8 minute read

Definisi Istilah “Bermakna”

Next Article
Penghargaan

Penghargaan

Apabila sesuatu dianggap “bermakna”, ini menjadi suatu istilah yang sangat subjektif. Sesuatu perkara itu bermakna atau tidak, bergantung kepada pentakrifan setiap orang yang berbeza.

Suatu hari saya bersendirian bersama anak perempuan saya di rumah. Saya bertanya kepadanya: “Apa yang kamu hendak lakukan bersama-sama ibu?” Dia menjawab: “Saya mahu rambut bergulunggulung seperti ibu.” Saya pun menghabiskan lebih kurang dua jam untuk mengulungkan rambutnya. Ketika hampir selesai, saya memperhatikan keletihan terpancar pada wajahnya. Tulang belakang saya juga berasa lenguh. Saya pun bertanya kepadanya, “Kamu suka stail rambut ini?” Dia menjawab: “Suka, tetapi aku mengantuk, aku mahu tidur.” Sekiranya anda berada dalam situasi tersebut, apakah perasaan anda?” Aduhai, dua jam sudah dihabiskan, melihat hasil rambutnya pun tidak, langsung mahu tidur? Dua jam yang dihabiskan tanpa makna! Mungkin kita akan berfikir sedemikian, bukan? Namun pada waktu itu, saya membuat keputusan untuk melihat situasi tersebut daripada perspektif yang berbeza. Saya mengerti sepanjang waktu kami bersama, anak saya berasa disayangi. Apabila saya berbuat demikian, dia akan merasai kasih ibu lebih dalam lagi. Oleh sebab itu, saya tidak menganggap situasi sedemikian membazir masa, sebaliknya ia merupakan sesuatu perkara yang sangat bermakna. Saya mengambil kamera lalu mengambil gambar rambutnya. Kemudian, anak perempuan saya tidur dengan tenang disertai dengan ulitan kasih sayang daripada ibu. Tersemat dalam ingatan, malam itu merupakan malam yang bermakna bagi kami.

Demikian juga, setiap orang mempunyai pentafsiran yang berbeza tentang seorang ibu. Ada yang menganggap tanggungjawab ibu adalah memelihara anak-anak mereka sehingga gemuk gebu

dan sihat walafiat. Oleh itu, ibu menumpukan seluruh perhatiannya menjaga pemakanan anak-anak. Ada pula yang menganggap anak-anak haruslah diberikan pendidikan yang tinggi, menjalani kehidupan yang berkualiti, barulah mereka boleh hidup dengan gembira. Maka, ibu bapa menghabiskan masa untuk mencari wang yang banyak demi menjamin masa depan anak-anak mereka. Kesimpulannya, kesihatan dan masa depan anak-anak telah menjadi penentu dalam menilai sama ada ibu bapa telah melaksanakan tanggungjawab mereka atau tidak. Akibatnya, apabila berlakunya suatu krisis, matlamat atau harapan tersebut akan tergugat. Misalnya, apabila anak mereka jatuh sakit, memberontak bahkan bunuh diri, hal ini membuat ibu berasa pengorbanan mereka selama ini tidak membawa apa-apa makna.

Pada suatu tahun, berita sensasi yang terpampang pada muka depan surat khabar adalah mengenai seorang anak doktor yang membunuh diri. Apabila ditemuramah, doktor ini menyalahkan dirinya yang selalu sibuk dengan kerjaya sehingga tidak ada masa menemani keluarga dan mengambil berat akan anaknya. Doktor ini berkata, “Saya tidak pernah meluangkan masa untuk menemaninya, sudah terlambat … sudah terlambat … ” Dia mengeluh: “Sebagai ibu bapa, kita seharusnya berkomunikasi dengan anak, barulah dapat memimpin mereka ke jalan yang benar … yang bunuh diri ialah anak tunggal saya, dimanjakan sejak kecil lagi bagaikan anak emas. Kemungkinan besar anak saya tidak mendapatkan apa yang diingininya, akibatnya dia tidak dapat menerima keadaan tersebut. Anak-anak sekarang haruslah mengalami erti kesusahan, tidak boleh menurut semua kehendak mereka, jika tidak mereka akan menjadi lemah, mempunyai pendirian yang cepat goyah … saya benar-benar bersalah terhadapnya. Inilah luahan isi hati saya.” Ayah ini berusaha mencari wang yang banyak, ingin memberi kehidupan yang baik kepada keluarganya dan pendidikan tinggi kepada anaknya, seperti dirinya sendiri—seorang profesional serta memiliki gaji yang tinggi. Tetapi, selepas anaknya meninggal dunia, semuanya

tidak bermakna lagi. Mungkin, jika bapa ini sudi meluangkan lebih banyak masa bersama anaknya, membantu anak ini apabila dia mempunyai keperluan, atau mengajar dia erti kehidupan, impianimpian yang disebutkan akan menjadi perkara yang bermakna jika dibandingkan dengan membelanjakan wang yang banyak untuk anaknya.

Namun tragedi yang sama boleh membawa keputusan yang berbeza. Sepasang suami dan isteri yang penyayang telah melahirkan seorang anak perempuan yang sangat comel setelah berkahwin selama beberapa tahun. Pasangan suami isteri ini sangat gembira dan menganggap anak ini seperti anak emas. Mereka mengucap syukur kepada Tuhan yang menganugerahkan hadiah yang terbesar ini kepada mereka. Mereka bertiga menjalani kehidupan yang bahagia. Namun, malang tidak berbau. Ketika anak perempuan mereka berusia 10 tahun, dia maut dalam nahas kemalangan jalan raya. Isteri yang terlebih dahulu mendengar berita ini berasa sangat sedih. Dia tahu bahawa suaminya tidak akan dapat menerima hakikat ini. Apabila suami itu pulang dari tempat kerja, isterinya berkata: “Andai kata seorang sahabat yang kaya meminjamkan sebutir permata kepada kita 10 tahun yang lalu. 10 tahun kemudian, dia mahu mengambil barang yang berharga ini semula, apa yang harus kami lakukan? Suaminya berkata: “Memang patut dikembalikan kepada pemiliknya! Kita sudah memilikinya selama 10 tahun, sudah cukup bersyukur!” Barulah sang isteri memberitahu hal yang sebenar bahawa permata yang berharga itu ialah anak perempuan mereka. Tuhan telah menyambutnya kembali ke syurga.

Pasangan suami isteri ini juga kehilangan anak mereka tetapi mereka mempunyai responS yang berbeza. Kemungkinan besar mereka menganggap diri mereka sebagai pengurus dalam membesarkan dan mendidik anak yang diamanahkan oleh Tuhan. Bagi mereka, anak ini merupakan barang berharga yang diamanahkan oleh Tuhan. Tanggungjawab mereka ialah melindungi

dan menghargai anak perempuan ini dengan sebaik-baiknya. Selama tempoh 10 tahun ini, mereka telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan meluangkan masa yang terbaik untuk menemani anak perempuan mereka. Tempoh selama 10 tahun ini sangat bermakna buat mereka. Kesimpulannya, tragedi ini membawa makna yang berbeza bagi setiap individu. Apakah itu “makna” yang sebenarnya? Antara punca kita menganggap kehidupan ini tidak bermakna adalah mungkin disebabkan kita terperangkap dalam suatu keadaan atau peringkat hidup, sehingga kita tidak dapat melihat masa depan dan menjadikan hidup ini seolah-olah tidak bermakna. Saya masih ingat sewaktu melahirkan anak yang pertama, semangat saya berkobar-kobar untuk menyusui anak seperti yang diajar dalam buku dan membina sebuah kehidupan yang berdisiplin. Tetapi, sebaik sahaja saya membuka mata, teringat perlu menyusukan anak setiap dua hingga tiga jam, enam hingga lapan kali sehari, menukar lampin secara berterusan dan sebagainya, hati saya mulai goyah. Tambahan pula, ibu mentua saya yang menjaga saya sewaktu berpantang.1 Pada pandangan ibu mertua saya, menyusui anak dengan susu ibu sahaja tidak mencukupi. Oleh sebab itu, dia selalu menasihati saya supaya menyusui anak dengan susu formula. Pada bulan tersebut, saya sangat bergelut kerana mahu meneruskan tekad untuk menyusui anak dengan susu ibu. Pada masa yang sama, saya tidak mahu menyakiti hati ibu mertua saya kerana niat dia memang baik. Pada tahun tersebut, saya tinggal di rumah seorang sahabat. Selepas ibu mentua saya datang, suami saya tidur di bilik bacaan untuk sementara waktu. Setiap kali bayi menangis pada waktu tengah malam, saya berasa sukar untuk bangun dari katil kerana kesakitan yang dialami akibat pembedahan. Saya berasa segan untuk membangunkan ibu mentua saya. Saya menyuruh suami saya datang membantu sebaik sahaja mendengar bunyi tangisan bayi. Tetapi bagi ibu mentua saya, lelaki seharusnya mendapatkan

rehat yang cukup. Sebaiknya jangan diganggu. Setiap kali saya memikirkan perkara yang remeh seperti ini, air mata saya mengalir deras. Saya terbaring di atas katil dan tertanya-tanya: Bilakah harihari sedemikian akan berlalu? Ketika memikirkan hal ini, saya tidak mempunyai semangat pun untuk bangun dari katil … .

Punca pergelutan ini adalah saya tidak menyedari makna di sebalik keadaan yang saya alami. Di akal fikiran saya, bukankah lebih bermakna jika saya terus bekerja? Atau selepas anak saya besar, saya boleh melakukan perkara yang lebih bermakna dan tidak perlu memerah otak untuk perkara yang remeh. Sebelum saya melahirkan anak, saya seorang yang aktif bekerja. Saya selalu mengadakan ceramah di persekutuan pelajar di pelbagai universiti, berkhutbah di gereja, memberikan perkhidmatan kaunseling dan ramai orang datang berjumpa dengan saya untuk meminta pendapat. Sebaliknya, kini saya terkurung di rumah, berhadapan dengan dinding empat segi, berhadapan dengan tangisan anak, berhadapan dengan anak yang banyak permintaan, betapa sukarnya hidup sebegini! Apakah makna bagi hari-hari yang dilalui ini?

Saya pernah mendengar seorang ibu yang berpengalaman juga pernah mengalami pergelutan sedemikian. Menurut ibu ini, dia sudah bertekad untuk menjadi seorang ibu yang baik. Tetapi, sewaktu anaknya masih kecil, dia hampir-hampir menjadi gila! Pernah sekali, dia menelefon suaminya yang sedang bertugas di luar negara supaya balik segera. Jika tidak, dia mengugut untuk melemparkan anaknya ke luar tingkap atau dirinya yang melompat dari tingkat sebelas.

Memang tidak dapat dinafikan pergelutan seperti ini akan berlaku. Saya percaya hanya orang yang pernah mengalaminya akan memahami, hanya orang yang pernah melaluinya akan merasai penderitaan tersebut. Adakah anda bersetuju? Saya bersyukur kerana ketika saya berada dalam pergelutan ini, saya sedang membaca sebuah buku yang berjudul Home by Choice (Memilih

untuk Berada di Rumah). Buku ini mengajar saya dua perkara penting: Pertama, tugas ibu merupakan satu pilihan. Saya bukanlah barang korban daripada perkahwinan dan terdesak untuk berada di rumah kerana tidak mempunyai pilihan yang lain. Pilihan ini membawa makna yang mendalam kepada saya, anak-anak dan keluarga. Tambahan pula, “berada di rumah” hanyalah untuk peringkat hidup ini. Sekiranya kita belajar untuk meninjau keadaan kehidupan ini dari mula hingga akhir, kita akan mendapati bahawa membesarkan dan mendidik anak hanyalah salah satu peringkat dalam kehidupan kita. Tempoh ini merupakan masa yang paling berharga dan bermakna. Kita harus menghargai dan menghayati musim hidup ini. Kita akan mempelajari sesuatu yang baharu dan seterusnya menggunakan pengalaman itu bagi musim hidup yang berikutnya.

Apabila konsep pemikiran saya berubah, saya menyedari bahawa pengorbanan yang dilakukan itu bukannya tidak membawa apa-apa makna. Sekurang-kurangnya, anak saya merasakan pengorbanan seorang ibu. Oleh hal yang demikian, saya bertekad untuk menghadapi cabaran ini dengan penuh keberanian serta menghargai setiap waktu bersama-sama mereka. Pada waktu itu, saya tidak berhenti membaca buku, belajar secara berterusan dan mempraktikkan apa yang telah dipelajari sehinggalah saya menemukan sesuatu yang berharga dalam diri anak saya. Di samping itu, saya juga selalu mencari peluang untuk mencatat pengalaman yang menyeronokkan sepanjang tumbesaran anak saya, supaya setiap anak saya memiliki sebuah album dan diari kehidupan mereka sewaktu kecil. Setiap detik yang dilalui telah ditambahkan menjadi hasil pembelajaran saya, malah kini menjadi sumber pengajaran saya untuk mengadakan ceramah dan kaunseling.

Jelaslah, sesuatu perkara itu bermakna atau tidak terpulang kepada harapan, sikap dan matlamat setiap individu yang menentukannya. Sebagai seorang ibu, pengorbanan kita bermakna atau tidak bergantung kepada matlamat hidup yang telah

ditetapkan, sikap terhadap perihal didikan anak dan sejauh mana kita melihat perkaitan setiap perkara itu. Menurut pandangan saya, persoalan yang paling penting adalah kita melihat pelaburan yang berkekalan ini daripada perspektif Tuhan. Renungkan: 1. Apakah ertinya status ibu bagi anda? 2. Adakah anda berpuas hati dengan keadaan sekarang?

Apakah perubahan yang anda ingin lakukan?

This article is from: