2 minute read
Pengenalan
Saya berkecimpung dalam bidang kaunseling selama 20 tahun. Bermula pada tahun 1998, saya dan suami menjalankan kaunseling pra-nikah. Selama beberapa tahun ini, kami menyaksikan cabaran dan pergelutan dalam perkahwinan yang dihadapi oleh suami dan isteri, terutamanya pasangan muda. Hal ini berpunca daripada ibu muda yang kurang pengalaman dan tidak jelas dengan masa depan mereka sehingga mengakibatkan ketakutan dan rungutan dalam soal mendidik anak. Ada ibu yang memilih untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya mereka; walaupun ada ibu memilih untuk menjadi ibu sepenuh masa, apabila mereka tidak mendapat pengiktirafan daripada masyarakat dan orang-orang di sekeliling mereka, termasuklah diri sendiri, akhirnya semua ini menimbulkan keraguan terhadap identiti sendiri serta perasaan yang sukar untuk diluahkan. Akibatnya, ibu-ibu yang muda terpaksa menghadapinya secara diam, mengharapkan anak-anak membesar dengan cepat agar mereka boleh melakukan perkara yang disukai.
Tujuan saya menulis buku ini adalah menjurus kepada pergelutan yang dihadapi oleh ibu-ibu dan dijadikan perkongsian bersama. Hal ini turut membantu mereka melihat kehidupan secara menyeluruh itu terdiri daripada pelbagai musim. Saya berharap ibu-ibu memahami bahawa setiap musim dalam kehidupan kita mempunyai maknanya yang tersendiri. Setiap perkara yang dilakukan oleh setiap ibu dalam setiap musim pasti akan membawa impak kepada musim yang seterusnya. Justeru, kuasa membuat pilihan itu terletak pada tangan kita sendiri. Buku ini terbahagi kepada tiga bahagian utama. Bahagian pertama menjurus kepada erti menjadi seorang ibu. Hal ini dapat membantu ibu melihat erti menjadi seorang ibu itu dari perspektif anak, perbezaan peranan ibu bapa dan secara keseluruhan. Semua ini membantu kita memutuskan
bagaimana melihat kehidupan seorang ibu itu dalam musim yang berbeza. Bahagian kedua memfokuskan kepada cabaran yang bakal dihadapi oleh para ibu dalam setiap musim itu. Cabaran ini dapat menambahkan pengalaman para ibu dan memberikan ruang kepada diri untuk membuat persiapan bagi menghadapi musim berikutnya. Bahagian ketiga memberi harapan kepada para ibu, membantu mereka melihat keadaan yang sebenar serta memikirkan bagaimana membawa kebahagiaan kepada masa depan mereka. Saya berharap buku ini dapat menjadi ilham kepada para ibu, membantu mereka memiliki keyakinan, menyambut setiap musim dan cabaran dalam proses mendidik anak-anak.
Buku ini mengandungi banyak pengalaman saya sendiri, dan beberapa contoh kes kaunseling. (Kisah-kisah yang dipaparkan tidak menggunakan nama sebenar tetapi telah mendapat persetujuan daripada mereka yang terlibat). Kami (termasuk mereka yang terlibat) sangat berharap perkongsian yang tulus ini dapat dikongsi bersama dengan para pembaca. Kami turut berharap perkongsian sedemikian dapat menjadi saluran kepada para ibu untuk bertumbuh.
Buku ini tidak menggunakan kaedah mengajar secara langsung, sebaliknya berkomunikasi dengan para pembaca melalui kandungan buku ini. Sepanjang proses membaca, para pembaca boleh menjawab soalan yang diutarakan dan contoh-contoh yang dikongsi, memberikan ruang kepada diri sendiri untuk membuat renungan dan bertumbuh. Anda juga boleh menyediakan sebuah buku nota untuk membuat catatan dan menulis renungan daripada pembacaan buku ini. Saya percaya anda akan mempelajari sesuatu yang baharu. Saya berharap dapat mengembara bersama anda dalam perjalanan hidup sebagai seorang ibu.
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan atau perkongsian, anda dialu-alukan untuk berkongsi dengan saya melalui alamat e-mel yang berikut: yeebinv@gmail.com. Terima kasih!
Ibu-ibu, marilah kita memulakan sebuah dialog dari hati ke hati yang menakjubkan!