengan semua itu. Majid termenung, benar sekali. Kenapa dia tak pernah terfikir perkara itu? Bakhtiar beredar masuk ke dalam rumah tapi beberapa langkah, dia berhenti dan toleh semula kepada Majid. “Aku balik kampung seminggu ni tengok anak bini aku. Dia nak pakai duit banyak tu. Jadi mintak maaflah, aku nak kau tambah seratus sewa bulan ni.” Bakhtiar masuk ke biliknya. Majid mengeluh susah hati. Duit lagi! Sudahnya Majid terpaksa ambil juga duit kecemasan yang disimpan Norlia di bawah tilam lusuh mereka. Duit berjumlah RM157 itu Norlia simpan untuk persediaan bayi baru mereka. Majid tiada pilihan, dia akan cari rezeki lain sementara Norlia masih di hospital.
Sabarlah, kerana kemenangan akan menjadi milik mereka yang bersabar. Surah Az Zumar: ayat 53 “Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah.”
******************
Norlia memeluk erat anak sulungnya yang berbaring di sampingnya sejak sampai tadi. Hafiz tak lepaskan tangan ibunya, terlalu rindu namun tak terucap. Kecederaan dalam rahim Norlia masih belum sembuh betul. Sakit dalaman itulah yang menyebabkan dia masih dipantau dan dirawat. Tambah lagi, pembedahan caesarean terpaksa dilakukan akibat daripada dia terjatuh di tangga flat, melambatkan proses sembuh. Waktu lawatan tenghari yang singkat itu berakhir dengan pantas. Malas-malas Hafiz bangun bila disuruh abah untuk balik. “Seronok dapat jumpa mak?” Soal Majid dengan senyum mengusik. Hafiz angguk sengih. “Tapi kesian mak sakit lagi.” “Haa sebab tu Hafiz kena selalu solat, lepas tu doa dan mintak pada Allah supaya sembuhkan mak dengan adik cepat-cepat ya?” Balas Norlia sambil mengelus kepala anaknya. Hafiz angguk beriya. “Ni abah dah bawa jumpa mak, lepas ni jangan mengamuk-ngamuk lagi ya?” Tanya Majid. Hafiz angguk. “Besar nanti Hafiz nak jadi doktor lah.” Majid, terkedu dan berpandangan dengan Norlia yang juga serba-salah. “Kenapa?” Tanya Hafiz lagi bila dilihatnya respon abah dan mak yang pelik dan diam itu. “Kenapa Hafiz nak jadi doktor?” Majid cuba menguji si anak. “Hafiz nak ubatkan mak dengan adik lah. Lepas tu ubatkan abah. Abah selalu sakit kaki dengan belakangkan?” Majid terharu, sebak. Norlia senyum, bangga juga. “Boleh kan Hafiz jadi doktor?” Majid angguk-angguk saja dan dorong Hafiz agar salam tangan ibunya. Dia tak mahu anak itu makin lanjut bertanya bagaimana nak jadi doktor pula nanti. “In sha Allah... in sha allah nak. Dah salam mak. Masa melawat dah habis ni. Doktor kena periksa mak.” “Allaaa, habis tu bila boleh tengok adik Raudhah nya?” Rengek Hafiz. Majid berpandangan dengan Norlia. “Adik tak sihat lagi tu. Nanti kalau adik dah sembuh, abang Hafiz boleh dukung adik, boleh jaga adik, boleh suapkan susu adik Raudhah ya sayang?” Pujuk Norlia. Hafiz angguk teruja, perlahan menyebut ‘abang’, kemudian tergelak sendiri. Mungkin teruja benar dengan panggilan barunya itu. Tak sabar dia nak tengok wajah adik perempuannya itu. “Mesti comel giler kan bah adik abah Hafiz?” Tanya Hafiz. Majid dan Norlia tergelak, angguk dan tunjuk ibu jari. “Mestilah. Comel macam abang Hafiz dia jugalah.” Usik Norlia lagi. Makin kembang hidung Hafiz, tak sabarnya nak tengok adik.
Teruskan berusaha dan berdoa. Surah Al-Baqarah: ayat 214 “Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”
****************** Dalam sebuah pasaraya, Hafiz sedang membelek roti coklat bun yang ada 6 bun dan tunjukkan kepada Majid. Majid gelengkan kepala. “Ambil yang kecik je lah. Untuk Hafiz je ya?” Hafiz muncungkan mulutnya lalu ambil satu roti coklat kecil dengan wajah tak puas hati. “Takkan nak makan roti ni je? Dahlah tengahari tadi pun tak makan. Pagi pun air teh o je. Lapar la bah!” Pilu benar dengar suara anak kecil itu merengek. “Nanti abah beli lah beras. Tapi bukan hari ni ya?” Pujuk Majid. “Alaa dah dua hari tak makan nasi. Sebelum tu pun asyik makan bubur nasi kosong je.” Majid serba-salah, pandang sekeliling. Tak jauh dari mereka, Pengurus Pasaraya, IKMAL dalam lingkungan umur 30-an sedang memantau dan memeriksa barang di rak makanan dalam tin. Di sudut lain, tidak terlihat pekerja lain. Pelanggan juga kurang waktu itu. Majid buntu. Di rumah langsung tiada apa untuk dimakan. Perutnya juga sakit asyik menahan lapar, tapi itu dia boleh tahan. Tapi anak sekecil Hafiz, takkan mahu dibiarkan terus menderita? Majid mendekati Hafiz lalu pujuk lagi. Bagai ada rancangan yang tidak baik dalam perut Majid. “Hafiz pergi keluar dulu ya? Abah cari beras dengan telor sikit.” “Alaa nak ikutttt!” “Tak payahlah. Nanti abah nak beratur lagi. Mesti Hafiz penat kan?” “Emm kalau camtu, abah kena bagi Hafiz air kotak?” Pandai pulak anak ini tawar-menawar ketika rebut di dalam fikiran si bapa. Majid menelan liur, risau tapi terpaksa akur. Dalam hati, biarlah anaknya tidak nampak apa yang dia rancang selepas ini. “Yelah. Pergi balik terus lah ya?” “Laa tadi kata suruh tunggu kat luar je?” “Aa abah lupa, lepas ni nak jumpa kawan abah kejap. Pergi lah balik cepat ya?” Hafiz muncung, tak bergerak. Tak puas hati. “Nak air kotak tak?” Ugut Majid pula. Hafiz angguk dan beredar juga. Majid menarik nafas panjang. Kali ini tekadnya bulat. Dia kena mencuri juga. Bolehkah mencuri kerana anak lapar? Bolehkah mencuri kerana Allah? Akal fikiran lemah Majid bersoal-jawab juga namun dia tak Nampak jalan lain. Bakhtiar pun sudah tak mampu menolongnya, malah meminta duit sewa lagi ada. Parah. Setelah mengambil dan menyorok apa yang perlu ke dalam kemeja lusuhnya, Majid menuju ke arah kaunter bayaran.
Majid membayar roti coklat kecil dan satu air kotak dengan takut-takut dan sedikit membongkok, agar apa yang disembunyikan di dalam bajunya tidak menonjol. Kemejanya sudah dibutangkan dan dimasukkan ke dalam seluar. Kemudian dia keluar tergesa-gesa sambil peluk barang di dalam baju agar tidak terjatuh. Seorang Sekuriti yang menanti di pintu luar baru masuk ke dalam dan terlanggar sikit dengan bahu Majid. Majid cemas dan angguk hormat. “Maaf... maaf ya?” Majid pantas melangkah keluar, namun nasibnya tak baik, satu plastik beras sekilogram terjatuh dari dalam bajunya. Sekuriti itu menoleh semula, terkejut dan terus terkam Majid. “Ooo ini kerja kau ya?!!” Sekuriti tersebut terus memukul Majid. Majid tak larikan diri, pasrah, tunduk bersalah, sebak. “Hey! Berhenti!” Suatu jeritan kedengaran dari kaunter bayaran. Sekuriti tersebut terkejut dan berhenti memukul lalu menoleh kea rah suara itu. Ikmal mendekati mereka dengwan wajah tak puas hati. “Kau nak buat apa ni Saleh?” “Ini! Orang ni mencuri! Tu saya nak belasah dulu sebelum dia lari bos!” “Ada kau nampak dia nak lari?” Bentak Ikmal. Sekuriti bernama Saleh itu tersengih malu. Ikmal arahkan Saleh membawa Majid masuk ke pejabatnya. Majid yang sudah malu dikerumuni orang ramai, pasrah saja ditarik ke dalam pejabat. Tak disangka, kali pertama dia mahu buat jahat, akan kantoi dan dimalukan begitu sekali. Hanya kerana dia miskin. Tak apalah. Memang dia yang salah! Dalam pejabat Ikmal, Majid keluarkan semua barang curi yang dia sorok. Ikmal terasa sebu dalam dada bila melihat satu kampit beras sekilogram, satu pek kecil ikan bilis dan 1 tin kecil ikan sardin. “Apasal mencuri ni?” Soal Ikmal tenang. “Maaf encik... anak saya… anak saya lapar.” Tergagap Majid menjawab sambil terus tunduk. Tak berani dia memandang mata pengurus muda itu. Tambah lagi sekuriti Saleh itu asyik hentakkan tangannya ke meja, menakutkan dia dan menuduh ada lagi barang yang dia sorokkan. Ikmal terkedu, tak sangka itu jawapannya. Sekuriti Saleh mencebik tak percaya. “Emm alasan! Entah-entah memang ini kerja kau selama ni kan? Kau tak malu ke mintak simpati orang dengan mencuri sebab anak lapar?! Apa jenis bapaklah kau ni!” Gertak Saleh lagi. “Betul encik. Saya orang miskin. Duit saya cukup untuk beli roti coklat dan air kotak tu je.” “Ahhh kau tak payah nak berlakon drama sedih sangatlah. Orang macam kau ni memang pandai berlakon. Dahlah encik, kita bawak ke balai je.” “Maafkan saya encik. Tolong jangan bawak ke balai. Saya pulangkan semua ni, sekali dengan roti dan air kotak yang saya dah bayar tu.” Rayu Majid sambil keluarkan resit dari poketnya. “Ni, ni resit saya beli tadi. Tolonglah encik.” “Ahhh dah, dah! Nasi dah jadi bubur. Dah terkantoi baru nak mintak maaf. Kalau tak terkantoi tadi, mesti kau buat lagi lepas ni kan?” Kasar sekali tuduhan Sekuriti Saleh itu, bagaikan dia yang empunya pasaraya itu.
“Tak... encik, saya memang inilah pertama kali saya mencuri. Demi Allah!” Ikmal serba-salah juga. Sekuriti Saleh yang tengok Ikmal macam percaya, hasut lagi. “Eh encik Ikmal, takkan nak percaya cakap pencuri macam ni? Jangan mudah percaya lah encik. Orang sekarang ni menipu macam-macam cara lah.” “Encik… pernah tak encik cuma ada tak sampai sepuluh ringgit… untuk bertahan dalam waktu mungkin semninggu… mungkin sebulan atau… waktu panjang yang tak pasti?” Terketar-ketar dalam sebak Majid meluah perasaan, cuba untuk pertahankan diri. Dua-dua lelaki itu terkedu, terdiam sejenak. Berfikir dan membayangkan apa yang lelaki pencuri itu alami. Ikmal menarik Sekuriti Saleh menjauhi Majid lalu berbual dalam nada rendah. “Takpe, tak salah kita siasat dulu kan?” “Tapi encik, kalau pihak pentadbiran tau nanti macam mana?” Balas Sekuriti Saleh, tak puas hati. “Tak apa, saya akan bertanggungjawab. Kau sambung kerja kau ya?” Tegas Ikmal separuh memujuk. Sekuriti Saleh tak puas hati tapi beredar keluar juga. Ikmal pandang ke arah Majid. “Ikut saya!” Majid gelisah dan ketakutan. Mesti encik itu nak bawa dia ke balai polis, Allahuakhbar… “Tolonglah encik, jangan bawak saya ke balai polis. Saya merayu encik. Encik bagitaulah apa yang perlu saya buat supaya tak masuk lokap? Encik, tolonglah!” Ikmal buat tak endah, bagi isyarat suruh Majid keluar juga. Majid terpaksa keluar juga.
Surah AlIsraa': Ayat 019 “Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang dia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.”
******************
Majid tak menyangka, Ikmal membelikan barang dapur untuknya dan hantar dia balik ke rumah, semata-mata mahu tengok kehidupannya. Sangkanya dia akan tidur di lokap beberapa hari itu. Hafiz yang menyambut kedatangan mereka, teruja melihat banyak barang makanan yang diberikan Ikmal. Ikmal makin terkejut bila berbual dengan anak petah itu dan dapat tahu Hafiz tak sekolah. Terasa dirinya sangat berdosa kerana tidak peka dengan nasib saudara Islam di kawasannya. “Saya bukan tak usaha encik. Tapi dah dekat dua minggu saya cari kerja tapi belum ada rezeki Allah. Saya merayu sangat, tolonglah jangan bawa saya ke balai encik. Anak saya tu tak ada orang jaga.” Rayu Majid. Ikmal yang bersandar di koridor flat kecil itu mengeluh, serba-salah tapi amat simpati. “Saya tak boleh janji bang. Saya kena bincang dengan pihak pengurusan pasaraya dulu.”
Majid mengeluh kecewa dan takut. Telefon bimbit murahnya di dalam poket seluar berbunyi. “Takpelah, kalau dah encik cakap macam tu. Memang salah saya pun. Kejap ya?” Ikmal angguk. Majid menjawab telefonnya. “Assalamualaikum… Ya, oo dari hospital. Kenapa ya cik?” Ikmal perhatikan saja Majid yang sedang mendengar. Tiba-tiba Majid goyah, nak terjatuh. “Allahuakhabar...” Pantas Ikmal membantu Majid agar stabil semula. Majid mengusap dada yang bagai nak meletop bila mendengar berita anaknya dah meninggal. “Kenapa bang?” Tak sabar lagi Ikmal nak tahu apa yang terjadi setelah Majid matikan taliannya dengan wajah sedih. “Anak saya... anak saya kat hospital, dah meninggal dunia.” “Innalillah hiwainahiroujion… sabar bang.” Majid menahan sebak. Dikesatnya air mata yang laju menuruni tubir matanya. Dia tak malu lagi untuk menangis. Terbayang-bayang wajah Raudhah yang putih suci itu. “Saya… saya minta tolong sangat, bagi peluang saya uruskan jenazah anak saya dulu. Lepas tu, encik nak bawa saya ke polis, terpulanglah… tolong ya encik?” Bergetar suara Majid merayu. Ikmal serba-salah dalam simpati. Dia risau juga jika Sekuriti Saleh adukan kejadian curi itu kepada pihak atasan tanpa pengetahuannya. Ikmal tersentak bila tangannya digenggam oleh Majid yang sudah menangis hiba. “Tolonglah encik. Isteri saya pun di hospital ni. Dia mesti perlukan saya. Saya janji takkan lari. Buatlah kerana Allah encik... tolonglah...” Ikmal angguk. Dia tak pernah seyakin ini dalam hidupnya. “Cepat siap. Saya hantar abang.” Majid terkaku. Ikmal angguk lagi, genggam bahu Majid, bagi semangat. “Allahuakhbar, syukur masih ada yang prihatin.” Bisik hati seorang ayah yang baru kehilangan anak perempuannya. Dua hari selepas pengkembumian anak syurganya dan membawa balik Norlia, Majid mahu bertemu dengan Ikmal. Dia perlu kotakan janjinya untuk menyerah diri. Namun belum sempat dia keluar rumah, Ikmal sudah berada di luar pintu. Ikmal duduk dipersilakan masuk dan duduk oleh Bakhtiar dan Majid. “Maaflah menyusahkan encik datang ke sini. Tapi jangan risau, saya rancang petang ni nak serah diri.” Luah Majid tenang. “Serah diri?” Soal Ikmal pelik. Majid angguk. “Encik, tak boleh ke maafkan kesalahan Majid ni? Saya akan bayar ganti rugi jumlah yang dia curi hari tu. Tolong ya encik? Dia jadi mangsa keadaan je ni.” Bakhtiar cuba membantu. Ikmal senyum. “Ooo siapa cakap saya datang nak serahkan encik Majid ke polis?” Majid dan Bakhtiar bepandangan hairan.
“Habis tu encik datang sini untuk apa?” Soal Bakhtiar lagi. Dia memang kurang penyabar sikit orangnya. Semua nak cepat. Bukan macam Majid, ambil masa untuk buat semua perkara, termasuk bercakap. “Saya datang untuk tawarkan kerja kepada encik Majid ni.” Majid tergamam. Baktiar sebak meraup wajah syukur. “Alhamdulillah… eh, encik tak buat lawak ni ya?” Balas Bakhtiar teragak-agak pula. “Betul ke encik Ikmal?” Tanya Majid pula. “Takkan saya nak main-main pulak tentang perkara macam ni dalam situasi macam ni pulak tu. Saya dah uruskan semuanya. Abang datang je pasaraya jumpa saya ya?” Majid bangun dan terus memeluk Ikmal dengan sebak. “Subhanallah... alhamdulillah. Terima kasih encik... terima kasih, alhamdulillah. Saya akan selalu doakan encik sekeluarga selalu dalam rahmat Allah.” Terketar-ketar Majid mendoakan lelaki itu. Ikmal leraikan pelukan dan tepuk bahu Majid yang sudah menangis. “Aaminn. Alhamdulillah... terima kasih doakan saya.” “Terima kasih encik... terima kasih, alhamdulillah. Saya janji akan kerja sungguh-sungguh.” Teruja Majid berjanji sambil mengesat airmata gembiranya. Tetapi tiba-tiba berubah sedih. “Tapi...” Kata-katanya tersekat di kerongkong. Wajah Majid beriak risau dan pandang Bakhtiar. Bakhtiar faham pandangan itu. Ketika ini Hafiz keluar dari bilik dengan membawa beg sekolah buruknya, duduk tak jauh dari mereka. “Isteri dia belum sihat betul lagi encik. Baru discaj semalam. Isteri saya pun masih dalam pantang kat kampong. Tak ada orang nak jaga dia.” Terang Bakhtiar. “Oo takpe. Ambil masa abang. Bila abang dah sedia nanti, datang je ke pasaraya ya?” “Terima kasih encik... terima kasih, alhamdulillah... alhamdulillah... allahuakhbarrr... semoga Allah jua yang membalas jasa encik.” “Insha-Allah, aaminn. Lagi satu, kejap ya?” Ikmal senyum dan kemudian beredar ke pintu yang terbuka luas dan ambil sesuatu di tepi dinding. Majid dan Bakhtiar hairan. Ikmal bawa plastik berisi barang-barang dapur dan letak depan Majid dan Baktiar. Bukan itu saja, Ikmal juga bagi beg sekolah, uniform sekolah baru kepada Hafiz. Hafiz bersorak gembira, memeluk Ikmal. Ikmal angguk terharu dan simpati. “Saya tak sangka, ada juga insan prihatin seperti Encik Ikmal. Bukan saja tawarkan saya kerja, malah nak bantu saya masukkan Hafiz ke sekolah. Alhamdulillah.” Ucap Majid dalam syukur yang tak putus-putus. “Sepanjang lebih sepuluh tahun dalam bidang peruncitan, saya tidak pernah bertemu dengan pencuri yang mengakui perbuatan mereka dengan begitu mudah. Tak rugi kita lebih prihatin dan ambil tahu masalah orang yang kurang bernasib baik. Orang macam abanglah lubuk saham akhirat saya, in sha Allah. Terima kasih bang, bagi saya peluang sedarkan diri saya yang selalu leka ni.” Balas Ikmal.
Salam bertaut, bukan hanya ukhwah terjalin, ada impian yang bakal tercapai. Ada hati yang gembira. Ada anak yang mendapat ilmu. Ada ayah yang bersyukur. Ada ibu yang tidak lagi gusar. Ada isteri yang yakin dengan kesetiaannya. Ya setia. Setia pada Yang Satu.
Maka percayalah, takdir kita sudah ditentukan sejak azali lagi. Namun itu bukan alasan untuk kita pasrah tanpa berusaha untuk memilih mana yang terbaik. Kerana‌ untuk bahagia itu pilihan kita. Andai kita memilih untuk malas, pasrah tanpa berusaha, semudah itu juga bahagia itu menjauh. Ingatlah, harapan tetap ada walau di tahap mana kita berada. Kerana Allah sudah berjanji bahawa, Dialah sebaik-baik perancang.
Surah al-Imran: ayat 54 “Dan Mereka Merancang (tipu daya), Allah juga merancang (membalas tipu daya), dan ALLAH sebaik-baik Perancang (membalas tipu daya)� Wallahualam.
Terik mentari tengahari itu sedikit pun tidak dihiraukan Majid. Dia perlu sudahkan mengangkat timbunan batu bata itu hari itu juga. Sudah banyak hari dia balik awal, dia kena tebus semua waktu kerja yang dia luangkan masa untuk keluarganya. Mail pantau tak jauh dari situ sambil sesekali menelefon. Majid berhenti makan tengahari. Dia buka bekal tupperwarenya, nasi kosong dan ikan bilis goreng bawang saja. Lauk hariannya yang perlu dia sumbat untuk terus kuat. Namun panggilan telefon daripada hospital, bagai meranap segala kelaparan dan kepenatannya. Jururawat itu minta dia segera ke hospital. Raudhah yang baru sebelas hari itu menghadapi komplikasi kritikal. Bagai mahu terbang ke hospital, memeluk tubuh kecil comel itu. Isterinya juga sudah sedar. Dia perlu uruskan semuanya. Mail mengeluh tengok Majid di depannya tunduk bersalah. “Ni berapa lama pulak dah nak cutinya?� “Tak tau lagi encik. Pihak hospital cuma bagitau yang isteri saya dah sedar. Jadi, mungkin banyak perkara yang saya kena uruskan.�