WARTA UNIVERSITI WARTA UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU
BIL. 16
NOVEMBER 2018
ISSN 1985-2932
Majlis Konvokesyen Kali Ke-16 Universiti Malaysia Terengganu, 11-13 November 2018 Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT ) Ke-16 telah berlangsung pada 11 hingga 13 November 2018 bersamaan 3 hingga 5 Rabiulawal 1440 H. Majlis konvokesyen kali ini telah berlangsung dengan penuh gemilang di Dewan Sultan Mizan dan pembukaan konvokesyen disempurnakan oleh Pro-Canselor UMT, Tan Sri Samsuddin Osman mewakili Tuanku Canselor UMT, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah. UMT telah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains kepada Tan Sri Datuk Dr. Ahmad Zaharudin bin Idrus. Beliau adalah pakar teknologi dan juga mantan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UMT. Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan dianugerahkan kepada Encik Salihin bin Abang manakala gelaran Profesor Emeritus dianugerahkan kepada Profesor Dr. Mohd Lokman bin Hussain. Pro-Canselor UMT juga turut menyampaikan Anugerah Pelajaran DiRaja kepada Muhammad Asyraf Adhwa Masimen graduan Sarjana Muda Sains (Sains Biologi) dan Foo Tzen Yoong, graduan Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam). Anugerah Pingat Emas Canselor kepada Mohd Tirmizi Mohd Lutfi, graduan Sarjana Muda Sains (Matematik Komputasi), Anugerah Pro-Canselor kepada Mohd Azlan Musa, graduan Doktor Falsafah Teknologi Maritim dan Anugerah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti kepada Mohamad Badrul Mohd Khairul Sahimi, graduan Sarjana Sains (Akuakultur). Dalam Majlis Konvokesyen UMT Ke-16 ini, UMT turut menganugerahkan ijazah anumerta kepada Allahyarhamah Nurul Fazierah Mat Sidik, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Maritim). Majlis konvokesyen Sesi Kelima (pagi, 13 November 2018) dan Sesi Keenam (petang 13 November 2018) telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMT, Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni binti Haji Mokhtar. Turut hadir di majlis konvokesyen tersebut ialah Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja Terengganu, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Halim bin Mohammad, Naib Canselor, Rektor dan wakil Universiti Awam, Pegawai-pegawai Utama UMT, dif-dif jemputan dan juga ibu bapa para graduan. Majlis konvokesyen kali ini menyaksikan 2,970 orang graduan telah berjaya menamatkan pengajian masing-masing iaitu 39 orang Ijazah Doktor Falsafah, 156 orang ijazah Sarjana, 2,647 orang Ijazah Sarjana Muda, dan 128 orang penerima Diploma. Penganugerahan ijazah serta diploma ini membuktikan keupayaan UMT dalam melaksanakan tanggungjawab pendidikan yang telah diamanahkan. Syabas dan tahniah diucapkan kepada para graduan, ibu bapa dan warga universiti.