5 minute read
Hukum Mengedar Tabung Derma Bergerak Dan Bercakap Semasa Khatib Sedang Menyampaikan Khutbah, Ada Yang Mengatakan Haram, Makruh Dan Harus
HUKUM MENGEDAR TABUNGDERMA BERGERAK DAN BERCAKAP SEMASA KHATIB SEDANG MENYAMPAIKAN KHUTBAH, ADA YANG MENGATAKAN HARAM, MAKRUH DAN HARUS Oleh Datuk Mohamad Din bin Yusoh
Apakah tabung derma bergerak itu haram atau bid’ah sebab perkara ini tidak berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW.
Advertisement
Saya terbaca satu berita dalam sebuah akhbar tabloid bertarikh 6 April 2017 bertajuk ‘Tegah Derma Ketika Khutbah’ dan tajuk kecil ‘Haram edar tabung ganggu tumpuan jemaah’ yang diberikan oleh seorang kawan pada 28 April 2017. Mohon maaf ruangan ini terhad untuk saya menulis secara lebih terperinci dalam artikel ini. Sila rujuk artikel “Mendengar Khutbah Jumaat, Sunat Atau Sunnah?” halaman 207.
HUKUM MENDENGAR KHUTBAH JUMAAT – WAJIB :
Dua Khutbah dalam solat Jumaat yang diselangi dengan perbuatan duduk di antara keduanya merupakan syarat sah kepada solat Jumaat. Perlaksanaan khutbah itu juga terkandung syaratsyarat tersendiri yang perlu dipatuhi oleh penyampai khutbah dan pendengar khutbah dan tertakluk kepada kategori hukum tertentu. Bagi pendengar khutbah yang menghadiri solat Jumaat, menurut mazhab Hanafi, Hanbali, Maliki dan pendapat Imam Syafie dalam qaul qadim hukum memberikan perhatian dan mendengar khutbah adalah wajib dalam erti kata perbuatan tersebut diberi pahala apabila dikerjakan dan berdosa meninggalkannya. Perbuatan bercakap ketika khatib sedang membaca khutbah menurut jumhur adalah haram.
Menurut pendapat mazhab Syafie (pendapat Imam Syafie dalam qaul jadid semasa berada di Mesir) yang dijadikan fatwa dalam mazhab seperti dalam kitab Mughni al-Muhtaj syarah kepada al-Minhaj Imam Nawawi karangan Muhammad bin al-Khatib al-Shirbini 1/390 (1998), hukum memberikan perhatian
dan mendengar khutbah adalah sunnah ( ). Istilah sunnah dalam matan al-Minhaj diperjelaskan oleh Imam al-Shirbini dengan maksud mandub (sesuatu amalan yang diberi pahala jika dikerjakan dan tidak berdosa jika ditinggalkan). Menurut ulama Usul
202
al-Fiqh ibadah yang berada dalam kategori mandub dari sudut proses pengeluaran hukumnya bersandarkan kepada suatu perkara yang dituntut dalam agama untuk dilakukan dan tuntutan tersebut dengan dalil yang tidak membawa kepada wajib (jazam). Oleh kerana dalil yang menjurus kepada perintah mendengar khutbah daripada al-Quran dan hadis tidak membawa maksud perintah wajib, justeru berbicara ketika khatib sedang berkhutbah adalah makruh dalam erti kata perbuatan tersebut diberi pahala jika ditinggalkan dan tidak berdosa jika dilakukan.
BERKATA-KATA KETIKA KHUTBAH SEDANG DISAMPAIKAN –TIDAK HARAM:
Berkata-kata semasa khutbah disampaikan, Mazhab Syafie berpendapat ianya tidak haram. Dalam Al-Majmu’ dalam kitab Syarah Al-Muhazab, berdasarkan hadis disebutkan adalah tidak haram berkata-kata, berpandukan kepada dua hadis. Dalam hadis pertama ketika Nabi Muhammad SAW sedang berkhutbah, seorang sahabat bertanya, bila berlakunya hari kiamat dan satu hadis lagi apabila seorang sahabat mengadu tanaman beliau rosak akibat musim panas dan anak-anak kecil kelaparan. Dalam kitab hadis ‘Mu’jam Sahih Muslim’ dan ‘Mausu’ah Al-Mu’jam Al-Mufahras lilalfaz Al-Hadis An-Nabawi As-Syarif’ disebutkan bahawa ketika Nabi SAW sedang membaca khutbah, ada seorang sahabat bertanyakan Rifa’ah mengenai apa agama beliau. Nabi Muhammad SAW turun dari mimbar mendengar pertanyaan itu dan kemudian naik kembali menyambung khutbah baginda. Oleh itu adalah tidak haram bercakap semasa khutbah asalkan ianya percakapan yang berfaedah dan tidak sia-sia.
KUTIPAN DERMA KETIKA KHUTBAH – HARUS:
Berbalik kepada isu kutipan derma, Imam Syafie dan Imam Malik tidak memberikan pandangan mengenainya, tetapi bagi mazhab Hanafi, ada menyatakan ianya ‘Yukrah Tahriman’ iaitu makruh yang lebih dekat dan lebih menjurus kepada haram. Ada setengah daripada ulama Hanafi mengatakan harus dengan syarat kutipan derma itu dibuat tanpa melangkah bahu dan tengkuk orang lain dan tidak melintasi atau mengganggu orang yang sedang solat. Pandangan ulama Hanbali pula mengatakan, memberi derma kalau mereka tidak meminta atau jika ada perakuan daripada imam kita boleh berikan derma.
203
Prof. Dr. Mustaffa Dib Al-Bugha, ulama tersohor bermazhab As-Syafie dari Syria yang pernah ke Malaysia dan pernah melihat tabung derma bergerak semasa khutbah sedang dibaca berkata, beliau tidak nampak perkara itu haram atau makruh kerana ianya merupakan ‘harakah yasir’ atau pergerakan mudah dan tidak menghalang tumpuan jemaah mendengar khutbah yang sedang dibaca, hanya dalam beberapa saat sahaja dan mempunyai faedah (Maslahah Syar’iyah) khususnya untuk pengimarahan masjid.
Dalam isu kotak kecil derma berjalan, tidak nampak ianya mengganggu orang. Sekiranya orang sudah bersedia dan ada niat untuk derma, dengan hanya beberapa saat beliau akan memasukkan wang ke dalam kotak. Perjalanan tabung derma itu mempunyai
nilai-nilai Maqasid Syar’iyah yang memberi faedah kepada ummah.
Maqasid Syar’iyah mempunyai lima objektif utama iaitu 1. Pemeliharaan agama; 2. Pemeliharaan jiwa; 3. Pemeliharaan akal; 4. Pemeliharaan harta; dan 5. Pemeliharaan keturunan.
Maqasid Syar’iyah ini amat penting sebab masjid bukan semuanya ditadbir oleh kerajaan, ada yang persendirian, hanya imam dibayar gaji. Tetapi untuk membesarkan masjid ianya memerlukan sumbangan seperti ini apabila bilangan jemaah kariah bertambah. Masyarakat setempat perlu berdikari, umpamanya untuk membayar kos baik pulih, bil air, elektrik, kerosakan tandas dan bumbung, perpustakaan, alat pembesar suara (PA System) kalau rosak, kelas fardu ain kanak-kanak dan dewasa, ceramah-ceramah, kuliah Maghrib, Subuh dan lain-lain lagi. Pada hari ini anak-anak generasi sekarang banyak terbabas dari segi duduk merempit, dadah, anak luar nikah dan sebagainya. Ibu-ibu muda melahirkan anak, ada yang tidak tahu fardu ‘ain dan tidak boleh membaca surah al-Fatihah, perceraian kerap berlaku dan lain-lain. Perkara Maqasid Syar’iyah inilah yang sepatutnya diambil kira. Dalam erti kata untuk baik pulih masjid perlu ribuan ringgit untuk dibelanjakan. Sepatutnya kita kena buat kajian, masjid di bandar, bandaraya dan kampung-kampung kerana sudah tentu kutipannya berbeza. Kalau di bandar atau bandaraya mungkin mencapai puluhan ribu ringgit, tetapi di kampung-kampung bagaimana?
204
Masjid Selat Melaka.
Di masjid-masjid kampung, kajian dibuat, di mana melalui tabung bergerak dapat mengutip di antara RM100 ke RM150 sekali Jumaat. Berbanding melalui tabung-tabung yang terletak di pintupintu masjid, kutipan kurang dari RM80, untuk membayar bil air dan elektrik pun tidak mencukupi, apa lagi pada bulan Ramadan. Kita harap masyarakat tidak perlu diberi tongkat oleh kerajaan. Mereka mesti berdikari seperti yang berlaku di kalangan orang
205
Melayu/Islam Singapura, kesedaran lebih awal walaupun tidak perlu tabung-tabung derma kecil bergerak. Adapun maksud hadis Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah RA bermaksud ‘Barangsiapa yang menyapu (bermain-main) batu kerikil (ketika khutbah Jumaat) maka hal itu sia-sia – mungkin kerana melalaikan daripada mendengar khutbah seperti juga pada hari ini jemaah menggunakan telefon bimbit membaca Facebook, Whatsapp, SMS, membaca buku dan komik dan sebagainya tetap melalaikan dan sia-sia. Ini jelas berbeza dengan kutipan derma secara tabung kecil derma bergerak yang mempunyai nilai-nilai
Maqasid Syar’iyah.
RUJUKAN
1) Al-Fiqh Al-Islami Wa’adillatuhdan Mausu’ah Al-Fiqh Al-Islami Walqadaya Al-Mu’asirah - Dr. Wahbah Al-Zuhayly.
2) Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab – Imam An-Nawawi.
3) Al-BayanFi Mazhab Al-Imam As-Syafie – Abil Husain Yahya.
4) Bidayatul Mujtahid Wanihayatul Muqtasid.
5) Nihayah Al-Matlab Fi Dirayatil Mazhab – Li Imamil Haramain.
6) Mausu’ah Al-Mu’jam Al-Mufaharas Lilalfaz Al-Hadis An-Nabawi As-Syarif.
7) Al-Fiqh ‘AlaAl-Mazahib al-Arba’ah – Abdul Rahman Al-Jaziridan Mu’jam Sahih Muslim.
8) Mughni al-Muhtaj karangan Muhammad bin al-Khatib al-Shirbini cetakan Dar al-Fikir 1998.
206