1 minute read
PERUTUSAN
Usaha mendokumentasi dan menerbitkan buku berkaitan Mek
Mulung ini merupakan satu usaha penting untuk mengangkat salah satu seni warisan yang berharga milik negara. Terima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia
Advertisement
(MOTAC) kerana telah mengambil inisiatif untuk memperkasakan
Sektor Pelancongan dan Kebudayaan melalui Projek Khas bagi
Inisiatif Pendigitalan IR 4.0. Selaras dengan pembangunan dunia dan teknologi masa kini, bidang penerbitan turut berkembang selari dengan transformasi ini. Mek Mulung merupakan salah satu warisan seni tertua negeri Kedah yang diwarisi semenjak
Kerajaan Kedah Tua. Lantaran sifatnya yang unik dan istimewa ini, Mek Mulung telah diangkat sebagai salah satu Warisan
Kebangsaan pada tahun 2015. Usaha mengangkat martabat Mek
Mulung ini diteruskan lagi melalui pencalonan bagi mendapatkan pengiktirafan UNESCO di bawah List of Intangible Cultural
Heritage: In Need of Urgent Safeguarding pada tahun 2019 yang akan dinilai pada tahun 2023. Daripada sebuah pementasan teater bangsal di Kampung Wang Tepus Jitra Kedah, kini Mek Mulung berjaya diangkat ke mata dunia. Pendokumentasian seni budaya ini mencerminkan usaha kita menghargai ilmu dan untuk memastikan ia terus kekal sebagai warisan dan rujukan generasi akan datang. Penerbitan ini juga dilihat sebagai nilai tambah dalam menyokong pelestarian seni Mek Mulung ke peringkat yang lebih tinggi. Selain sebagai inisiatif pendigitalan, penerbitan bahan rujukan ilmiah dalam bentuk komprehensif secara fizikal dan digital dwi-bahasa ini dilihat mampu memenuhi keperluan sumber rujukan masa kini. Saya percaya penerbitan ini akan menjadi salah satu rujukan istimewa kepada semua pencinta seni dan budaya tempatan dan antarabangsa satu masa nanti. Syabas dan terima kasih kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) selaku jabatan di bawah MOTAC yang sentiasa komited dalam menyemarak dan melestarikan seni budaya negara. Terima kasih juga kepada Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM dan Penerbit UiTM, atas kerjasama dalam menerbitkan bahan kajian ilmiah ini untuk tatapan semua. Tanpa usaha dan sokongan semua pihak, mustahil dapat kita hasilkan penerbitan edisi istimewa ini dalam bentuk bahan bertulis sebagai bukti kewujudan tamadun seni budaya sesuatu bangsa yang kekal terpelihara di Malaysia.