4 minute read
PENGHARGAAN
Alhamdulillah
Projek penulisan buku ini adalah suatu yang amat mencabar; namun begitu ia memberi kepuasan yang sangat besar setelah berjaya menyiapkannya tidak lama setelah cadangannya dikemukakan. Buku ini tidak mungkin dihasilkan tanpa kerjasama daripada pelbagai pihak dan individu-individu tertentu yang telah menyumbang idea, memberi galakan dan kata semangat, serta memberi pelbagai bentuk sokongan. Saya ingin isikan bahagian ini untuk memberi penghargaan kepada kelompok-kelompok dan individu-individu yang bersama-sama menjadikan projek ini suatu pengalaman yang tidak boleh dilupakan.
Advertisement
Pertama sekali, saya ingin merakam ucapan terima kasih kepada penaja buku ini, iaitu Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia (MOTAC). Melalui sokongan kewangan dan kepercayaan keatas saya sebagai penulis, saya sangat berterima kasih mempunyai peluang untuk berkongsi penghasilan buku ini dengan orang ramai. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian
Pengajian Tinggi Malaysia yang membiayai sepenuhnya pengajian saya di peringkat Doktor Falsafah, walaupun pada masa itu negara sedang berhadapan dengan cabaran kepada mata wang Ringgit.
Penghargaan tulus ikhlas yang tidak terhingga ditujukan kepada ayah dan ibu saya, Jamalludin Sulaiman dan Salma Ishak, yang merupakan sumber inspirasi dan tidak kurang juga sumber kritikan sepanjang pengajian akademik saya. Menjadi satu kebiasaan apabila perbalahan di meja makan umpama sebuah perbincangan projek kuliah. Mereka adalah segala-galanya bagi saya.
Kepada mantan penyelia-penyelia di peringkat pengajian pasca siswazah, Profesor Dr. Mohd Anis Md Nor di Universiti Malaya (kini di Nusantara Performing Arts Research Center, NusPARC),
Dr Katherine Schofield dan Profesor Dr. Martin Stokes di Kings College London, saya berterima kasih atas kebijaksanaan, bimbingan serta kesabaran mereka membaca dan memperbaiki penulisan saya. Terima kasih juga kepada mentor-mentor yang lain, Prof. Dr. Patricia Matusky di Universiti Malaya (kini di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan, ASWARA) dan Prof. Dr. Tan Sooi Beng di Universiti Sains Malaysia, yang sentiasa memberi tunjuk ajar yang sangat berharga. Kepada bantuan yang diberikan oleh Dato’ Dr. Anabel Gallop daripada British Library London, saya ucapkan terima kasih atas khidmat nasihat beliau untuk memperkenalkan saya kepada pakar-pakar rujuk yang telah membantu mengembangkan makalah ini.
Saya sangat terhutang budi kepada tokoh-tokoh daripada Wang Tepus yang sudi meluangkan masa dan berkongsi maklumat dengan saya. Terima kasih kepada Pak Saad (Saad bin Taib) dan keluarga, Abang Mat (Ahmad bin Shahadan) dan keluarga, dan Pak Awie (Senawi bin Omar) dan keluarga. Mereka semua telah menerima saya dengan hati yang terbuka, dan kembalinya mereka ke Rahmatullah merupakan satu kehilangan yang besar kepada tradisi Mek Mulung dan komuniti Wang Tepus. Saya harap legasi yang ditinggalkan dapat diteruskan melalui buku ini. Kepada Pak Dan (Ishak bin Man), Pak Din (Kamarusdin bin Debak) dan Pak Ya (Che Ya @ Yahya bin Dohat), terima kasih kerana terus menghidupkan tradisi ini dan memberi inspirasi kepada saya untuk menulis buku ini. Walaupun saya telah mengikuti perkembangan Mek Mulung dan persembahannya untuk beberapa tahun, namun saya sentiasa mempelajari banyak perkara baharu. Setiap kali kita berjumpa dan berbincang mengenai persembahan Mek Mulung, ada perkara-perkara baharu yang muncul. Saya juga ingin menyatakan terima kasih saya kepada Kak Zam (Zamzuriah Zahari) dan suaminya Abang Baiesah (Kamarulbaiesah Hussin) kerana membantu saya memahami aspek-aspek lain mengenai Mek Mulung dan hubungannya dengan genre-genre persembahan yang lain yang terdapat di Semenanjung Malaysia.
Saya berterima kasih kepada rakan sekerja saya, Puan Afiqah
Aisyah Saiful Bahar, selaku pembantu penyelidik saya, yang bekerja keras membantu saya dalam menterjemahkan versi asal laporan ini dalam Bahasa Inggeris kepada versi terkini dalam
Bahasa Malaysia. Tanpa bantuan beliau, projek ini mungkin tidak dapat digerakkan seperti yang diinginkan. Terima kasih kerana sentiasa bersemangat dan memberi galakkan untuk membuat tugasan ini dengan sebaik mungkin. Kepada rakan penterjemah saya, yang menterjemahkan teks-teks lagu Mek Mulung ke Bahasa Inggeris, Encik Liew Zhe Rong, jasamu akan sentiasa dikenang. Beliau melihat bagaimana saya melalui kesukaran mencari penyelesaian terhadap tuntutan-tuntutan daripada projek penyelidikan peringkat pengajian Sarjana saya, dan dalam masa yang sama anda juga sedang menyiapkan projek beliau sendiri. Namun, beliau bersedia untuk membantu dalam memberi konteks kepada teks-teks lagu Mek Mulung yang agak sukar. Oleh itu, saya amat berterima kasih.
Ucapan terima kasih yang istimewa kepada semua yang telah memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk untuk menghasilkan buku ini. Terdapat seorang penyelidik yang di sebut-sebut orang kampung seorang Marie yang pernah datang dan tinggal di Wang
Tepus. Tokoh-tokoh ini kerap kali menyebut “pernah dulu ada pompuan Mat Saleh nama Mary/Marie, biasa mai kampung ni, tapi tak tau dia pi mana”. Mulalah saya menghantar email kepada beberapa Marie dan Mary dan akhirnya seorang Dr. Marie-Andrée Couillard dari Kanada telah memberi balasan. Pada awalnya beliau menyatakan bahawa beliau tidak pernah mendengar atau melihat persembahan Mek Mulung. Setelah beberapa pertukaran emel, dan saya hampir putus asa, saya bernasib baik kerana beliau masih menyimpan gambar-gambar lama ketika beliau membuat kerja lapangan beliau. Tanpa menyedari, beliau berkongsi gambar-gambar yang diambil pada tahun 1980-an di Wang Tepus yang mengandungi beberapa keping gambar persembahan Mek Mulung yang digunapakai dalam penulisan ini.
Satu penemuan yang menarik baru-baru ini adalah apabila saya mendapat tahu bahawa bekas pengetua sekolah menengah saya, Datin Zaleha Abdul Hamid, merupakan seorang informan yang saya cuba jejaki, setelah saya membaca penulisan latihan ilmiahnya mengenai Mek Mulung yang pada tahun 1970-an. Beliau pernah menyaksi satu persembahan Mek Mulung semasa menjalankan kajiannya dibawah penyeliaan seorang pakar antropologi, Dr. Amin Sweeny pada masa itu di Universiti Kebangsaan Malaysia, yang dilaporkan pada tahun 1975. Kajiannya telah memberi satu sinaran baru dengan mengingatkan semula cerita-cerita Mek Mulung yang telah dilupai.
Penghargaan saya juga ditujukan kepada rakan-rakan saya
Mohd Nordin Abdul Latip, Hairi Safwan Adnan, Mohamad Izwan
Mohd Saad, Danesh Raj Nagarajan; kenalan-kenalan daripada Nyala Dance Theatre, Pixelah, The Actors Studio, Jabatan
Warisan Negara (JWN), Muzium Negeri Kedah, dan Cawangan
Dokumentasi dan Penerbitan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian
Negara (JKKN) terutamanya Puan Zubariah binti Abdullah dan Encik Ali bin Ariff atas kesudian mereka memberi kebenaran menggunakan gambar-gambar serta melihat beberapa dokumen penting mengenai Mek Mulung yang berada di dalam koleksi mereka.
Tidak dilupakan kerjasama yang diberikan oleh kumpulan penerbitan buku ini daripada Penerbit UiTM, Puan Diana Semaon dan Encik Mohd Nor Firdaus Mohd Isa, unit realiti pengantara daripada DreamEDGE Sdn. Bhd. Encik Muhammad Aiman Muhd Zubir, staf Pusat Pengurusan Penyelidikan UiTM, dan studio GreenWave, yang bersabar dengan kemajuan saya dan juga semakan-semakan semula keatas manuskrip ini sehingga ke bentuknya yang terkini. Anda semua adalah satu pasukan yang luar biasa dan saya sangat menghargai peluang bekerjasama dengan semua.
Akhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli keluarga luas saya yang sangat saya kasihi, rakan-rakan seperjuangan pelajar pascasiswazah di Kings College London, rakan sekerja dan pelajar-pelajar, di Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM, semua yang secara tidak langsung terlibat dalam projek penulisan ini, dan semua pembaca buku ini. Saya berterima kasih atas dorongan dan sokongan anda semua. Saya berharap akan terus meningkatkan kesedaran komuniti-komuniti yang telah saya kenali semasa menjalankan kajian ini dan juga menaruh harapan supaya tradisi ini terus kekal untuk tahun-tahun mendatang.