7 minute read

Mendengar Khutbah Jumaat, Sunat Atau Sunnah?

MENDENGAR KHUTBAH JUMAAT, SUNAT ATAU SUNNAH? Oleh Datuk Mohamad Din bin Yusoh

Khutbah Jumaat merupakan suatu medium komunikasi dan penyampaian mesej kepada umat Islam sejak disyariatkan pada zaman penurunan wahyu dan hukumnya kekal sehingga ke hari ini. Rasulullah SAW memaksimumkan penggunaan dan fungsi khutbah Jumaat, mencakupi pelbagai bidang kehidupan berpandukan petunjuk daripada ALLAHSWT. Khutbah Jumaat juga menjadi asas kekuatan umat Islam dalam usaha mendalami, memahami dan menghayati ajaran Islam. Makna-makna yang terkandung di dalamnya dapat meresap masuk ke dalam jiwa-jiwa pendengar jika para jemaah dapat menumpukan perhatian kepada khutbah yang disampaikan dengan penuh tekun. Menurut hukum fiqh, dua Khutbah pada solat Jumaat yang diselangi dengan perbuatan duduk di antara keduanya merupakan syarat sah kepada solat Jumaat. Perlaksanaan khutbah itu juga terkandung syarat-syarat tersendiri yang perlu dipatuhi oleh penyampai khutbah dan pendengar khutbah dan tertakluk kepada kategori hukum tertentu. Bagi pendengar khutbah yang menghadiri solat Jumaat, menurut mazhab Hanafi, Hanbali, Maliki dan pendapat Imam Syafie dalam qaul qadim, hukum memberikan perhatian dan mendengar khutbah adalah wajib dalam erti kata perbuatan tersebut diberi pahala apabila dikerjakan dan berdosa jika ditinggalkan (rujuk kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 35/116). Justeru itu perbuatan bercakap ketika khatib sedang membaca khutbah menurut jumhur adalah haram. Menurut pendapat mazhab Syafie (pendapat Imam Syafie dalam qaul jadid semasa berada di Mesir) yang dijadikan fatwa dalam mazhab seperti dalam kitab Mughni al-Muhtaj syarah kepada al-Minhaj Imam Nawawi karangan Muhammad bin al-Khatib al-Shirbini 1/390 (1998) hukum memberikan perhatian dan mendengar khutbah adalah sunnah ( ). Istilah sunnah dalam matan al-Minhaj diperjelaskan oleh al-Shirbini dengan maksud mandub (sesuatu amalan yang diberi pahala jika dikerjakan dan tidak berdosa jika ditinggalkan). Menurut ulama usul al-Fiqh ibadah yang berada dalam kategori mandub dari sudut proses pengeluaran hukumnya bersandarkan kepada suatu perkara yang dituntut dalam agama untuk dilakukan dan tuntutan tersebut dengan dalil yang tidak membawa kepada wajib (jazam). Oleh kerana dalil yang menjurus kepada perintah mendengar khutbah daripada al-Quran dan al-Hadis

Advertisement

207

tidak membawa maksud perintah wajib, justeru berbicara ketika khatib sedang berkhutbah adalah makruh dalam erti kata perbuatan tersebut diberi pahala jika ditinggalkan dan tidak berdosa jika dilakukan. Istilah-istilah seperti mandub ini terkandung dalam hukum taklifi, dalam konteks tuntutan yang dikenakan ke atas orang mukallaf sama ada larangan, suruhan atau pilihan. Tertakluk di bawah hukum taklifi ini 5 perkara: (rujuk Fiqh al-Ibadah, Dariyah al-Ghidy) 1. Wajib: ialah satu perbuatan yang dituntut oleh syara’ kepada orang-orang yang mukallaf untuk mengerjakannya sebagai tuntutan yang mesti dikerjakan. 2. Haram: Iaitu sesuatu yang dituntut meninggalkannya oleh syara’ dengan tuntutan yang putus dan mesti (wajib). 3. Mandub, Sunnah, Mustahab dan tatawwu’: Iaitu sesuatu tuntutan daripada seorang mukallaf supaya melakukannya, tetapi tuntutan itu boleh dikatakan juga sesuatu yang tidaklah wajib atau sesuatu yang diberikan pujian kepada pelakunya, tetapi bagi yang meninggalkannya tidak dicela. 4. Mubah: ialah sesuatu yang diberi pilihan oleh syara’ kepada seseorang mukallaf supaya membuat pilihan sama ada melakukannya, ataupun meninggalkannya. 5. Makruh: iaitu sesuatu perbuatan yang dituntut oleh syara’ kepada orang yang mukallaf menjauhkan diri dari melakukan perbuatan itu sebagai tuntutan yang tidak wajib ditinggalkan.

Muhammad bin al-Khatib al-Shirbini dari kalangan ulama Syafie dalam berpandangan terma sunnah, mandub, tatawwu’, al-Hasan, al-Muragghab fihi dan mustahab pada istilah fiqh dalam mazhab Syafie membawa maksud yang sama dalam erti kata hukumnya sama dengan sunnah (rujuk kitab Mughni al-Muhtaj 1/449). Namun budaya setempat di Malaysia dan nusantara umumnya sering menyebutnya sebagai sunat walaupun yang tepatnya adalah sebutan sunnah. Istilah sunat dalam masyarakat Melayu sudah sebati dengan darah daging masyarakat itu sendiri ibarat Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Mana tidaknya Islam mengajarkan umatnya bagi kaum lelaki wajib berkhatan atau berkhitan dengan melakukan pembedahan kecil di mana sebahagian daripada kulit yang berlebihan pada hujung zakar (preputial skin) dibuang. Masyarakat Melayu lebih selesa dengan istilah bersunat semenjak turun temurun

208

sedangkan istilah ini adalah salah dan sebenarnya adalah berkhatan. Amalan berpuasa selain daripada puasa wajib di bulan Ramadan dalam masyarakat Melayu lebih dikenali dengan puasa sunat dan yang sebetulnya ialah puasa tatawwu’, dalam erti kata merujuk kepada puasa yang dianjurkan dalam Islam dan dilakukan pada harihari yang tidak diharamkan untuk berpuasa sama ada terikat dengan hari-hari tertentu seperti Isnin dan Khamis atau tidak terikat dengan hari-hari tertentu seperti berpuasa pada mana-mana hari. Oleh itu puasa enam hari selepas hari raya Eidul Fitri tepatnya adalah puasa tatawwu’ bukan puasa sunat. Perkara yang sama juga berlaku dalam amalan solat selain daripada wajib yang sering disebut dalam masyarakat Melayu sebagai solat sunat.

PENGERTIAN AL-SUNNAH ATAU SUNNAH

Al-Sunnah atau Sunnah dalam bahasa dipetik daripada perkataan sanna yasunnu sunnah bermaksud ( ) jalan, kebiasaan, ( ) perilaku dan perbuatan. Menurut Imam al-Tabari perkataan sunnah juga membawa maksud ketetapan. Adapun makna sunnah secara istilah, perlu merangkumi istilah sunnah menurut ulama Ahli Hadis, ulama Usul Fiqh dan istilah Ulama Fiqh. Oleh itu, suatu penjelasan secara jelas berkaitan sunnah perlu dikemukakan di sini seperti berikut: (rujuk Taysir Usul al-Fiqh, Muhammad Hasan al-Ghaffar, Maktabah al-Shamilah) 1. Sunnah dari sudut ilmu aqidah bermaksud perkara yang berlawanan dengan bid’ah. 2. Sunnah dari sudut Ilmu Fiqh dan Ulama Fiqh bermaksud Nafilah (bukan wajib) atau suatu perkara yang dituntut dalam agama untuk dilakukan dan tuntutan tersebut dengan dalil yang tidak membawa kepada wajib (jazam) dan merupakan salah satu kategori daripada hukum taklifi yang lima (wajib, haram, harus, makruh dan mandub). 3. Sunnah dari sudut Usul Fiqh adalah setiap perkara yang diambil daripada Nabi SAW selain daripada al-Quran melalui perkataan, perbuatan dan taqrir (persetujuan) Baginda SAW. 4. Sunnah dari sudut Ilmu Hadis bermaksud setiap perkara yang disandarkan kepada Nabi SAW daripada perkataan, perbuatan, taqrir (persetujuan), sifat khuluqiyyah (sifat cara makan

Nabi SAW yang dicontohi oleh sahabat, dalam ibadah, hubungan kekeluargaan sebagaimana Nabi SAW dengan isteri, anak, menantu, cucu dan sebagainya), sifat khalqiyyah (fizikal, sifat

209

semulajadi pada tubuh badan Nabi SAW, uban Nabi SAW, kening Nabi SAW dan sebagainya) dan kehidupan Baginda SAW sama ada sebelum perutusan Baginda SAW menjadi Rasul.

Dari suatu sudut ada kebaikannya jika bertujuan untuk membezakan antara istilah al-Sunnah yang digunakan dalam disiplin Ilmu Hadis yang merujuk kepada sesuatu yang lahir dari Rasulullah SAW, sama ada perkataan, perbuatan dan pengakuan dan sunnah (tanpa alif dan lam) yang membawa maksud mandub menurut kupasan Ulama Fiqh. Namun demikian pembaca perlu memahami maksud sebenar al-sunnah itu sendiri bermula daripada definisi Ulama Hadis seperti di atas dan seterusnya pemakaian al-Sunnah itu sendiri dalam amalan harian dan hubungkaitnya dengan penetapan hukum. Al-Sunnah dalam konteks Ilmu Hadis perlu difahami adalah perkara yang berkaitan dengan (Nas/dalil syar´ei) yang menjadi sandaran kepada sabitnya suatu amalan dan petunjuk hukum sama seperti al-Quran al-Karim. Atas dasar itu Ulama Usul melihat al-Sunnah yang diajar dan diamal oleh Nabi SAW sebagai dasar pembinaan asas-asas ijtihad bagi para ulama dan mujtahid sesudahnya dan bertindak sebagai perlembagaan kepada manusia yang perlu dirujuk terlebih dahulu kepada tutur bicara, perbuatan dan pengakuan Baginda SAW bersangkutan sesuatu perkara. Dalam pada masa yang sama Ulama Fiqh melaksanakan tugas menyaring dan mengkategorikan sesuatu yang diterima dari Nabi SAW menjurus kepada wajib dan lain-lain. Justeru itu, gagal memahami maksud sunnah Nabi SAW yang dijadikan sandaran atau hujjah dalam penentuan hukum membawa kepada salah faham yang cukup luas. Ini kerana menurut para ulama tidak semua sunnah Nabi SAW dari sudut pandang ulama hadis boleh diangkat sebagai amalan yang sifatnya wajib dilaksanakan ataupun tidak wajar ditinggalkan. Ada perkara dalam sunnah Nabi SAW sifatnya berupa adat dan budaya masyarakat setempat, maslahat politik tertentu dan amalan harian kehidupan. Atas dasar itu Ulama Usul mengkategorikan sunnah Nabi SAW kepada sunnah yang dituntut dan sunnah yang tidak dituntut. Dalam bahasa yang lebih mudah sunnah yang dianggap sebagai tuntutan syara’ yang bersumber daripada wahyu ALLAH SWTdan sunnah yang tidak dianggap sebagai tuntutan syara’ yang bersumber daripada ijtihad Nabi SAW dalam urusan keduniaan dan pemerintahan negara. Sebagai contoh makan berjamaah di atas hamparan menggunakan Shahfah/Qash’ah (talam/dulang) tanpa menggunakan meja makan

210

merupakan salah satu sunnah Nabi SAW yang harus diikuti bersandarkan kepada dalil yang dikemukakan oleh Anas bin Malik RA yang bermaksud : “Nabi SAW tidak pernah menjamah makanan di atas meja dan roti yang yang diperbuat daripada gandum bermutu tinggi sehinggalah baginda wafat”. [Riwayat al-Bukhari] Ulama berpandangan perbuatan makan menggunakan meja hukumnya harus kerana Nabi SAW mempunyai sifat tawadu’ yang tinggi agar umat Nabi SAW mencontohi Nabi SAW dan menjadi kebiasaan masyarakat Arab setempat pada ketika itu makan di atas lantai. Sesiapa yang tidak mencontohi Nabi SAW dalam perkara ini tidak bererti menolak sunnah Nabi SAW kerana penetapan hukum telah diperjelaskan oleh ulama. Namun demikian ada baiknya kita mencontohi Nabi SAW dan mendapat pahala dalam perkara tersebut.

Rumusannya, perlu diperhatikan di sini bahawa pada hakikatnya perkara-perkara yang disebutkan di atas sama ada yang hukumnya sunnah, mandub, tatawwu’, al-Hasan, al-Muragghab fihi dan mustahab jika dikerjakan akan mendapatkan pahala atau terpuji dan jika ditinggalkan tidak akan mendapatkan seksa atau tidak dicela. Namun jika seseorang meninggalkannya secara keseluruhan dari sunnah yang ada, perbuatan tersebut boleh membawa kepada tercela bahkan sebahagian ulama menghukum dengan fasik yang tidak diterima persaksiannya. Sebagai contoh melaungkan azan adalah sunnah, namun jika suatu kampung tidak ada yang mengumandangkannya, maka sekampung tersebut boleh diperangi. Begitu juga jika meninggalkan dua solat sunat hari raya kerana ianya merupakan syiar dalam Islam. Seperti halnya juga solat fardhu berjema’ah yang menurut ulama adalah sunnah muakkadah, namun jika seseorang meninggalkannya secara terus menerus, maka dia termasuk orang yang tercela, bahkan Rasulullah SAW hendak membakar orang-orang yang sama sekali tidak pernah mendirikan solat jama’ah di masjid.

RUJUKAN

1) Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah cetakan Dar al-Ummah 2008. 2) Mughni al-Muhtaj karangan Muhammad bin al-Khatib al-Shirbini cetakan Dar al-Fikir 1998. 3) Fiqh al-Ibadah, Dariyah al-Ghidy, percetakan al-Sabah, Damascus 1989. 4) Taysir Usul al-Fiqh, Muhammad Hasan al-Ghaffar, Maktabah al-Shamilah. 5) Mausu’ah al-Mu’jam al-Mufahris Li Alfaz al-Hadis al-Nabawi al-Syarif.

211

This article is from: