Apabila Jam Hilang Punca…
Oleh: Siti Jasmina Ib�ahim
2 Januari 2020. Baru 48 jam semua meraikan tahun baru. Tahun 2020 yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia. Adakah sudah cukup kemajuan yang diharapkan? Adakah cukup kemanusiaan lahir? Adakah benar keindahan teknologi berlaku seperti dikarang dalam karya fiksyen dan lukisan avand garde? Yang pasti, apabila tiba Januari, semua berazam kononnya untuk suatu kehidupan baru, yang lebih maju, kaya, bahagia bagi semua penduduk dunia, namun bagi Jozree, serangan jantung yang dihadapi telah membawa seluruh dunia ini berkumpul sekelip mata di hadapannya. Dia diperlihatkan garis-garis rekah tanah, alur-alur arus air, alun beralun deru bayu memenuhi setiap saat sedaya fahamnya. Wajah ibu, ayah, adik beradik yang terlalu lama dia jauhkan diri kini sepertinya berdiri amat hampir tanpa mampu membantu apa apa. Sakitnya bagaikan dada dihempap batu yang amat besar sehingga dia tidak mampu menggerakkan anggota tubuh yang lain. Jozree berserah. Jozree cuba syahadah. Tidak teringat adakah benar susun dua ayat yang mengakui bersaksinya tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Setelah syahadah dilafaz, matanya terpejam, ingatan kosong, jam terhenti. “Selamat pagi, tuan Jozree. Selamat kembali.” “Saya di mana ni? Apa.. apa yang dah jadi?” “Saya Dr.Suzanne. Sudah 5 hari tuan berada di Unit Rawatan Rapi, Hospital Besar Kuala Lumpur kerana serangan jantung. Tuan baru sedar 2 jam tadi tapi keadaan tuan masih lemah. Sekarang saya dah periksa semuanya, keadaan tuan sudah stabil. Tuan rehat dulu, sekejap lagi saya datang semula ya.” Jozree masih mamai, terpinga pinga. Dr Suzanne yang sudah ke katil pesakit sebelahnya, patah balik. Dia mengatakan yang pihak hospital telah menghubungi keluarganya dan mereka terkejut mendengar berita ini. Keluarga Jozree akan segera datang ke mari. Keluarga? 12 tahun dia lari dari istilah berkeluarga. Hari ini pihak hospital yang hubungi mereka dan dia akan bertemu mereka bila-bila masa saja lagi? Jozree cuba untuk bangun namun kepalanya melayang. Dia rebahkan semula kepala ke atas bantal. Dia cari jalan bagaimanakah caranya untuk mengelak daripada bertemu ibu, ayah dan adik-adik? Jari Jozree tersentuh alat nursing call bell. Jozree lihat untuk pastikan apa yang disentuhnya. Dia tekan red button dan beberapa saat saja, seorang jururawat wanita berusia lingkungan 40-an tiba. Lembut saja suaranya bertanya apakah yang dia perlukan. “Panggilkan Dr Suzanne atau sesiapa yang hubungi keluarga saya sebelum ini. Tolong ya.” Jururawat faham dan beberapa minit selepas itu, Dr Suzanne tiba pula. “Maaf Dr. Saya nak minta tolong, buat sementara, jangan beri sesiapa datang lawat saya. Saya perlu rehat. Kepala saya pun tak tenteram lagi.” “Baik. Saya faham. Jika ahli keluarga tuan datang nanti, saya akan maklumkan kepada mereka.” Jozree lega dan ucap terima kasih. 8 hari Jozree berada di dalam hospital. Setelah doktor pakar jantung sendiri sudah pasti keadaan jantungnya sembuh, barulah dia dibenarkan pulang tetapi perlu hadirkan diri untuk pemeriksaan susulan. Jozree akur apa saja yang diminta asalkan dia dapat pulang ke rumah. Setiba saja di rumah bujangnya, ke meja kerja yang dituju. Dia buka laman sesawang Berita Global yang dikendalikan. Masih beroperasi seperti biasa. Seperti masa tidak pernah berhenti. Ya, sebenarnya masa memang terus bergerak.
Jam digital pada sisi ruangan Berita Global pun bergerak seperti biasa. Yang luar biasanya hanya dia. Dia lupa. Apa yang dia patut buat? Jozree teliti satu persatu berita terkini. Ada satu berita dari Wuhan, China yang menarik perhatiannya. Dia baca tajuknya, ‘WHO reported that there was a cluster of pneumonia cases – with no deaths – in Wuhan, Hubei Province.’ bertarikh 4 Januari 2020. 10 Januari 2020 pula, Jozree membawa laporan yang disediakan oleh sahabatnya Iris tentang WHO atau dikenali sebagai Pertubuhan Kesihatan Sedunia, telah memaklumkan di China tentang garis panduan teknikal kepada semua negara, bagaimana mahu mengenalpasti, menguji dan menguruskan kes yang berpotensi berdasarkan kepada virus yang diketahui. Melalui pengalaman SARS dan MERS serta cara jangkitan berlaku maka garis panduan diedarkan secara meluas sebagai langkah berjaga-jaga. “Apa yang dah jadi ni?” Jozree buka pula berita bertarikh 12 Januari 2020 yang juga dilaporkan oleh Iris. Negara China secara terbuka mengumumkan sekuen genetik bernama COVID-19 dan sehari selepas itu, besar terpampang berita bertajuk ‘Officials confirm a case of COVID-19 in Thailand, the first recorded case outside of China.’. Hari ini, 14 Januari 2020 pula Iris melaporkan WHO menerangkan bahawa virus corona ini berlaku limitasi transmisi manusia kepada manusia yang lain mengikut 41 kes yang berlaku. Ia melibatkan di kalangan ahli keluarga tetapi berkemungkinan besar ia berisiko untuk merebak ke masyarakat luar. Jangkitan yang berlaku tidak seperti pengalaman mereka berhadapan dengan SARS, MERS dan pantogen respiratori yang lain. Jozree dapat rasakan ini bukan kes penyakit biasa. Bukan juga wabak untuk sebuah negara tetapi mungkin mampu sampai ke tanahairnya juga. Pantas dia mencapai telefon bimbit yang ada dalam begnya. Nombor Iris lah yang dihubunginya. Iris terkejut mendengar suara Jozree, bukan di dalam telefon perbualan mereka. Setengah jam kemudian, Iris sudah tiba di hadapan rumahnya. “Kau dah sihat? Jantung kau tu.. Risau aku, tu sebab aku diamkan semua berita ni . Maaf tak sempat nak lawat kau.” “Tapi kau yang hantar aku ke hospital?” “Ya, lepas tu aku dah sibuk ke sana sini, cari info, temuramah pakar perubatan, tunggu berita terkini terus dari WHO. Aku tak sempat singgah lawat kau, tapi aku kerap juga telefon Dr Suzanne tanyakan keadaan kau. Cuma 2 hari lepas sampai hari ni aku tak telefon dia. Syukurlah kau dah keluar hospital, tapi kau dah sihat betul ke? Aku tak nak kau buat kerja dalam keadaan jantung kau masih lemah!” “Panjangnya hujah. Aku dah sihat. 8 hari dalam wad dipantau diperiksa, bila dah sah sihat, baru boleh keluar. Lupakan hal aku, apa cerita COVID-19? Apa tu?” Iris mula menerangkan panjang lebar dan segala statistik serta kengerian kes yang dah berlaku, kematian yang berturut turut di Wuhan. Bagi Iris, negara ini perlu mula takut. Perlu mula turunkan arahan supaya mengikut semua garis panduan yang WHO berikan hasil kajian yang berlaku kepada penduduk di Wuhan. Jozree faham dan dia pasti kerajaan baru ini akan bertindak pantas. Kementerian Kesihatan Malaysia pasti menerajui dengan bijaksana. Itu harapan Jozree yang mulanya tidak berapa dipersetujui oleh Iris.
Iris bimbang keselesaan Malaysia yang jauh dari segala bencana alam dunia, yang jauh juga dari pencemaran melampau, atau penyakit yang pelik dan berbahaya, maka kita akan rasakan sentiasa selamat dan tidak perlu risaukan apa –apa pun. Jozree tidak mampu menyangkal kebimbangan Iris yang sebelum ini sudah beberapa negara luar yang dia ikuti misi kemanusiaan dan bersama doctors without borders membantu penduduk yang hadapi penyakit atau bencana alam. Maka, Iris nampak apa akan berlaku kepada penduduk di sebuah negara yang tidak pernah hadapi masalah atau bencana yang membunuh ribuan manusia serentak. Sejak hari pertama Jozree keluar hospital sehingga tiba tarikh 13 Mac 2020, hampir 2 bulan setelah Jozree keluar hospital akibat serangan jantung yang disangka akan menamatkan riwayatnya, kini dia yang menjadi barisan hadapan awal di negara ini melaporkan berita terkini, dan hari ini berita yang menggemparkan satu dunia apabila WHO telah memberi amaran kepada dunia bawa COVID-19 ialah sebuah pendemik. “Pendemik, Iris. Kau tahu tak South China Morning Post melaporkan pesakit pertama yang hidapi virus corona ni pada 17 November tahun lepas. Negara China sendiri akui seramai 266 orang yang hidapi ketika itu. Ramai tu. 266 boleh membawa penyakit itu ke dalam masyarakat dengan berganda-ganda lagi jumlahnya dan sekarang itu yang berlaku.” “Kau takut?” “ Dua bulan lepas jantung aku hampir berhenti, Iris. Takut? Masa tu maksimum takut yang aku dah lalu. Sekarang aku faham kenapa Tuhan beri aku bernafas semula. Aku kena kuat dan bantu ramai yang akan perlukan bantuan. Orang kita negara kita ni aku akan tolong apa cara sekali pun.” Iris gembira mendengarnya. Mereka sendiri mengikut arahan kerajaan yang dibantu maklum oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dengan langkah berjaga-jaga dan penjarakkan sosial. Hari ini saja sebanyak 39 kes baru positif COVID-19 dilaporkan. Sudah seramai 197 orang dijangkiti di Malaysia. 4 kes memerlukan bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi dan diberi rawatan anti-viral. Sejak berlaku kes COVID-19 di sini, Jozree sering berhubung dengan Dr Suzanne juga. Selain mendapat info keadaan di ICU yang dijaganya, Jozree amat risaukan keselamatan Dr Suzanne. Melalui soal selidik Iris yang begitu teruja apabila dapat tahu sahabatnya yang tak ramai kawan perempuan, kerap hubungi Dr Suzanne, mereka tahu dokor pakar itu masih bujang. Walaupun sudah berusia 30-an tetapi pekerjaan dalam bidang perubatan banyak mencuri masa libur dan bersosialnya. Iris pernah mengusik Jozree dengan mengatakan sesuai sangat Dr Suzanne dengan Jozree yang tahun ini mencecah usia 38 tahun. Tidak jauh pun beza dan Dr Suzanne masih awal 30-an. Usikan Iris yang mulanya tidak dihiraukan oleh Jozree, tiba tiba semakin menjadi pula perasaannya terhadap doktor yang berkulit putih salju itu. Beberapa hari kemudian, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari bermula 18 Mac sehingga 31 Mac 2020. Jozree dan Iris turun ke padang, ke daerah masyarakat marhaen. Terkejut dengan keputusan kerajaan kerana mereka salah sangka. Berita luar yang menunjukkan visual Wuhan seperti padang jarak pandang terkukur dan negara Barat juga kematian bertambah, mereka sangka inilah penghujung dunia. PKP disangka perintah berkurung atau disebut lockdown itu membuatkan semua cemas. Jiran sebelah rumah Jozree sendiri dilihat membeli barang keperluan harian sehingga tidak muat kereta. Berpusu-pusu masyarakat ke pusat membeli belah, pasaraya, pasar mini, pasar basah juga, amat membimbangkan kerana hilang semua aturan penjarakkan sosial itu.
Ada juga yang bimbang mereka akan hilang mata pencarian apabila tidak boleh keluar rumah, tidak boleh ke pejabat atau berniaga. Jozree dan Iris diminta membantu menerangkan, menyampaikan hebahan yang betul dan lebih positif supaya penduduk negara ini tidak terus cemas dan boleh menyebabkan pendemik COVID-19 semakin menular. Maka itulah yang mereka bersama sekelian wartawan media cetak, media elektronik dan media sosial memberikan maklumat setepat mungkin dan jauh dari spekulasi yang sememangnya bukan berita. Kesibukkan Jozree itu sehingga dia terlupa hubungi Dr Suzanne. Dua minggu kemudian, Dr Suzanne yang hubungi Jozree. Ketika itu, dia baru lepas bersihkan diri setelah pulang ke rumah. “Jozree, hai. Maaf ganggu malam-malam ni.” “Tak apa. Maaf dua minggu rasanya saya tak telefon awak kan?” “Saya faham . Kita sama sama barisan hadapan membantu. Joz saya telefon ni nak beritahu, ibu awak dimasukkan ke ICU. Dia positif COVID-19.” “Ibu?” Masa terhenti. Mata Jozree terus dijelmakan dengan wajah ibunya. Hajah Fatimah Ilyas. Terimbas 12 tahun lalu semasa hari dia mahu keluar dari rumah. Ibu menangis dan tidak mahu lepaskan pelukannya. Jozree bisik ke telinga ibu. “Ibu terus doakan Joz selamat ya. Maafkan halalkan makan minum Joz , ibu. Demi kebahagiaan semua, Joz bawa diri . Joz takkan lupakan ibu. Percayalah Joz sayang sangat ibu, tapi Joz mohon ibu izinkan Joz pergi. Joz tak mahu ayah, adik adik lain terus bergaduh dengan Joz dan ibu sakit kerana usaha pertahankan Joz. Izinkan Joz pergi.” Ibu menangis. Basah baju di bahu Jozree. Jozree keras hati ketika itu. Tiada setitis pun airmata mengalir kerana dia sudah bertekad. Pergaduhan antara dia dengan ayah dan adik-adiknya hal hak harta, hal perniagaan yang semua mahukan keuntungan, merimaskan Jozree. Dia kecewa dengan keluarganya dan dia simpati dengan ibu yang kerap dimarahi ayah sebab cuba membelanya. 12 tahun dia diamkan diri, berkelana dengan tugasnya meneroka berita dan cerita manusia lain sedangkan rindunya kepada manusia yang melahirkannya itu amat dalam ditelannya. Malam ini, wanita yang dia sukai bertemu dengan ibu tapi dalam keadaan yang amat menakutkannya. “Saya nak jumpa ibu, saya. 12 tahun saya tinggalkan dia ..” “Joz, hari awak sedar di wad dulu, ibu ada datang, tapi awak tak nak jumpa sesiapa kan? Itu sebab saya kenal ibu awak, tapi masa tu saya tak beritahu sebab akur dengan permintaan awak sebagai pesakit.” “Suzanne, saya nak jumpa ibu..” “Maaf Joz.. Awak sendiri tahu hal itu tak mungkin berlaku dalam keadaan sekarang. Dia pun tak sedarkan diri. Dia menggunakan mesin ventilator. Joz, doakan untuk ibu, terus doakan untuk dia dan saya akan usaha selamatkan dia.” Mata Jozree berkaca. Laman maya Berita Global yang masih menyala di skrin besar komputer, seperti berhenti. Jam digital di sisi laman maya itu juga berhenti. Jozree lihat jam dinding rumah berhenti tetapi kemudian jarum saatnya bergerak ke belakang. Jam digital yang berhenti tadi bergerak semula tapi ke belakang juga pergerakan angka saatnya.
Jozree bingung. Jamnya sudah hilang punca. Ia mahu bantu mengulang masa? Mahu kembali ke 12 tahun lalu, atau semasa ibu tiba di ICU melawatnya atau mahu COVID-19 ini lebih awal dikesan supaya tidak menjadi pendemik dan membunuh begitu ramai manusia di dunia ini dalam satu masa. Jam bingung, hilang arah, hilang punca dan malam itu, segala ketakutannya melebihi daripada yang dilalui semasa jantungnya hampir berhenti beberapa bulan lalu. Dia terduduk sendirian di ruang rumahnya dan merintih, meratap menadah tangan memohon Allah SWT selamatkan wanita yang melahirkan dirinya menjadi insan. ***
“Ibu?” Masa terhenti. Mata Jozree terus dijelmakan dengan wajah ibunya. Hajah Fatimah Ilyas. Terimbas 12 tahun lalu semasa hari dia mahu keluar dari rumah. Ibu menangis dan tidak mahu lepaskan pelukannya. Jozree bisik ke telinga ibu. “Ibu terus doakan Joz selamat ya. Maafkan halalkan makan minum Joz , ibu. Demi kebahagiaan semua, Joz bawa diri . Joz takkan lupakan ibu. Percayalah Joz sayang sangat ibu, tapi Joz mohon ibu izinkan Joz pergi. Joz tak mahu ayah, adik adik lain terus bergaduh dengan Joz dan ibu sakit kerana usaha pertahankan Joz. Izinkan Joz pergi.” Ibu menangis. Basah baju di bahu Jozree. Jozree keras hati ketika itu. Tiada setitis pun airmata mengalir kerana dia sudah bertekad. Pergaduhan antara dia dengan ayah dan adik-adiknya hal hak harta, hal perniagaan yang semua mahukan keuntungan, merimaskan Jozree. Dia kecewa dengan keluarganya dan dia simpati dengan ibu yang kerap dimarahi ayah sebab cuba membelanya. 12 tahun dia diamkan diri, berkelana dengan tugasnya meneroka berita dan cerita manusia lain sedangkan rindunya kepada manusia yang melahirkannya itu amat dalam ditelannya. Malam ini, wanita yang dia sukai bertemu dengan ibu tapi dalam keadaan yang amat menakutkannya.
Oleh: Siti Jasmina Ib�ahim