1 minute read
Sejarah Kemunculan Mu’tazilah
SEJARAHKEMUNCULAN MU’TAZILAH
197. Mu’tazilah ( ) adalah satu daripada cabang pemikiran dalam Islam yang terkenal dengan sifat rasional dan liberal. Sejarah munculnya aliran Mu’tazilah bermula di kota Bashrah (Iraq) pada abad ke 2 Hijrah ketika pemerintahan khalifah Abdul Malik Bin Marwan dan khalifah Hisyam Bin Abdul Malik. Pengasasnya adalah seorang penduduk Basrah bernama Wasil bin Ata’ Al-Makhzumi murid kepada tokoh Tabiin terkenal Al-Hasan Al-Basri. Ketika itu perbahasan ilmu kalam menjadi perdebatan hangat di kalangan ahli ilmu di mana Wasil bin Ata’ berpendapat seorang Muslim yang melakukan dosa besar terkeluar daripada Islam akan tetapi tidak termasuk dalam kalangan orang kafir (Fasiq) dan tempatnya di tengah tengah antara dua kedudukan (manzilah bain al-manzilatain). Atas perselisihan ini Wasil dan pengikutnya telah mengasingkan dirinya daripada gurunya al-Hasan al-Basri dan mengambil salah satu tiang masjid untuk mempertahankan pendapatnya. Akhirnya kumpulan ini dikenali sebagai Mu’tazilah bermaksud golongan yang mengasingkan diri daripada aliran kebenaran. Golongan ini juga menggelar diri mereka sebagai Ahl al-Tawhid wa al-'Adl (golongan tauhid dan keadilan Tuhan) berdasarkan ideologi yang mereka perjuangkan melalui sistem Islam yang berdasarkan akal. Mereka juga dilabel sebagai golongan yang berpegang kepada prinsip kebebasan melakukan sesuatu.
Advertisement
198. Pada ketika itu Mu’tazilah tidak membawa sebarang maksud tidak baik, hanya sekadar perbezaan pendapat yang berlaku. Namun, setelah pelbagai pendapat dikemukakan oleh kumpulan tersebut mula bertentangan dengan pembawaan ulama muktabar maka Mu’tazilah merujuk kepada aliran pemikiran yang negatif. Perkara ini berlaku disebabkan golongan ini terpengaruh dengan mazhab pemikiran logik dan falsafah Yunani, India dan Parsi. Justeru itu, menurut Muhammad Husein al-Zahabi dalam kitab al-Tafsir wa al-Mufassirun tidak hairan sekiranya sumber pengetahuan yang diperakukan mereka datangnya daripada logik akal berbanding nas-nas syara’. Malahan akal menjadi dalil kukuh dan kata pemutus dalam menentukan suatu perkara walaupun bertentangan dengan dalil al-Quran dan al-Sunnah, lebih parah dalil-dalil syara’ ditakwilkan mengikut selera mereka sendiri agar sesuai dengan prinsip-prinsip pemikiran mereka.
131