Menyemai benih dalam diri sendiri – menghafal Firman Tuhan Dalam siri ini, perkataan ‘benih’ merujuk kepada Firman Tuhan sepertimana dijelaskan Yesus dalam Lukas 8:11. Apabila Yesus membantu murid-murid-Nya memahami perumpamaan tentang penabur benih, dia secara spesifik berkata, “Benih itu ialah firman Allah”. Setiap kali frasa menyemai (menabur) benih dipakai dalam siri ini, ia merujuk kepada usaha-usaha menyebar Firman Allah dengan pelbagai cara yang kreatif dan alkitabiah. Pertama sekali kita akan melihat bagaimana untuk menyemai benih dalam diri kita dan cara pertama ialah dengan menghafal Firman Allah. Dalam Mazmur 119:11a, si pemazmur berkata, “Dalam hatiku aku menyimpan janji-Mu.” Menyimpan dalam hati ialah sinonim bagi menghafal. Ramai berfikir menghafal ialah menyimpan maklumat dalam minda mereka tetapi sebenarnya penghafalan yang benar berlaku apabila maklumat itu berjaya disimpan dalam hati anda. Itu sebabnya penjelasan ringkas untuk menghafal dalam bahasa Inggeris ialah ‘to learn by heart’ atau ‘belajar dengan hati’. Apabila maklumat itu dipelajari (fahami) dan disimpan dalam hati, penghafalan telah berlaku. Faedah Menghafal Firman Allah 1. Kemungkinan mentaati perintah Allah akan meningkat (Ulangan 31:12-13) Apabila Musa menerangkan semula perintah-perintah Allah kepada satu generasi baru orang Israel yang tidak lama lagi akan memasuki Tanah Perjanjian, dikatakan semua yang hadir mendengar dan belajar perintah Allah dan kemudian melakukannya dengan setia. Apa yang tidak disedari ramai orang hari ini ialah pendengar-pendengar Musa tidak mencatat apa yang dikatakan Musa atau diberi buku yang mengandungi perintahperintah Tuhan! Sebaliknya bila dikatakan mereka ‘belajar’, yang dimaksudkan ialah mereka berusaha memahami dan menghafal perintah1