4 minute read
Khidmat Terakhir Seorang Anak
KHIDMAT TERAKHIR SEORANG ANAK Oleh Datuk Mohamad Din bin Yusoh
Dalam keadaan dunia ditimpa musibah besar seperti Covid ketika ini, pengorbanan besar perlu dilakukan oleh anak-anak untuk menjaga dan memelihara ibu bapa yang uzur atau sakit.
Advertisement
KEWAJIPAN berbuat baik terhadap ibu bapa adalah suatu ketetapan daripada ALLAH SWT kepada anak-anak. Lahirnya seorang anak ke dunia adalah disebabkan adanya mereka dan dengan kasih sayang mereka, anak itu dapat hidup dengan sempurna. Oleh sebab itulah ALLAH SWT meletakkan kedudukan ibu bapa cukup tinggi, hanya satu darjah di bawah tanggungjawab seorang hamba kepada ALLAH SWT dan Rasul-Nya. Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.” (al-Isra’, ayat 23) Maksud perintah berbuat kebaikan kepada ibu bapa dalam ayat tersebut membawa dua pengertian. Pertama kebajikan dan kebaikan terbaik yang dapat dilakukan seperti yang dilakukan oleh ibu bapa kepada anak. Kedua memastikan kebajikan mereka terjaga semasa mereka masih hidup. Berbakti kepada ibu bapa tiada batasan masa dan tempat, sama ada mereka masih bertenaga atau telah dimamah usia.
265
Namun, ketika mereka telah berusia, berbakti kepada mereka adalah wajib dilipat gandakan kerana usia tua membawa petaka dalam hidup dengan kudrat terbatas, sakit demam silih berganti dan berdikari atas kaki sendiri semakin sukar. Pendek kata, banyak menyusahkan daripada menyenangkan. Usia sebegini biasanya menjadi penyebab kepada pengabaian dan penghinaan kerana menyusahkan pihak lain, berbanding ketika usia muda dan mampu bekerja dengan meraih pendapatan lumayan, semua anak-anak suka. Selepas solat, ibu bapa tidak lupa berdoa untuk kesejahteraan anak-anak tetapi adakah anak-anak menunggu ibu bapanya meninggal baru mendoakan kesejahteraan untuk mereka? Inilah juga yang menjadi penyebab kepada berlakunya ibu dan ayah diserahkan ke rumah jagaan orang-orang tua atau bertukar menjadi gelandangan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang anak yang berbudi. Benar kata orang, seorang bapa boleh menjaga 10 orang anak tetapi belum tentu 10 orang anak mampu berbakti kepada seorang ayah dan ibu.
PENGORBANAN
Dalam keadaan dunia ditimpa musibah besar seperti Covid ketika ini, pengorbanan besar perlu dilakukan oleh anak-anak untuk menjaga dan memelihara ibu bapa yang uzur atau sakit. Namun, kefahaman kepada aturan agama perlu diutamakan supaya tidak timbul fitnah. Ada ketikanya ibu meninggal lebih awal dan bapa akan tinggal seorang diri atau sebaliknya. Pada masa yang sama, mereka menghidap penyakit seperti asma yang kronik, pitam (low blood), kepala pusing (vertigo), membeser (prostat), sesak nafas, lemah atau sakit jantung dan sakit tulang belakang (slip disc), ada waktu tertentu perlu dipimpin ke tandas. Apatah lagi bapa terlantar seorang diri di atas katil yang memerlukan pembersihan najis dan kencing serta mengenakan lampin, memberi ubat dan sebagainya. Bagi anak-anak yang berkemampuan, mereka boleh mengambil orang gaji dan kebanyakan orang gaji dalam kalangan wanita tetapi bagaimana yang tidak berkemampuan? Bagaimana pula jika keluarga itu tidak ada anak lelaki, sudah tentu anak perempuan yang menguruskannya. Bersandarkan surah al-Nur ayat 58 dalam kitab tafsir al-Tabari dan tafsir al-Qurtubi, orang gaji dan anak yang belum baligh tidak boleh masuk ke bilik
266
tidur orang tua yang sedang bersama dan aurat terbuka dalam tiga masa setiap hari iaitu sebelum Subuh, waktu tengah hari dan selepas Isyak. Namun ayat itu tidak bermaksud membawa larangan khulwah atau bersendirian dengan mahram sendiri satu hari dalam tiga masa atau pada waktu-waktu lain dengan syarat ada keperluan dan diberikan keizinan orang tua. Jika keizinan sukar dilakukan disebabkan keadaan orang tua yang kurang pendengaran atau masalah lain, bilik mereka boleh dimasuki dengan mengambil kira hukum darurat seperti kaedah fiqah yang menyatakan ‘keadaan darurat boleh mengharuskan perkara yang dilarang’. Ulama mazhab empat Hanafi, Malik, Syafie dan Hanbali mengharuskan khulwah atau bersendirian dengan mahram sendiri yang berlainan jantina dalam kategori hubungan nasab (sebelah bapa) dengan syarat tidak menimbulkan keinginan syahwat. Justeru, seorang anak perempuan yang perlu berkhidmat kepada bapanya yang uzur perlu menjaga batasan auratnya dan tidur berlainan katil dengan tidak mendedahkan auratnya melebihi pada kadar dibenarkan oleh agama.
KEPERLUAN
Berlakunya sentuhan ketika adanya keperluan atau darurat seperti mencuci najis di bahagian alat sulit mahram dibolehkan dalam Islam dengan syarat sentuhan berlapik menggunakan sarung tangan, melihat tempat aurat sekadar diperlukan sahaja dan tidak menimbulkan fitnah. Kebajikan seorang anak terhadap ibu bapanya ketika mereka masih berada di dunia ini perlu dilaksanakan dengan sempurna apabila mereka telah meninggal dunia. Walaupun menguruskan jenazah hukum asalnya adalah fardu kifayah, namun sebagai seorang anak yang taat kepada ibu bapa, peranan tersebut seharusnya dilakukan oleh anak tersebut. Menurut Imam al-Nawawi, keutamaan memandikan jenazah hendaklah diserahkan kepada ahli keluarga terdekat dalam kalangan lelaki, dalam erti kata sekiranya yang meninggal dunia itu seorang bapa, tanggungjawab memandikan jenazahnya hendaklah diuruskan oleh anak lelakinya yang lebih afdal. Pada masa yang sama, sekiranya isteri si mati masih hidup, beliau juga berhak memandikan jenazah suaminya kerana dalam sebuah riwayat Aishah yang bermaksud: “Sesungguhnya Abu Bakar mewasiatkan kepada (isterinya) Asma’ binti ‘Umais
267
untuk memandikan (jenazahnya).” Jadi, keutamaan jenazah lelaki didahulukan secara tertib golongan lelaki daripada kalangan kaum kerabat, kemudian isteri, kemudian orang lelaki ajnabi (bukan kerabat) dan kemudiannya wanita-wanita mahram (seperti anak perempuan). Dalam erti kata lain, pengurusan jenazah lelaki diuruskan oleh lelaki dan begitulah sebaliknya. Setelah itu anak lelaki bertanggungjawab mengimamkan solat jenazah ibu bapanya sebagai lambang khidmat terakhir buat orang tuanya. Anak perempuan juga harus melaksanakan solat jenazah walaupun tuntutan fardu kifayah tidak tertakluk kepada mereka. Semoga segala jasa dan pengorbanan mereka diberi ganjaran selayaknya di sisi ALLAH SWT sebagai anak yang soleh.
268