Terokai Sains dan Teknologi

Page 1

kalam editor ukhti Sundusia Rosdi Sarjana Muda (Sejarah) Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Diploma Pasca-Siswazah Sains Perpustakaan, Universiti Wales, United Kingdom. Konsultan, Maktabah Rujukan Syed Ahmad Semait (SASRL) juga Editor, ar Risalah dan Jurnal Dakwah.

KALAM

EDITOR Assalamualaikum wr. wb. pembaca yang dihormati

Kajian dan penerokaan tentang ilmu sains dalam era teknologi ini semakin dianggap penting kerana ia merupakan satu elemen untuk kehidupan seharian. Di antara isi kandungan Al-Quran yang penting berkaitan dengan kehidupan manusia ialah sains. Agama Islam menjelaskan hubungan yang amat kukuh dengan fakta sains, bahkan mempelajari sains dianggap tanggung jawab fardu kifayah di kalangan umat Islam. Maurice Bucaille (pakar bedah Kristian yang memeluk Islam) telah menjalankan kajian perbandingan antara Bible, Al-Quran dan Sains sekitar tahun tujuh puluhan. Dalam bukunya; Bible, Al-Quran and Science (1994) beliau menulis; “Saya menyelidiki keserasian teks Al-Quran dengan sains moden secara objektif dan tanpa prasangka. Awalnya saya mengerti dengan membaca fenomena alam, tetapi dengan membaca terjemahan saya hanya memperolehi pengetahuan yang ringkas. Dengan membaca teks Arab secara teliti, saya dapat membuat kesimpulan yang membuktikan bahawa Al-Quran tidak mengandungi sesuatu pernyataan yang dapat dikritik dari segi pandangan ilmiah zaman moden ini”.

Untuk mengetahui sedikit tentang Islam dan Sains, Ar-Risalah memaparkannya sebagai tema bagi isu kali ini. Ilmu sains mempunyai banyak cabangnya, ini dikongsi oleh Ustaz Haron Masagoes dan Akhi Muhammad Adha yang menulis tentang konsep amal dan hikmahnya dalam sains antropologi persekitaran. Melalui hasil kajiannya tentang “Sejarah dan Perkembangan Takaful di Singapura ”, Ustazah Nurul Hidayah pula menyingkap tentang penubuhan dan perlaksanaan insuran dan takaful. Hari demi hari, kita semakin kehilangan ulama yang berpulang ke rahmatullah. Ar-Risalah mengilas sumbangan Almarhum Ustaz Ramli Ali kepada lanskap agama tempatan. Dalam Majlis Gema Kesyukuran anjuran PERGAS baru-baru ini, dua ulama diberi pengiktirafan atas jasa dan bakti mereka. Ulama veteran, Ustaz Khairudin Abdul Hamid diberi penghargaan “Obor Ummah” sementara Ustaz Dr Firdaus Yahya menerima anugerah “Asatizah Harapan”. Ikuti wawancara kami dengan beliau yang sering mengupas tentang Al-Quran dan Sains kerana minatnya yang menjurus kepada ilmu Matematik, Sains dan Falak.

“Let’s Face It” catatan Ustazah Noor Hidayah mengetuk minda pembaca untuk berfikir tentang penyalahgunaan media sosial, Facebook sambil memberi panduan penggunaannya sebagai wadah ke arah kehidupan mardhotillah. Ar-Risalah tidak pernah melupakan pelajar-pelajar kita di dalam atau luar negeri kerana merekalah yang bakal mencorak masa depan generasi umat Islam. Justeru, kami telah menjemput Ustaz Taufik untuk berkongsi pengalaman pahit dan manisnya semasa menuntut di Syria. Perang di bumi anbiya ini telah meragut jutaan jiwa, harta benda dan sekali gus tamadun negara itu. Dalam keghairahan dan kesibukan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara kita - SG50, masyarakat Islam harus bersyukur ke hadrat Ilahi kerana diberkati nikmat hidup yang aman dan peluang untuk beribadat dengan selesa, walaupun hidup dalam negara bukan Islam. Justeru, “Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?” (Surah Ar Rahman 27 :16).

Sundusia Rosdi

1 A r -R i s a l a h is u 1 6


Turn static files into dynamic content formats.

Create a flipbook
Issuu converts static files into: digital portfolios, online yearbooks, online catalogs, digital photo albums and more. Sign up and create your flipbook.