3 minute read
Mesej Presiden
Ahli-ahli yang budiman,
2022 merupakan tahun yang penuh peristiwa meskipun terjejas oleh pandemik. Selama beberapa bulan yang lalu, prospek ekonomi dan perniagaan semakin menjanjikan harapan positif dengan pemulihan dan pembukaan operasi berbagai bidang perniagaan.
Meskipun berhadapan dengan berbagai cabaran semasa pandemik melanda, saya dengan rasa sukacitanya menyatakan bahawa industri jualan langsung telah bergerak maju ke hadapan dan berkembang dengan pesatnya. Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), peningkatan jualan sebanyak 19 peratus telah dicapai di kalangan syarikat-syarikat jualan langsung pada tahun 2020, mencatatkan jumlah RM25.7 bilion berbanding RM21.5 pada tahun 2019. Setakat hujung Ogos 2022, peroleh jualan industri berjumlah RM24 bilion dan diunjurkan mencapai RM26.5 bilion. Malaysia juga mencatat tempat ke 6 jualan tertinggi di seluruh dunia dan ke 4 di rantau Asia Pasifik menurut Laporan Penjualan Runcit Jualan Langsung 2021 terbitan Persekutuan Persatuan Jualan Langsung Sedunia (WFDSA). Sememangnya ini merupakan satu berita yang menggalakkan di tengah-tengah suasana pandemik dan ia menunjukkan betapa berpotensinya industri jualan langsung.
Tahun ini, KPDNHEP telah melancarkan pelan strategik jualan langsung yang merupakan pelan tindakan Kementerian tentang hala tuju masa depan industri, yang diwujudkan untuk kepentingan semua pihak yang terlibat dalam industri ini demi untuk menubuhkan ekosistem perniagaan yang lebih dinamik dan kondusif yang boleh dimajukan di dalam negara kita dan juga di peringkat antarabangsa. Rakan ahli jawatankuasa bersama dengan saya telah berpeluang berbincang dengan Datuk Azman Mohd Yusof, Ketua Setiausaha KPDNHEP, di mana beliau telah berkongsi perspektif beliau tentang hala tuju industri ini dan peranannya dalam ekonomi digital. Saudara-saudara dipersilakan membacanya dalam keluaran ini dan mendapat maklumat tentang pelan strategik yang akan mengencangkan industri ini Semasa pandemik melanda, ramai di kalangan ahli-ahli kita telah mengalami aspek-aspek positif perniagaan dan transaksi serta alat-alat untuk meningkatkan keupayaan perniagaan mereka dengan cepat. Malahan, dalam banyak bentuk, keupayaan digital memang boleh dianggap sebagai ‘penyelamat hayat’ bagi industri ini di tengah-tengah halangan pergerakan akibat pandemic yang melanda. Masyarakat umum juga telah menjadi lebih mesra di dalam penggunaan teknologi dalam talian dan digital untuk membuat pembelian produk dan perkhidmatan. Tambahan lagi, pandemik juga telah membuka mata masyarakat umum tentang betapa pentingnya produk-produk dan suplemen kesihatan di dalam melawan gejala COVID-19 dan supaya kekal sihat. Ini adalah prospek yang bermanfaat bagi industri jualan langsung, kerana ia meninggikan lagi permintaan bagi produkproduk kita. Ia telah membuka sudut-sudut peluang baharu bagi para penjual langsung apabila pengguna-pengguna berikhtiar untuk mendapatkan kaedah bagi merangsangkan sistem imunisasi mereka, untuk dapat pulih dari jangkitan COVID-19 dan untuk kekal mengekang diri daripada dijangkiti COVID. Oleh itu, kita perlu terus mempromosikan makanan kesihatan, suplemen dan produk kita, dan membantu masyarakat menguatkan kesihatan mereka sambil memberi mereka peluang untuk meraih pendapatan tambahan.
Semasa pandemik ramai telah hilang pekerjaan atau mendapati pendapatan mereka semakin berkurangan, yang juga telah membawa kesedaran tentang betapa pentingnya mendapatkan sumber untuk menambahkan pendapatan untuk menanggung kehidupan semasa dalam kesusahan. Itulah beberapa manfaat yang ditawarkan oleh industri jualan langsung kepada masyarakat umum.
Dalam minggu yang akan datang, Persatuan Jualan Langsung Malaysia (DSAM) telah merancang mengadakan berbagai kegiatan untuk memacu industri supaya semakin teguh, termasuk sesi-sesi keterlibatan dengan ajensi-ajensi kerajaan, seperti KPDNHEP.
Dengan termetrinya satu pelan hala tuju, kita berhasrat terlibat bersama-sama dengan KPDNHEP bagi mencapai interaksi serta kerjasama dan bergerak ke hadapan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan di dalam pelan hala tuju tersebut.
Apabila momentum ekonomi kian pulih, dan halangan-halangan semakin kurang, ahli-ahli kita telah juga meningkatkan kegiatan penjualan di luar talian. Saya harap anda semua berupaya mencapai kepada lebih ramai lagi orang melalui berbagai aktiviti seperti konvensyen-konvensyen, perjalanan dan berbagai acara, sambil terus juga membina alat-alat dalam talian anda. Seperti yang telah kita lihat, keupayaan digital dan kegiatan perniagaan luar talian adalah saling berhubung di masa kini – mereka saling berganding bahu dan begitulah keadaannya masa akan datang!
Manfaat yang terhasil daripada kesusahan kini kelihatan agak jelas, jadi marilah kita mengambil kesempatan daripada peluang yang terdapat di pasaran, berfikir di luar kotak dan terus memacu industri jualan langsung ke hadapan. Ingatlah, “Tidak ada jalan lain yang harus ditempuhi, melainkan jalan ke hadapan.” Nikmatilah majalah yang diterbitkan ini dan saya harap dapat bertemu anda dalam acara-acara DSAM dalam beberapa minggu dan bulan yang akan datang ini.