Ucaptama PAK21

Page 1


TEKS UCAPAN TUAN HAJI SHAHARUDDIN BIN SHARIFF PENGARAH PENDIDIKAN NEGERI JOHOR SEMPENA KONVENSYEN PAK-21 PADA 15 APRIL 2017 (SABTU) DI DEWAN UTHM, BATU PAHAT, JOHOR. Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam Muafakat Johor. 1. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT dengan berkat limpah kurnia-Nya dapat kita berhimpun dalam Konvensyen Pembelajaran Abad Ke-21 pada pagi yang penuh rahmat ini. Sekalung penghargaan diucapkan kepada keluarga besar KPM, semua ketua jabatan, para pegawai, barisan kepimpinan sekolah-sekolah Negeri Johor dan Yang Di Pertua-Yang Di Pertua PIBG serta semua hadirin dan hadirat sekalian. Terima kasih dan syabas saya ucapkan kepada Jawatankuasa Pengelola yang berusaha menjayakan majlis kita pada hari ini. YB dan hadirin yang saya hormati, 2. Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah merancang dan menganjurkan Konvensyen Pembelajaran Abad ke-21 Negeri Johor yang bertemakan “Muafakat Johor Merealisasikan Pembelajaran Abad ke-21’. Konvensyen ini merupakan program usahasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor bersama-sama dengan Pejabat Menteri Besar Johor. Matlamat konvensyen ini adalah untuk mengetengahkan status Pembelajaran Abad Ke-21(PAK-21) di Negeri Johor dan perkongsian amalan terbaik di sekolah-sekolah rintis abad ke-21. Diharapkan dapatan daripada konvensyen ini berupaya memberikan nilai tambah dalam dunia pendidikan di negara kita. Di samping itu, kita ingin meningkatkan pelibatan badanbadan organisasi dalam PAK-21 di Negeri Johor serta memperagakan


sekolah-sekolah showcase PAK-21. Konvensyen ini juga merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada pelaksana dan pendukung PAK-21 di negeri Johor yang sentiasa positif dan terbuka untuk berkongsi amalan terbaik. 3. “Jika aku diberikan sepuluh orang muda, nescaya aku dapat menggegarkan dunia�. Retorik yang penuh puitis ini menjadi satu manifestasi dalam usaha membangunkan golongan belia dan generasi muda. Hal ini jelas menunjukkan bahawa anak-anak kita merupakan tulang belakang atau nadi kepada negara dalam meletakkan kita sebaris dengan negara-negara maju persis mutiara kata duduk sehamparan berdiri tegak sepermatang pada masa akan datang. Belakangan ini, kita telah menyaksikan kerencaman persaingan ekonomi global telah menyebabkan kita lebih cakna terhadap pembangunan pendidikan yang menuntut suatu transformasi untuk menjadikan PdP hari ini sebagai satu wahana yang menarik dan menyeronokkan. Hadirin sekalian, 4. Di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Haji Mohamed Khaled Bin Nordin, Kerajaan Negeri Johor telah memperkukuh Gagasan Johor Berkemajuan sebagai instrumen bagi mewujudkan keseimbangan dalam pembangunan Johor yang inklusif pada masa hadapan. Salah satu kepentingan Johor Berkemajuan adalah kerana masyarakatnya yang maju boleh diukur tahap pemikiran dan budaya mereka. Oleh hal yang demikian, pemikiran kritis dan budaya yang maju pasti mampu merealisasikan hasrat ini seandainya modal insan berkualiti dari segi akademik dan sahsiah dibentuk sejak di alma mater lagi. Konsep kebersamaan dan permuafakatan antara kerajaan negeri dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor amat vital kerana melalui pendekatan sedemikian, usaha untuk menjadikan Johor Berkemajuan dapat dijayakan dengan lebih holistik dan bersifat inklusif. Oleh itu, perancangan yang teliti dan strategik dalam hal ini memerlukan komitmen dan sumbangan serta pengorbanan daripada banyak pihak. 5. “Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini.� Pelajar kita : nadi kita, wajah kita. Setelah


menamatkan pengajian kelak dan kembali ke pangkuan masyarakat, mereka pasti akan menjadi sebahagian daripada komuniti dan perlu bersinergi untuk memacu kemajuan ekonomi di negeri kita ini terutama dalam menghadapi kerencaman cabaran ekonomi. Pendedahan dalam pendidikan menerusi PAK-21 merupakan satu wadah yang menjadi nilai tambah kepada diri pelajar sebagai bakal pemimpin masyarakat. Alah bisa tegal biasa, keterbiasaan pelajar dengan pembelajaran abad ke-21, sudah pasti memudahkan mereka mencari formula penyelesaian yang menyeluruh. Cabaran globalisasi pada hari ini juga menjadi faktor kita seyogianya bertekad untuk membangunkan masyarakat yang berilmu dan berkemahiran bagi mendukung peralihan ke arah pembangunan ekonomi yang mampan. Hal ini mampu dilaksanakan dengan membongkar potensi dan bakat setiap anak muda Johor sebagai global players yang mempunyai keupayaan untuk bersaing di pentas dunia

Hadirin sekalian, 6. Hakikatnya, PAK-21 bukanlah sesuatu yang baharu ataupun asing dalam pendidikan di negara kita. Pelaksanaan yang menyeluruh di negeri Johor, diharapkan dapat mengubah landskap pendidikan yang bersifat konvensional ke arah landskap pendidikan yang bersifat futuristik. Bersesuaian dengan PAK-21, peranan guru sebagai pemudah cara diperluas untuk menjadi perancang, pengawal, pembimbing, pendorong dan penilai sebagaimana yang termaktub dalam SKPMg2 untuk menjadikan murid sebagai pembelajar aktif di dalam bilik darjah. Dalam hal ini, kita yang terlibat secara langsung dalam bidang pendidikan mestilah bersiap siaga dalam merealisasikan PAK-21. 7. Perancangan yang rapi dan tersusun akan menjadikan kaedah pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) berlangsung dalam situasi yang menyeronokkan dan yang paling dominan memberikan impak kepada pelajar. Guru perlu bersedia dengan bahan yang dapat merangsang pelajar manakala kaedah pembelajaran secara kooperatif dan kolaboratif sangat digalakkan dalam proses ini. Pelajar yang merancang dan melaksanakan


aktiviti tersebut sudah pasti akan lebih mengingati dengan lebih baik kerana mereka mengakses maklumat secara kendiri sebelum membentangkan hasil kerja. Pelajar juga dilatih menyesuaikan diri dengan kecanggihan teknologi melalui pembentangan slaid powerpoint, dan mampu bercakap di khalayak. Hal ini bertepatan dengan tuntutan cabaran abad ke-21 bahawa persempadanan dunia dilihat semakin terbuka luas. Ledakan informasi tanpa had melalui saluran-saluran media maya atau bercetak yang tidak pernah wujud pada 10 atau 20 tahun yang lalu telah wujud seperti whatApps, wetchat, telegram dan peranti sosial lain telah menguasai dunia manusia. Fenomena ini dilihat mampu memanifestasikan modal insan cemerlang dan holistik seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) iaitu bagi melahirkan insan yang seimbang daripada aspek intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial. Di samping itu, melalui PPPM 2013-2025, hasrat ini diperkuatkan dan dipertegaskan lagi melalui 6 ciri utama sebagaimana yang saya perkatakan sebentar tadi, diperlukan oleh setiap murid untuk berupaya bersaing pada peringkat global. 8. Semua kanak-kanak sewajarnya berpengetahuan dengan menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi selain mata pelajaran teras sehinggalah terdedah kepada ilmu pengetahuan am yang bersifat global. Rentetan itu, mereka akan belajar cara memperoleh ilmu pengetahuan untuk membolehkan mereka mencipta ilmu yang baharu dengan mengaplikasi ilmu pengetahuan dan kemahiran berfikir secara kritis di luar konteks akademik secara matang, kreatif dan kritis merentas pelbagai disiplin. Di samping mempunyai kemahiran untuk memimpin dan kebolehan untuk berbahasa yang baik , pelajar juga perlu menjaga etika dan kerohanian, serta mempunyai sensitiviti yang tinggi dalam membentuk identiti nasional yang kukuh agar sentiasa mendukung tinggi nilai budayanya,terpupuk semangat patriotiknya yang bukan sahaja mampu mememahami dan menerima kepelbagaian tetapi mampu menghayati kepelbagaian seterusnya berkongsi aspirasi yang sama untuk masa depan negara.


Sidang hadirin sekalian, 9 Johor juga merupakan antara negeri yang mempunyai sokongan Persatuan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) yang hebat di negara ini. Sebagai contoh Sekolah Kebangsaan Muzaffar Syah Kota Tinggi dan yang terkini Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Mas telah diiktiraf di peringkat kebangsaan. Hal ini telah menjadi ikutan kepada sekolah -sekolah lain dalam menyediakan ekosistem fizikal PAK-21 yang mantap. Kejelekitan hubungan antara pihak ibu bapa, guru dan komuniti juga dilihat berupaya menghasilkan jaringan sosial yang lebih luas dan pastinya mendatangkan seribu satu kemaslahatan dalam dunia pendidikan kita. Hal ini turut bertepatan dalam anjakan ke-9 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) iaitu mewujudkan kerjasama secara meluas dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta. 10. Peneguhan dalam aspek frog vle ditambah lagi dengan penyerahan telefon pintar menjadi pemangkin kepada semua guru untuk melaksanakan PAK-21 tanpa sebarang alasan. Penggunaan frog vle turut memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran seperti dalam anjakan ke-7 PPPM (2013-2025) iaitu mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan. Hal ini selaras dengan matlamat dalam anjakan transformasi pendidikan. Jelas sekali, guru-guru kita juga telah mengubah pendekatan dalam PdPc dengan lebih berfokus kepada keberhasilan murid. Akhirnya, karaktor murid Johor akan terbina melalui inti pati tersurat dan tersirat PAK-21. 11. Bagi menyokong usaha ini, kita berharap agar kerajaan negeri dapat memberikan komitmen yang konsisten supaya kita mampu menghasilkan pelajar yang berkemahiran dan berkemampuan untuk memenuhi pasaran kerja yang berdaya saing. Dengan kesepaduan komitmen daripada semua pihak terutamanya kerajaan Negeri Johor untuk terus menyokong PAK-21 ini, sudah pasti warga pendidik mampu menghasilkankan produk yang lebih berkualiti bagi memenuhi keperluan tenaga mahir dan profesional di Negeri Johor khususnya. Kita sentiasa optimis bahawa konvensyen ini akan menjadi titik tolak ke arah memperkasakan PAK-21.


12. Pada kesempatan ini, sekali lagi saya ingin merakamkan penghargaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Johor khususnya Pejabat Menteri Besar Johor, yang telah memberikan sokongan padu sebagai asas memacu pelaksanaan PAK-21 Negeri Johor seterusnya menjadi penanda aras PAK-21 peringkat kebangsaan. Harapan yang sangat besar daripada warga pendidikan Johor agar sokongan padu oleh Pejabat Menteri Besar tidak terhenti setakat ini. Terima kasih daun keladi. Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dalam menjayakan konvensyen ini. Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik Wabarakatuh.

Walhidayah

Wassalamualaikum

Warahmatullahi


TEKS UCAPAN YB DATUK HAJI AYUB BIN RAHMAT

Salam Muafakat Johor Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana berkat izin dan limpah kurnia-Nya dapat kita hadir dalam satu lagi wacana keintelektualan iaitu Konvensyen Pembelajaran Abad ke-21 Negeri Johor ini. Dalam kesempatan ini, saya merakamkan ucapan penghargaan dan setinggitinggi tahniah dan syabas kepada Jawatankuasa Pengelola yang diterajui oleh Jabatan Pelajaran Negeri Johor atas penganjuran konvensyen selama dua hari yang bertemakan “Muafakat Johor Merealisasikan Pendidikan Abad Ke-21�. Tema ini membawa hasrat bahawa pendidikan abad ke-21 memerlukan kita memiliki semangat, pemikiran, nilai, sikap dan orentasi kita bersama-sama menuju masa hadapaan, berfikir ke hadapan, bersemangat ke hadapan dan bercita-cita ke hadapan sebagai ciri utama merealisasikan Johor Berkemajuan Hadirin sekalian, Konvensyen ini yang bertujuan untuk mengetengahkan status Pembelajaran Abad ke-21 di Negeri Johor dan juga sebagai satu perkongsian amalan-amalan terbaik sekolah-sekolah rintis Pembelajaran Abad ke-21 Johor perlu dijadikan sebagai asas dalam memperkasakan pendidikan generasi muda pada hari ini. Perkongsian idea dan kepakaran tenaga pendidik di negeri ini dalam pelbagai bidang mata pelajaran serta pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berteraskan pendidikan abad ke-21 dilihat sangat relevan dalam memastikan keberkesanan pendidikan. Hal ini kerana, melalui pendidikanlah, seseorang individu itu dapat mengupayakan potensi sebenar mereka, memperbaiki taraf kehidupan dan keluar dari garis kemiskinan. Konvensyen ini dilaksanakan memandangkan inilah satu daripada wadah yang terbaik bagi mempromosi usaha transformasi pendidikan negeri Johor dalam menyediakan muridmurid di negeri Johor menempuh cabaran abad ke-21. Tuntasnya, konvensyen ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Johor bersama-


sama Jabatan Pendidikan negeri Johor dalam merubah lanskap pendidikan kini. Hadirin sekalian, Konvensyen ini turut mempunyai matlamat antara lain terutamanya bagi meningkatkan penglibatan badan-badan organisasi berkepentingan, wakil-wakil rakyat serta pemimpin masyarakat, para ibu bapa, serta pihak komuniti terutama pihak swasta dalam membantu untuk merealisasikan pembelajaran Abad ke-21 di negeri Johor. Harus diingat bahawa, membangunkan negara bangsa melalui pendidikan bukanlah suatu perkara yang mudah, Hal ini memerlukan perancangan yang teliti dan lebih penting, sumbangan dan pengorbanan daripada semua pihak. Kini, soal membangunkan generasi muda dalam pendidikan tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada guru-guru,atau pensyarah-pensyarah, sebaliknya semua pihak perlu berganding bahu, bergotong-royong, bekerjasama dan bermuafakat. Konsep kebersamaan dan permuafakatan ini penting kerana hanya melalui pendekatan sebegini, pembangunan pendidikan anak-anak kita dapat dijayakan secara inklusif. Hadirin sekalian, Saya maklum, selain memperagakan sekolah-sekolah showcase pembelajaran abad ke-21 di negeri Johor, konvensyen ini turut diadakan bagi memberi pengiktirafan kepada pelaksana dan pendokong pembelajaran abad ke-21 di negeri Johor agar kita dapat berkongsi amalan terbaik dalam pembelajaran abad ke-21 dalam negeri Johor. Usaha ini merupakan suatu bentuk penghargaan kepada mereka terutama para guru dan perlu dijadikan suntikan semangat kepada yang lain dalam menyemarakkan lagi pendidikan Johor sebagai peneraju unggul dalam menjayakan pembelajaran abad ke-21. Tuntasnya, hasrat dan tujuan ini bakal tercapai sekiranya para warga pendidik di negeri Johor ini mengambil langkah sederap, seia sekata dalam usaha merealisasikan pembelajaran abad ke-21 yang sudahpun bermula sejak tahun 2014 sehingga hari ini. Hadirin sekalian,


Konvensyen Pembelajaran Abad Ke-21 ini sangat bertepatan dan selari dengan usaha Kerajaan Negeri Johor dalam menjadikan Johor Berkemajuan. Hal ini amat relevan melalui amanat dan hasrat Yang Amat Berhormat Dato’ Mohamaed Khaled Nordin, Menteri Besar Johor iaitu “ Kerajaan Negeri Johor memperkenalkan Gagasan Johor Berkemajuan sebagai instrumen mewujudkan keseimbangaan dalam pembangunan Johor inklusif pada masa hadapan�, sempena Majlis Amanat YAB Menteri Besar Johor pada 4hb Februari 2016. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Jabatan Pelajaran Johor kerana bermula dengan membina konsep asas pembelajaran abad ke-21 sehingga pelaksanaan sekolah-sekolah rintis negeri Johor, beberapa kejayaan yang boleh dibanggakan telah dikecapi oleh warga pendidikan Johor. Untuk itu, kejayaan-kejayaan serta amalan-amalan terbaik ini sememangnya wajar dikongsikan bersama untuk tatapan semua warga pendidikan serta khalayak ramai melalui konvensyen pada hari ini.sebagai usaha ke arah Johor Berkemajuan seterusnya mempromosi transformasi pendidikan negeri Johor ke persada antarabangsa. Hadirin sekalian, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) telah dirangka dan dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan misi utama untuk mentransformasikan pendidikan negara. Transformasi pendidikan ini dapat dilaksanakan melalui beberapa fokus utama yang merangkumi 5 Aspirasi Sistem, 6 Aspirasi Murid beserta 11 anjakan melalui 3 gelombang yang dirangka bagi menyediakan murid menghadapi cabaran pendidikan abad ke-21. Maka, konvensyen ini telah membuktikan bahawa komitmen Kerajaan Negeri Johor bersama-sama dengan Jabatan Pelajaran negeri Johor sememangnya suatu usaha yang sejajar dalam mentransformasi pendidikan serta merubah lanskap pendidikan kini. Oleh sebab itulah, sokongan padu dan tidak berbelah bagi daripada Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Johor dari segi kewangan dan buah fikiran telah menjadi asas dalam memacu arena pendidikan terutamanya pembelajaran Abad Ke-21 di Negeri Johor. Hadirin sekalian,


Cabaran dalam Pembelajaran Abad ke-21 adalah untuk melahirkan murid-murid yang mempunyai pengetahuan, berkemahiran berfikir, berkemahiran memimpin, berkemahiran dwibahasa, beretika , mempunyai nilai kerohanian yang tinggi dan identiti nasional. Perkara ini adalah sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi pegangan pelaksanaan sistem pendidikan di negara kita. Umum mengetahui bahawa para pelajar pada masa ini bakal berhadapan dengan cabaran yang sangat besar sama ada di peringkat negara mahupun global. Cabaran tersebut termasuklah cabaran saingan ekonomi yang semakin sengit dan perlumbaan dalam bidang sains dan teknologi. Tambahan pula, arus perkembangan dunia yang rencam dengan berbagaibagai isu melangkaui sempadan geografi akan turut mempengaruhi masyarakat. Oleh itu, saya menyanjung usaha pihak Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Jabatan Pelajaran Negeri Johor yang telah memulakan langkah melaksanakan aspirasi Pembelajaran Abad ke-21. Hadirin sekalian, Usaha murni melalui penganjuran konvensyen ini perlu diteruskan dan diharap akan dapat melahirkan modal insan bersifat ‘global player’. Melalui usaha ini diharapkan agar generasi muda khususnya di negeri Johor ini, dapat terus memacu perkembangan negara dalam pelbagai aspek pada masa hadapan. Akhir kalam, saya berharap agar konvensyen ini menjadi penggalak kepada warga Jabatan Pelajaran Negeri Johor untuk membimbing para pelajar dengan lebih aktif dan efisien dalam usaha untuk melahirkan ‘global player’ pada masa hadapan. Seterusnya, Kerajaan negeri Johor juga sangat berharap agar warga pendidik terutamanya dapat merealisasikan hasrat untuk mewujudkan Johor Berkemajuan yang lahir daripada Muafakat Johor. “Bersama Membangunkan Johor”, Sekian, terima kasih.


TEKS UCAPAN YANG AMAT BERHORMAT DATO SRI HAJI MOHAMED KHALED BIN NORDIN MENTERI BESAR JOHOR SEMPENA MAJLIS PERASMIAN KONVENSYEN PAK-21 PADA 15 APRIL 2017 (SABTU) DI DEWAN UTHM, BATU PAHAT, JOHOR.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia dan Salam Muafakat Johor. (Sapaan terkini disediakan oleh SPA, JPNJ)

1. Alhamdullilah, saya bersyukur atas limpahan kurnia dan hidayah daripada Allah SWT kerana berkesempatan untuk hadir dalam Majlis Perasmian Konvensyen Pembelajaran Abad Ke-21(PAK-21) anjuran bersama Kerajaan Negeri Johor dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor pada pagi yang berbahagia ini. 2. Tahniah dan syabas kepada Jabatan Pendidikan Negeri Johor atas inisiatif menganjurkan program yang julung-julung kalinya diadakan demi memartabatkan sistem pendidikan di negara ini amnya dan negeri Johor khususnya. Dato'-dato', Datin-datin, Tuan-tuan dan puan-puan, 3. Dunia hari ini bergerak pantas dan dipenuhi inovasi dan kreativiti yang tidak berpenghujung. Jika kita menoleh sebentar melihat era 1980-an dan 1990-an, pastinya kita dapat merasakan betapa dunia dan persekitaran kita telah mengalami perubahan pesat yang didukung oleh


globalisasi dan teknologi. Kita bukan sekadar ingin memajukan negara tetapi juga memajukan masyarakat di negeri Johor ini selaras dengan kehendak global, dan segalanya bermula di sekolah. 4. Andreas Schleicer, Ketua Jabatan dan Penyelaras Program Penilaian Pelajar Antarabangsa dan Indikator Sistem Pendidikan OECD mengatakan bahawa ‘Pelajar berusia 15 tahun pada hari ini, yang kurang mahir dalam penyelesaian masalah akan menjadi individu yang akan sukar mendapatkan pekerjaan yang baik atau mengekalkannya pada masa hadapan�. 5. Hal ini hakikatnya sangat berkait rapat dengan cara kerja, gaya hidup, pemikiran, sikap serta budaya kita yang semuanya terkesan oleh transformasi yang sedang mendominasi dunia. 6. Laporan Kajian Keberkesanan Pekerja pula memberikan gambaran bahawa majikan sering mengharapkan bakal pekerjanya memiliki tiga kluster kemahiran iaitu Pengurusan Diri, Kualiti Peribadi dan Kerja Berpasukan. Namun, corak pendidikan sedia ada, yang berorientasikan peperiksaan, seolah-olah tidak mampu memenuhi tuntutan ini. Yang sudah berakar umbi dalam sistem selama ini hakikatnya sudah tidak relevan dengan perubahan dinamik yang sedang berlaku. 7. Satu hal lagi ialah Sir Kenneth Robinson, Penasihat Pendidikan, Kreativti dan Inovasi Antarabangsa membuktikan bahawa kehidupan generasi X, Y dan Z pada hari ini sudah tidak boleh dipisahkan dengan dunia digital. Maklumat dan pengetahuan yang diperoleh bukan sekadar daripada buku atau bilik darjah, malah melangkaui jangkaan pemikiran manusia iaitu penerokaan ilmu tanpa sempadan. Fenomena seperti ini bukan hanya berlaku di negara-negara maju bahkan di seluruh dunia, termasuk Malaysia. 8. Dengan dinamika dan perubahan yang begitu pantas, adakah wajar untuk kita terus mengguna pakai kaedah pendidikan tradisional? Adakah kita yakin bahawa kaedah sedia ada mampu melahirkan modal insan yang mampu mendepani cabaran abad ke-21 yang semakin kompleks dan


bervariasi? Wajarkah kita terus menggunakan perahu untuk tiba ke destinasi sedangkan pelbagai ciptaan pengangkutan canggih sudah pun mendominasi mobiliti dunia? 9. Maka, di bawah lembayung Muafakat Johor, Kerajaan Negeri Johor dengan diterajui oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan sokongan daripada pelbagai agensi lain telah merangka dan menggerakkan konsep Pembelajaran Abad ke-21 atau dikenali sebagai PAK-21 sebagai satu bentuk transformasi dalam pedagogi pengajaran di dalam dan di luar bilik darjah. 10. Daripada pedagogi yang dijalankan inilah kita berhasrat untuk melahirkan pelajar yang mempunya 4 kemahiran PAK-21 iaitu kemahiran berkolaboratif, kemahiran berkomunikasi dan mempunyai pemikiran yang kritis dan kreatif atau 4C. 11. PAK-21 menjadi platform baharu bagi melahirkan pelajar yang bukan sekadar ulat buku, bijak membaca dan menulis jawapan di atas kertas atau cemerlang dalam peperiksaan, namun, apabila berhadapan dengan realiti, langkahnya kaku dan mindanya beku. 12. Yang kita hasratkan ialah pelajar yang mempunyai pengetahuan, berkemahiran berfikir, berkemahiran memimpin, berkemahiran dwibahasa, beretika , mempunyai nilai kerohanian yang tinggi dan mempunyai identiti nasional selaras dengan tuntutan semasa dan cabaran masa hadapan yang lebih kompleks. Dato'-dato', Datin-datin, Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian, 13. Laporan Daya Saing Global 2015 meletakkan negara kita dalam kelompok negara transisi iaitu negara dengan ekonomi yang dipacu oleh kecekapan (efficiency-driven), dan sedang beralih kepada negara yang dipacu oleh inovasi (innovation-driven).


14. Dengan kata lain, aspek inovasi dan kreativiti mula menjadi tunjang ekonomi, bukan semata-mata dari segi pengeluaran. Sejak di bangku sekolah, pelajar mesti dilatih untuk menjana idea, kreatif dan inovatif dalam mencipta sesuatu. Guru pula berperanan mendorong dan menyokong kreativiti dan inovasi dengan membuka ruang kepada pelajar serta memberikan pelbagai bentuk penghargaan sewajarnya kepada mereka sehinggalah kreativiti dan inovasi ini menjadi budaya yang berkesinambungan dalam kehidupan mereka. 15. Komunikasi yang berkesan merupakan salah satu faktor kemajuan sesebuah bangsa. Kemahiran komunikasi pelbagai bahasa merupakan satu kelebihan atau kredit yang bakal menyokong pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan. Bukan setakat berbahasa semata-mata, malah kemampuan memujuk dan berinteraksi dengan pelbagai pihak bagi menjayakan sesuatu matlamat menjadi sesuatu yang amat penting pada masa ini. Di sinilah signifikannya pembelajaran berpusatkan murid yang melatih murid untuk berani ke hadapan, memberikan idea, berhujah, menyuarakan pendapat, mengkritik, membahas, menganalisis, menilai dan mencipta sesuatu yag baharu.

Dato’-dato’, Datin-datin, Tuan-tuan dan puan-puan, 16. Sikap nafsi-nafsi perlu disingkirkan demi kemajuan kerana persaingan peribadi itu adalah sangat berbahaya. Sebaliknya, kemajuan negara digerakkan oleh semua komponen secara bersepadu. Oleh itu, elemen kolaboratif dan kooperatif dalam PAK-21 akan memecahkan pemikiran individualistik seterusnya menggalakkan murid-murid bekerjasama meneroka ilmu dan menguasainya. Pelajar akan saling membantu mengikut keupayaan masing-masing. Bukankah muafakat membawa berkat? 17. Critical thinking atau pemikiran kritikal pula menjadi asas utama dalam mendepani kerenah dunia hari ini. Lantaran kemajuan sains dan teknologi, segala-galanya harus dilihat dengan pemikiran yang tajam dan bijak.


Bukan sekadar atas angin atau sepintas lalu. Kajian yang sifatnya analitikal merupakan kuncinya. Sesuatu keputusan atau hujah mestilah bersandarkan bukti yang konkrit. Maka, pemikiran kritikal sangat penting demi melahirkan generasi yang mempunyai budaya ilmu kemahiran berfikir, berakhlak terpuji dan mampu mendepani sebarang cabaran. 18. Dengan begitu besarnya harapan negara terhadap generasi hari ini, maka PAK-21 adalah jawapan dan penyelesaian terbaik. Pelajar akan dapat melihat dunia pendidikan dengan wajah yang berbeza. Mereka akan sedar bahawa mereka mempunyai pelbagai potensi dan boleh melangkah lebih jauh. Mereka akan berasa bahawa peranan mereka sangat besar terhadap negara, rasa dihargai dan bertambah yakin dengan kebolehan diri. 19. Inilah juga yang dihasratkan dalam Gagasan Johor Berkemajuan. Salah satu fokus utamanya ialah pendidikan secara holistik. Pendidikan yang mengambil kira semua aspek dan kebolehan. Pendidikan yang bukan berakhir dengan sijil akademik semata-mata tetapi pembelajaran sepanjang hayat dan pembelajaran untuk meneruskan kelangsungan kehidupan. 20. Maka, di pihak Kerajaan Negeri, saya amat mengalu-alukan kerjasama positif bersama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor yang mengambil inisiatif untuk merangka dan seterusnya menggerakkan PAK-21 di sekolahsekolah di seluruh negeri Johor. Dengan kekuatan guru dari 110 buah sekolah rintis PAK-21 di Johor, dan Sekolah Amanah di Johor, saya berkeyakinan penuh bahawa PAK-21 dapat disebarluaskan ke semua sekolah di negeri Johor dengan lebih pantas sekali gus menjadi penanda aras kepada PAK-21 di Malaysia. 21. Malah, saya difahamkan sejak belakangan ini, mana-mana organisasi pendidikan yang melawat ke sekolah-sekolah di Johor akan memastikan bahawa salah satu agendanya adalah dengan menyaksikan sendiri pelaksanaan PAK-21 bukan sahaja dari segi pembelajaran di dalam bilik darjah tetapi juga dari segi pengurusannya . Syabas dan tahniah saya ucapkan.


22. Justeru, secara peribadi, saya menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan PAK-21. Saya juga menyokong penganjuran Konvensyen PAK-21 seperti ini supaya menjadi wadah untuk kita dapat meletakkan sistem pendidikan kita sejajar dengan negara-negara maju. Konvensyen ini juga diharap menjadi medan permuafakatan antara sekolah, PPD, Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Kerajaan Negeri Johor serta pelbagai pihak berkepentingan bagi menjana idea dan memacu gelombang dua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025) iaitu memacu peningkatan sistem seterusnya memenuhi hasrat gelombang 3 iaitu menganjak ke arah kecemerlangan melalui peningkatan tadbir urus sendiri. 23. Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan terima kasih yang tidak terhingga sekali lagi kepada Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, JPN Johor, warga pendidik seluruh negeri Johor, ibu bapa serta pelajarpelajar di seluruh Johor yang telah sama-sama merancakkan pelaksanaan dan memastikan keberhasilan PAK-21. 24. Semoga Konvensyen PAK-21 ini akan memanfaatkan kita semua sekali gus memartabatkan pendidikan di Johor selaras dengan Gagasan Johor Berkemajuan dan slogan ‘Johor Showcase’ 25. Saya mendoakan semoga usaha murni yang dilaksanakan ini akan membuahkan kejayaan dan mendapat keberkatan Allah SWT jua. 26. Maka dengan itu, dengan lafaz mulia Bismillahirrahmanirrahim sukacita saya merasmikan Konvensyen Pembelajaran Abad ke-21 Peringkat Negeri Johor Tahun 2017. Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


TEKS UCAPAN YANG BERBAHAGIA TAN SRI DR. KHAIR BIN MOHAMAD YUSOF KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA MAJLIS PENUTUPAN RASMI KONVENSYEN PAK-21 PADA 16 APRIL 2017 (AHAD) BERTEMPAT DI DEWAN UTHM, BATU PAHAT, JOHOR. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia dan Salam Muafakat Johor. (Sapaan terkini disediakan oleh SPA, JPNJ) Pendahuluan 1. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT dengan berkat limpah kurnia-Nya dapat kita berhimpun dalam Majlis Konvensyen Pembelajaran Abad Ke-21 Negeri Johor yang bertemakan “MUAFAKAT JOHOR MEREALISASIKAN PEMBELAJARAN ABAD KE21� pada pagi ini dengan usahasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor Bersama Exco Pendidikan, bersama Keusahawanan dan Koperasi Negeri Johor dan Pejabat Menteri Besar, Johor. Terima kasih dan syabas saya ucapkan kepada Jawatankuasa Pelaksana Konvensyen PAK21 yang telah menjayakan majlis kita pada hari ini. 2. Saya berasa gembira kerana setelah empat tahun pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, perubahan telah berlaku pada setiap peringkat, daripada penggubal dasar sehinggalah kepada pelaksana di sekolah. Sebagai warga pendidikan yang berpandangan futuristik, kita harus sedar bahawa terdapat agenda yang lebih besar bagi menyediakan anak-anak kita untuk masa hadapan mereka. Guru-guru kita kini lebih kreatif dan inovatif dalam menangani sebarang masalah semasa mendidik anak-anak bangsa kita. Pendidik hari ini perlu berupaya menjangkakan apa-apa yang akan terjadi kepada murid pada masa akan datang. Persoalannya, bagaimanakah bakat dan potensi


ini boleh dipupuk supaya murid tersebut dapat menjadi rakyat yang dapat menyumbang kepada negara? Bagaimanakah murid ini dapat dibangunkan secara holistik supaya dia dapat menghayati nilai etika dan kerohanian dan menjadi rakyat yang bertanggungjawab dan cinta akan negara?

Transformasi Nasional 2050 3. Kita berasa bertuah kerana pemimpin negara kita telahpun memandang begitu jauh ke hadapan, selaras dengan hasrat Kerajaan menyediakan generasi baharu masa hadapan berlandaskan wacana Transformasi Nasional 2050 atau TN50 yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. TN50 merupakan dasar futuristik yang bersifat holistik dan inklusif yang digagaskan untuk memeta hala tuju negara bagi tempoh tiga dekad akan datang. Sebenarnya, kita sebagai warga pendidik telah pun membina asas yang kukuh kepada generasi akan datang untuk merealisasi hasrat kerajaan ini. Kita juga bersedia untuk memenuhi aspirasi global kerana pendidikan yang diamalkan di negara ini adalah amat selari dengan Sustainable Development Goals (SDG) ke-4 mengenai pendidikan yang menetapkan sasaran enrolmen universal pada tahun 2030. Dalam konteks ini, peranan warga pendidikan amat penting bagi memastikan kejayaan transformasi pendidikan berupaya menganjak kualiti generasi baharu ke arah pemikiran yang lebih universal. Anjakan paradigma ini lebih menjurus kepada transformasi minda yang membolehkan mereka berdaya saing dan mampu berdikari untuk membangunkan negara menjelang tahun 2050. 4. Hasrat kementerian dalam memartabatkan pendidikan negara selaras dengan visi untuk meletakkan sistem pendidikan negara antara sepertiga teratas sistem pendidikan terbaik di dunia. Seterusnya kita akan melihat usaha-usaha Kementerian dalam proses pengantarabangsaan pendidikan. Oleh itu, kita perlu bersedia untuk melangkah ke hadapan bagi menjayakan transformasi pendidikan negara ini, demi menyediakan anak bangsa yang mampu berhadapan dengan cabaran global.


Para hadirin yang dihormati sekalian, Semakan Semula KSSR dan KSSM 2017 5. Melangkah ke tahun 2017 bermakna kita mula mengguna pakai Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) bagi mata pelajaran di bawah Kurikulum Standard Baharu Prasekolah (KSPK), Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Sebagaimana yang dijanjikan dalam PPPM 2013-2025, Kurikulum Standard Baharu Prasekolah (KSPK), Standard Sekolah Rendah (KSSR), Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) 2017 dilaksanakan bertujuan untuk mengimbangi set ilmu pengetahuan dan kemahiran seperti pemikiran kritis, kreatif dan inovatif, penyelesaian masalah dan kepimpinan untuk membolehkan murid bersaing pada peringkat global. 6. Pendekatan kurikulum standard baharu ini telah berubah ke arah pendidikan yang lebih mudah dan bersifat terbuka selari dengan konsep pembelajaran abad ke-21. Kurikulum tersebut memberi penekanan kepada pengajaran berpusatkan murid dan pembelajaran terbeza (differentiation), di samping memberi lebih penekanan kepada penyelesaian masalah, pembelajaran berasaskan projek (project based learning), memperkemas mata pelajaran atau tema, dan melaksanakan pentaksiran berterusan. Semakan ini juga melibatkan pemurnian dokumen KSPK kepada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang menghasilkan murid lebih kreatif dan inovatif. Hasilnya, penerapan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi secara eksplisit dapat dilihat apabila murid melangkah ke Tahun Satu. Kumpulan murid ini mempunyai pengetahuan yang kukuh dalam asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. 7. Di dalam KSSR (Semakan 2017) termasuk pendidikan khas, pelaksanaan mata pelajaran diperkukuh melalui elemen merentas kurikulum (EMK) merupakan unsur nilai tambah yang diterapkan dalam pembelajaran dan pengajaran. KSSM 2017 pula bertujuan memastikan


setiap murid dipupuk dengan etika dan kerohanian sebagai persediaan menghadapi cabaran masa hadapan seiring arus kemajuan dengan mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Penggubalan KSSM turut mengambil kira elemen yang memupuk nilai perpaduan dan keharmonian kaum untuk menjadi rakyat yang cinta akan negara dan berbangga menjadi rakyat Malaysia. Pentaksiran Berasaskan Sekolah 8. Selaras dengan usaha membangunkan murid secara holistik, KPM telah menambah baik pengoperasian peperiksaan kebangsaan dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) untuk meningkatkan peratusan soalan yang mentaksir kemahiran berfikir aras tinggi secara berperingkat-peringkat. Murid yang memerlukan bimbingan tambahan telah dan akan terus mendapat akses kepada bantuan yang bersesuaian dengan keperluan mereka. Guru berkualiti dan kepimpinan berprestasi tinggi juga akan ditempatkan di sekolah-sekolah seluruh negara bagi memastikan kemenjadian murid dan mendorong mereka menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan. 9. Pentaksiran yang mengukur murid bersandarkan keputusan peperiksaan atau akademik bukanlah menjadi keutamaan kerana pengukuran daripada aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani yang akan menyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan seseorang. Oleh sebab itu, dalam sistem pentaksiran PBS yang kita guna pakai sekarang, tahap pencapaian murid dinilai berdasarkan keputusan keseluruhan empat komponen penilaian yang merangkumi penghuraian keputusan mata pelajaran dalam ujian diikuti dengan pentaksiran tentang pelaporan kecergasan fizikal, minat dan kecenderungan seseorang murid. 10. Jelas di sini, kita mahu menghasilkan sistem pendidikan negara yang menyeluruh dan dapat mencambah pemikiran murid, bukan semata-mata sistem yang berorientasikan peperiksaan. Oleh itu, pada peringkat menengah rendah, kita telah melaksanakan Pentaksiran Berasaskan


Sekolah (PBS) dengan 4 komponen utama iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Psikometrik (PPsi), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Sememangnya PBS dirumus bagi memastikan tercapainya matlamat untuk melahirkan murid yang beradab dan berakhlak termasuk memberi penekanan utama terhadap konsep perkongsian ilmu. Perubahan UPSR 11. Sejajar dengan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah dan melengkapi pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah di samping membudayakan unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi, maka KPM turut memperkenalkan format Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang baharu dan ditambah baik. Calon UPSR pada tahun 2016 merupakan kohort pertama yang telah mengikuti KSSR dan melalui PBS sejak berada di Tahun 1 pada tahun 2011. Mereka menduduki UPSR bertujuan untuk melihat pencapaian dalam bidang akademik dari segi penguasaan kemahiran literasi, numerasi dan penaakulan atau asas 4M iaitu menulis, membaca, mengira dan menaakul. 12. Keputusan UPSR merujuk kepada tahap pencapaian akademik calon berdasarkan standard kandungan, standard pembelajaran dan standard prestasi seperti yang termaktub dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran, dan bukan merujuk kepada lulus atau gagal. Kita sepatutnya tidak menumpukan terhadap bilangan gred A yang diperoleh calon, sebaliknya melihat pencapaian mereka secara holistik. Ibu bapa perlu menaruh kepercayaan kepada Kementerian yang berusaha memberi penekanan kepada PBS, bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, bahkan kita dapat melahirkan murid yang berpotensi dan mempunyai kemahiran berfikir serta mampu menyelesaikan masalah dengan bijak. Marilah kita membuat anjakan minda untuk menghasilkan para pelajar yang bersifat global player. Pembelajaran Abad ke-21


13. Saya sendiri telah melihat bahawa perubahan ekosistem pembelajaran telah berlaku di bilik darjah semasa lawatan rasmi saya ke SMK Seri Perling, Johor Bahru. Perubahan ekosistem ini dilihat berupaya merealisasikan hasrat mencapai 6 Aspirasi Murid. Keseimbangan ilmu dan akhlak dalam pendidikan akan menyediakan generasi masa depan dengan perubahan landskap pendidikan tinggi dan cabaran abad ke-21. Pembelajaran Abad ke-21 yang berkonsepkan pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang kondusif, terbuka, interaktif, menarik dan berpusatkan murid bukan setakat merujuk kepada penggunaan gajet, perkakasan dan perisian terkini teknologi ICT dalam bilik darjah. Guru berperanan sebagai pemudah cara yang mampu mewujudkan PdP berpusatkan murid dengan menekankan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi. Saya kagum dengan kebolehan anak didik kita yang mampu berkomunikasi di khalayak dengan penuh yakin. Jelas sekali, pada masa ini, guru-guru kita telah bersedia mengubah pendekatan dalam PdP yang mengutamakan keberhasilan dan kemenjadian murid. Sekolah Transformasi 14. Selaras inisiatif tersebut, Kementerian telah melaksanakan Sekolah Transformasi dengan membangunkan persekitaran sekolah yang lebih berkesan, menyediakan suasana bilik darjah yang kondusif dan fleksibel, menggunakan teknik PdP yang kreatif dan berkesan dan pengurusan sekolah yang cekap. Program Sekolah Transformasi ini yang melibatkan 100 sekolah di seluruh negara merealisasikan Pembelajaran Abad ke-21 akan diperluaskan pada tahun ini melibatkan 100 buah sekolah lagi. Sehubungan dengan itu, bagi memperkasakan sekolah transformasi ini, guru-guru perlu meningkatkan profesionalisme dengan membudayakan Professional Learning Community (PLC). Setakat ini, terdapat 64 buah sekolah yang dipilih sebagai sekolah showcase PLC pada tahun 2016. Setiap daripada 64 buah sekolah ini akan berkongsi kepakaran dengan 4 sekolah berdekatan, justeru pada tahun 2017 sebanyak 256 sekolah akan terlibat dengan penyebarluasan pembudayaan PLC mengikut JPN dan PPD setiap negeri. Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti Dan Sektor Swasta


15. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap sokongan dan pelibatan ibu bapa dalam memastikan aspirasi pendidikan negara dapat dicapai. Di serata negara, kita dapat melihat peningkatan pelibatan ibu bapa dalam aktiviti dan program sekolah. Ibu bapa, komuniti dan sektor swasta, diharapkan dapat melibatkan diri dalam apa-apa jua aktiviti pendidikan di sekolah untuk kemaslahatan anak-anak melalui sokongan dan bantuan kepada sekolah sama ada dari segi pandangan, kemahiran mahupun kewangan. Marilah bersama-sama memberi perhatian, kasih sayang dan bertanggungjawab dalam pendidikan anakanak kita supaya mereka dapat mencorakkan masa depan yang lebih bermakna. Senarai Inisiatif PPPM 2017 16. Bagi memastikan momentum Gelombang 2 PPPM (2016-2020) terus dapat memacu peningkatan sistem, inisiatif PPPM telah dikemas kini selaras dengan pencapaian yang telah diraih pada tahun sebelumnya. Berdasarkan senarai inisiatif utama dan inisiatif sokongan yang akan dilaksanakan oleh bahagian berkaitan dan dipantau oleh Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU), saya yakin bahawa transformasi pendidikan kita akan terus berada di landasan yang betul. 17. Tahun 2017 ialah tahun keramat bagi KPM untuk terus memacu ke arah Agenda Transformasi Pendidikan secara agresif kerana ini merupakan tahun kedua Gelombang 2 PPPM 2013-2025. Kepada semua pendidik dan pemimpin pendidikan, pertingkatkanlah usaha untuk menambah pengetahuan dan kemahiran, terutamanya dalam mempelbagaikan strategi pembelajaran dan pengajaran. Generasi Y kini telah mendahului zaman dari segi teknologi. Perhebatkanlah strategi pengajaran ke arah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) sejajar dengan Pembelajaran Abad ke-21. Pembelajaran berkonsepkan didik hibur, konstruktivisme, akses kendiri, flipped classroom dan seumpamanya perlu diaplikasikan secara berterusan. Insya-Allah, murid akan bersedia menghadapi sebarang cabaran.


18. Sebelum mengakhiri bicara, saya mengucapkan tahniah kepada Jabatan Pendidikan Negeri Johor yang telah berjaya mengorak langkah melaksanakan Pembelajaran Abad ke-21(PAK21). Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah berjaya mewujudkan Sekolah Rintis Pembelajaran Abad Ke-21 yang menjadi sekolah showcase kepada sekolah-sekolah di negeri Johor seterusnya mengubah landskap pendidikan Negeri Johor. Konvensyen PAK-21 merupakan satu platform yang sangat tepat sebagai satu usaha untuk mempromosi transformasi pendidikan Johor. Konvensyen ini menjadi pemangkin untuk meneruskan agenda pendidikan negeri Johor selaras dengan slogan Johor Berkemajuan. Tahniah dan syabas kepada Kerajaan Negeri Johor atas komitmen membuka ruang dan peluang kepada Jabatan Pendidikan negeri Johor menganjurkan Konvensyen PAK21. 19. Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan konvensyen PAK-21 Negeri Johor yang bertemakan “MUAFAKAT JOHOR MEREALISASIKAN PEMBELAJARAN ABAD KE-21� Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya menutup konvensyen ini dengan rasminya. Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Turn static files into dynamic content formats.

Create a flipbook
Issuu converts static files into: digital portfolios, online yearbooks, online catalogs, digital photo albums and more. Sign up and create your flipbook.