4 minute read
TAMU CHEF WAN
from Santai Travel
by Santaidesign
DATUk Chef WAn MArTAbAT IDenTITI MAkAnAn MAlAysIA ke PerIngkAT
globAl Oleh : Usna RUs
Advertisement
Menjadi rakyat Malaysia atau hidup di negara ini memberikan kita akses kepada banyak pilihan makanan lazat dan menyelerakan daripada pelbagai bangsa, kaum, dan etnik yang ada di Malaysia. Kepelbagaian makanan dimiliki dilihat sangat unik mampu menjadi daya tarikan pelancong paling berkesan jika dipromosi secara meluas.
Promosi makanan Malaysia di luar negara menjadi salah satu nilai tambah untuk menarik lebih ramai pelancong antarabangsa menikmati percutian mereka di negara kita. Bagi Chef Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Datuk Chef Wan, strategi memperkenalkan Malaysia sebagai 'syurga makanan' adalah pendekatan terbaik untuk mempertingkatkan industri pelancongan negara kerana selain dari berkunjung ke destinasi menarik, pelancong ke Malaysia juga pasti mahu menikmati masakan khas sesebuah negara. "Makanan adalah produk yang boleh diangkat sebagai produk pelancongan bagi menarik pelancong dari luar. Kerajaan, badan korporat, syarikat pelancongan domestik dan antarabangsa juga digesa menyediakan tawaran pakej percutian menarik berkaitan produk makanan atau makanan identiti kita dalam usaha menarik pelancong dalam dan luar negara," cadang Chef selebriti terkenal Malaysia ini.
Tambah beliau lagi, kerjasama mempromosi makanan itu juga boleh dikendalikan secara ber-sama antara media luar negara dan Malaysia untuk membawa chef tempatan memberi pendedahan mengenai sajian dan resepi masakan Malaysia kepada umum. "Ramai negara luar sudah lama buat inisiatif sebegini. Muncul di rancangan televisyen popular luar negara memperkenalkan makanan identiti kita, juga buat kerjasama dengan hotel-hotel terkemuka sajikan menu tradisi Malaysia. Kerjasama antara chef Malaysia dengan chef luar negara untuk bertukar ilmu masakan dan rahsia resepi adalah sesuatu yang luar biasa dan kerjasama itu juga harus diperluaskan di tahap latihan profesional bertaraf antarabangsa. Bukan setakat sajian makanan tetapi juga panduan dekorasi di restoran atau premis makanan bercirikan Malaysia turut didedahkan. Mungkin kita boleh tubuhkan badan khas yang menjaga cara pengurusan ini," ujar beliau kepada Majalah Santai Travel.
Mengangkat makanan identiti atau warisan Malaysia memerlukan kerjasama, penghayatan, pembelaan serta jati diri untuk terus berada di tempat yang sepatutnya dan dijulang masyarakat terutama anak muda. Makanan warisan adalah budaya dan identiti bangsa. Generasi hari ini diharap dapat mewarisi makanan warisan, memartabatkan dan menjaga kelestariannya pada masa depan. "Kita tidak mahu generasi hari ini lebih mengenali makanan luar berbanding hidangan warisan sendiri.
Inilah cabaran terbesar yang kita hadapi sekarang. Berbeza dengan masyarakat negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, mereka menjadikan makanan tradisi sebagai hidangan yang benarbenar dihayati dan dijadikan sumber pendapatan di setiap pelosok negeri. Mempromosi pelancongan makanan Malaysia ke peringkat antarabangsa secara tidak langsung sebenarnya boleh mewujudkan bidang komersial, peruncitan dan kaitan pelanggan dengan in-dustri hospitaliti dan makanan," kata pemilik restoran masakan Melayu, De.Wan 1958.
Dalam pada itu Datuk Chef Wan menasihati tukang masak generasi kini terutama anak tempatan agar lebih peka terhadap penyediaan sesuatu masakan selain hendaklah lebih banyak belajar teknik masakan dengan betul. Katanya, sikap malas dan tidak boleh ditegur perlu dikikis sekiranya ingin berjaya dalam bidang kulinari selain menaikan sajian tradisi negara. "hilang minat, tiada pendedahan awal mengenai makanan tradisional dan sikap lebih mengagungkan makanan luar boleh dianggap penyumbang ke arah kepupusan sajian tradisi Malaysia. seiring dengan perkembangan dunia yang mendedahkan kita kepada dunia luar, membuatkan masyarakat lebih gemar mencuba resepi yang berasal dari luar. Jadi bagaimana orang luar nak tahu apa makanan istimewa kepunyaan kita? adalah penting untuk tukang masak di Malaysia berpegang teguh kepada warisan dan kaedah masakan dengan betul supaya hidangan tradisi kekal terpelihara. sebagai individu yang menghargai makanan warisan dan pernah menjadi Duta Pelancongan Makanan Malaysia, saya mempunyai hak untuk menegur sekiranya hidangan itu tidak dimasak dengan betul tambahan pula ia adalah masakan trasional kita. Bagi saya imej masakan Malaysia perlu dijaga agar setanding dengan hidangan antarabangsa yang dibanggakan dunia." "Tidak keterlaluan sekiranya saya melihat bahawa orang Malaysia sendiri ada yang tidak berbangga dengan makanan warisan sendiri tidak kira bangsa Melayu, Cina atau India. sebaiknya dalam budaya makanan, kita perlu mencontohi masyarakat luar contoh seperti negara Korea yang sentiasa berbangga dan memperkasakan sajian identiti mereka meskipun bergelar negara maju. Kita lebih mengagungkan makanan luar sehinggakan tidak mengetahui nama atau jenis makanan yang ada, sekali gus ia terus dilupakan. lebih menyedihkan apabila saya membawa makanan tempatan ke luar negara, masyarakat luar lebih menghargai dan menikmati hidangan Malaysia yang disifatkan eksotik berbanding rakyat tempatan. ada yang cakap makanan Malaysia ini tidak sihat, terlalu berminyak, bersantan dan tidak kurang juga berbau kurang menyenangkan. Itu semua perspektif yang perlu diubah," akhiri Datuk Chef Wan.
Pernah menjadi tokoh pertama yang dilantik sebagai Duta Pelancongan Makanan oleh Kementerian Pelancongan, Datuk Chef Wan yang berpengalaman luas dalam bidang yang dicintai hampir 30 tahun, sentiasa bersemangat meningkatkan lagi usahanya dalam mempromosi ma-kanan Malaysia baik di dalam negara atau di peringkat antarabangsa.