TAUTAN KASIH 6 berjalan lancar Dekat Di Mata Lekat Di Hati Rumah Terbuka MRA-Rohingya Kempen Somalia Utusan-MRA
EDISI 9 - 2011
Mengambil air bagi menyambung kehidupan di Kem IDP
MRA DI BUMI SOMALIA
KUMPULAN UTUSAN DAN MRA LANCAR TABUNG SOMALIA
Kumpulan UTUSAN sekali lagi menjadi peneraju kepada kempen bantuan kemanusiaan bersama dengan Malaysian Relief Agency (MRA) melalui pelancaran Tabung Bantuan Somalia Kumpulan Utusan dan MRA. Pelancaran tersebut telah diadakan di Hospital Al Islam, Kg. Bharu, Kuala Lumpur. Melalui Tabung ini, Kumpulan Utusan dan MRA sekali lagi akan bekerjasama dalam menghulurkan bantuan kecemasan kepada mangsa kebuluran dan kemarau yang sedang hebat melanda beberapa buah negara di benua Afrika seperti Kenya, Ethopia, Somalia dan Djibouti. Dengan pengalaman lalu dalam mengatur bantuan kecemasan di beberapa tempat lain seperti di Sri Lanka, Pakistan dan Jepun, MRA yakin dapat menghulurkan bantuan rakyat Malaysia tepat kepada mereka yang memerlukannya. Kerjasama dengan Kumpulan Utusan adalah bagi memastikan rakyat mengetahui kemana sumbangan mereka diagihkan dan bagaimana ia diagihkan.
MRA tumpukan kepada bekalan Air Bersih kepada Kem-kem IDP yang terletak di Bossaso, Gardo, Garowe dan Galkaiyo
Air bersih disalurkan ke dalam lori tangki sebelum dihantar ke Kem IDP yang menghadapi kekurangan air
Lori-lori tangki yang membawa air sumbangan rakyat Malaysia ke Somalia mula beroperasi pada 27hb Ogos 2011 yang lalu, setiap hari hampir 21 buah lori akan mengangkut air dari telaga yang telah dikenalpasti untuk diagih-agihkan kepada kem-kem serta kawasan yang memerlukan bantuan air. Setiap lori berupaya untuk membawa sehingga 8,000 liter air sekali muatan dan ini bermakna dalam sehari, MRA telah dapat menyalurkan sehingga 168,000 liter sehari. Bagi operasi selama 28 hari atau sebulan, MRA telah berhasil mengagihkan lebih dari 4 juta liter air kepada kem-kem IDP tersebut. Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang begitu prihatin dan mempunyai kesedaran tanggungjawab sesama manusia yang cukup tinggi. Agihan bekalan air bersih melalui kaedah “Water Trucking” ini akan diteruskan selagi ianya diperlukan, namun MRA juga sedang mengusahakan agar punca air yang lebih stabil dan bertahan lama dapat diadakan bagi memastikan kesinambungan bantuan kepada kem-kem IDP tersebut. Justeru, MRA telah mengadakan kajiian dan telah mengenalpasti beberapa kawasan yang boleh dibangunkan dengan “Shallow Well” ataupun “Deep Well”. Setakat ini, dua buah “Shallow Welll” telahpun digali di dua buah kem IDP di Garowe, iaitu Kem Chaulay dan Kem Ajuuran. Penduduk di kem-kem tersebut juga diberikan pendidikan asas dan penerangan untuk bagaimana menggunakan telaga tersebut disamping menjaga kebersihan dan menggunakan kemudahan yang telah disediakan itu dengan sebaik mungkin. Mereka juga perlu terlibat dan bertanggungjawab.
IFTAR UNTUK PELARIAN SOMALIA DI BOSSASO
IFTAR bersama pelarian merupakan antara program yang berjaya dilaksanakan oleh MRA di Somalia dalam rangka Kempen Dekat DI Mata Lekat Di Hati sempena Ramadhan 1432. Iftar ini berjaya dilakukan di sebuah Kem pelarian, iaitu Kem New Shabella dipinggir bandar Bossaso. Iftar telah disertai oleh lebih dari 200 orang. Walaupun menghadapi masalah kebuluran serta kekurangan makanan, para pelarian masih berdisiplin dan patuh untuk berbaris menanti giliran mereka.
TYT ABDIWELI MOHAMED ALI, Perdana Menteri Somalia sedang meluangkan masa untuk mendengar penerangan mengenai Misi MRA di Somalia. Beliau berterima kasih dengan bantuan dari Malaysia.
TYT Abdirahman Mohamud Farole, Presiden Puntland menyatakan bahawa beliau berhasrat untuk mencontohi sistem Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang diamalkan di Malaysia.
TAUTAN KASIH 6 - BRAVO
MRA sekali lagi menganjurkan siri Tautan Kasih didalam bulan Ramadhan. Sebelum ini, Tautan Kasih 2 turut dilaksanakan didalam bulan Ramadhan. Tautan Kasih 6 merupakan gabungan daripada lebih 10 organisasi yang menumpukan kepada program pembangunan Orang Asli di Pos Bersih, Slim River, Perak. Program Tautan Kasih 6 ini meninggalkan pelbagai nostalgia, terutamanya dengan kembalinya ke Rahmatullah salah seorang Sahabat MRA di Pos Bersih yang paling komited iaitu Pak Mat. Pemergian beliau yang seolah dirancang pada petang Jumaat di bulan Ramadhan ini merupakan pemergian yang baik dan pastinya diredhai. Kehilangan ini amat dirasai oleh mereka yang sering berurusan dengan beliau.
Tautan Kasih 6 berjalan dalam bentuk Simulasi dalam Latihan. Menggabungkan berbagai elemen yang diperlukan dalam operasi lapangan bantuan kemanusiaan. Kem Komandan bagi Tautan Kasih ini ialah Sdr. Rezaidi Md. Ishak yang juga merupakan Pengarah Biro Latihan dan Pembangunan MRA.
Suasana berpuasa di siang hari juga menjadikan simulasi latihan ini semakin getir dan menguji kesabaran. Suasana berpuasa di siang hari juga menjadikan simulasi latihan ini semakin getir dan menguji kesabaran. Peserta juga dihambat oleh masa dalam memastikan setiap modul dapat dilaksanakan dalam jangka yang ditetapkan.
ECHO SIERRA TANGO, OVER
Sebanyak dua tim perubatan telah dibentuk, satu dipimpin oleh Dr. Md. Daud Sulaiman yang juga SUA MRA dan satu lagi oleh Dr. Hassan Mat, Pakar Bedah dari Kajang Medical Centre. Sebanyak 4 tim Sahabat MRA telah dibentuk untuk bergerak didalam kampung-kampung yang telah ditetapkan. Dalam Tautan Kasih kali ini, peserta telah didedahkan kepada beberapa buah Modul Latihan yang menjadi asas kepada keseluruhan aktiviti Tautan Kasih 6. Disamping itu, peserta juga dikehendaki untuk bermalam di Kampung yang telah ditetapkan disamping mereka juga perlu menyediakan juadah untuk berbuka dan bersahur mereka. Seringkali mereka ditemani oleh anak-anak orang Asli yang begitu mudah untuk mesra dan bermain-main dengan mereka.
Antara modul yang perlu dilaksanakan di kalangan penduduk orang Asli ini termasuklah Modul Komunikasi, Modul Interaksi, Modul Kebersihan Modul Penyediaan Klinik Bergerak, Modul Trauma Healing dan beberapa modul yang lain. Modul-modul ini memberikan mereka kesempatan untuk berinteraksi secara langsung dengan masyarakat setempat. Maklumbalas yang diperolehi dari kalangan peserta amatlah positif dan begitu memberangsangkan dan beberapa cadangan penambahbaikan telahpun diberikan. Kerjasama yang digerakkan oleh segala pihak yang terlibat amatlah dihargai. Tahniah. Tango Kilo pada semua.
Bersedia untuk TAUTAN KASIH 7.
Balai Komuniti diguna secara rasmi
4 BULAN LALU, tapak Balai Komuniti ini ditumbuhi lalang dan pokok, namun kini, ianya telah menjadi sebuah fasiliti yang siap untuk digunapakai. Terima kasih kepada Pak Mat dan keluarga kerana sudi memberikan tapak ini untuk dibangunkan oleh Yayasan Malaysian Relief Agency (MRA)
ANCHOR bagi Program Tautan Kasih 6. Dari kiri, Abang Ali dan Boy, untuk khidmat pemanduan 4X4, Sdr. Adnan dan Ezrie, Lipan Bara, untuk taklimat dan aplikasi komunikasi, terutamanya penggunaan phonic alphabet. Sdr. Iqbal (tiada dalam gambar) dan Sdr. Johari bagi kerja-kerja urusetia, teknikal & persiapan. Dr. Mohd Daud, SUA MRA, Pengerusi bagi Sub Komiti Orang Asli MRA dan Pengarah keseluruhan Tautan Kasih 6. Sdr. Rezaidi Ishak, Kem Komandan Tautan Kasih 6 merangkap Pengarah Biro Latihan dan Pembangunan MRA dan akhir sekali, Sdr. Shahrul, Pengarah Eksekutif MRA
Sepuluh Modul latihan diaplikasi SEPULUH Modul latihan telah berjaya diaplikasikan sepenuhnya dalam siri latihan kali ini. Pendekatan yang digunakan kali ini agak berbeza dengan Tautan Kasih sebelum ini, pembinaan 10 modul ini yang kemudiannya diaplikasikan kepada masyarakt orang Asli adalah bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai murni, konsep kebersihan, keperluan komunikasi, keceriaan dan terpaling penting ialah penjagaan kesihatan.
Mandi! Mandi! Sabun! Sabun! Syampu! Syampu!
Peserta bergerak dalam kumpulan masing-masing menuju ke kampung yang telah ditetapkan dan mereka turut bermalam disana. Ini memberikan mereka pengalaman yang unik dan dalam masa yang sama perlu bersiap untuk menyediakan juadah sahur mereka.
Sebelum anda dihantar ke luar Malaysia, anda harus buktikan kemampuan anda terlebih dahulu
Belasungkawa Pak Mat Sdr. Rezaidi sedang berbual dengan Pak Mat, Al Fatihah buat Pak Mat
Meneroka Pos Keding & Tenau POS Keding & POS Tenau adalah dua buah pos yang terletak jauh di pendalaman di kawasan Slim River. Anda perlu menempuh Pos Keding dahulu sebelum sampai ke Pos Tenau. Dari Pos Bersih untuk ke Pos Keding mengambil masa hampir satu jam dan dari Pos Keding ke Pos Tenau, mengambil masa sekitar 40 minit. Itu baru saja pergi, dan balik lebih kurang 3 jam. Kalau hari hujan, masa akan diambil lebih lama kerana jalan yang dilalui adalah berselut dan licin. Masyarakat Orang Asli disini amat peramah dan mudah mesra.
SLOT Bulanan MRA di Hospital Pakar Al Islam di Kampung Baru
PERKONGSIAN ILMU Salah satu Hari Rabu dalam setiap bulan akan disi oleh petugas MRA bagi berkongsi maklumat dan pengetahuan dengan kakitangan Al Islam yang terbukti komited dan gigih dalam tugasan. Kebiasaannya, kehadiran bagi setiap slot amat memberangsangkan. 20hb April 2011 - Pengalaman Kerja-kerja Sukarela disampaikan oleh M. Shahrulazilan. 18hb Mei 2011 - Penyelarasan (Coordination) Kerja-kerja Sukarela oleh Shirajuddin Sirat 15hb Jun 2011 - Latihan Pengurusan Tadbirurus dan Integriti - Mohd Rezaidi Mohd Ishak 20hb Julai 2011 - Risiko Humanitarian di Zon Bencana M. Shahrulazilan
KEMPEN RAMADHAN 1432
DEKAT DI MATA LEKAT DI HATI Alhamdulillah, berkat kerjasama dan sokongan semua pihak, MRA telah berjaya menyalurkan sumbangan bagi Kempen Ramadhan MRA bagi tahun 1432 - “Dekat Di Mata Lekat Di Hati�. Kempen ini telah berjaya mengumpul sumbangan sejumlah RM100,000 dan ianya telah disalurkan kepada mereka yang memerlukan didalam dan diluar negara mengikut lokasi yang dinyatakan oleh para penderma dan penyumbang yang budiman.
Agihan Dalam Negeri menepati target Alhamdulillah, kempen Ramadhan 1432 MRA yang dikenali dengan temanya Dekat Di Mata Lekat di Hati telah berjaya menyalurkan bantuan sempena Ramadhan kepada beberapa buah organisasi yang telah dikenalpasti didalam negara. Organisasi-organisasi ini dipilih berdasarkan komitmen mereka kepada komuniti dan kelompok termasuk OKU, saudara baru dan anak yatim yang mereka sendiri kendalikan. Antara organisasi tersebut ialah Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA), Persatuan Orang Cacat Penglihatan Selangor (PERTIS), Komuniti Rohingya, Cheras Baru, ibu tunggal, komunitI orang miskin dan anak yatim. Jadikanlah Ramadhan suatu bulan Ibadah yang perlu direbut sepenuhpenuhnya, lipat gandakan amalan dan sumbangan di bulan ini, bulan yang lebih baik daripada seribu bulan. MRA ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penyumbang yang dermawan, semoga Allah melipat gandakan lagi rezeki dan perolehan anda. JAZAKALLAH
DEKAT DI MATA LEKAT DI HATI
Puntland, SOMALIA Datuk Bandar Gardo di Puntland berkata, “malam tadi adalah malam ganjil dalam bulan Ramadhan, pastinya malam tadi malam lailatul qadar, malam yana mana doa diangkat kelangit, lantas kami bermunajat kepada Allah Maha Pemberi Rezeki memohon bantuan bagi meringankan bebanan yang kami tanggung dan sekarang ini, didepan kami, kamu (MRA) tiba bertanyakan perihal kami. Kami berharap sangat MRA akan dapat membantu kami� Alhamdulillah, dalam fasa kecemasan ini MRA telah menyalurkan sumbangan air yang amat diperlukan oleh penduduk dan para pelarian. Untuk makluman semua, projek pengagihan air ini digerakkan setelah mendapat kelulusan dan persetujuan dari Majlis Bandaran setempat. Air yang disalurkan ini dapat digunakan oleh penduduk kem pelarian dari akhir Ramadhan hingga ke akhir Syawal. Terbaik.
Keluarga malang, yang lelaki “hilang� tiada jejak, tiada tanda
DEKAT DI MATA DEKAT DI HATI
SELATAN THAILAND
MRA beroperasi di seluruh wilayah Selatan Thailand merangkumi program pendidikan, pertanian, undang-undang, bantuan kemanusiaan dan mikro finance. Bantuan Dekat Di Mata Dekat Di Hati disalurkan kepada mereka yang memerlukan oleh agensi-agensi yang membantu MRA di Lapangan.
BANTUAN RAMADHAN 1432 KE PAKISTAN MRA masih lagi mempunyai projek yang sedang berjalan di Pakistan iaitu Projek Rumah Syukur, Projek Bekalan Air Bersih yang terdiri dari Pembinaan Telaga Air dan Pembaikan Kawasan Tadahan Air. MRA beroperasi di Pakistan bermula daripada Banjir yang melanda Pakistan pada tahun 2010 yang lalu. Bantuan Ramadhan 1432 disempurnakan kepada kelompok anak yatim dan orang miskin dengan bantuan Yayasan Al Khidmat, rakan kerja MRA dalam projek pembinaan Rumah Syukur. Walaupun telah hampir 2 tahun banjir berlalu, masih banyak lagi kerja-kerja rehabilitasi yang belum berjalan. Masih banyak lagi bantuan yang diperlukan disini. Jika bukan kita yang membantu mereka, Siapa lagi? Sebanyak 200 orang telah mendapat manfaat daripada bantuan Ramadhan yang kami salurkan. Terima kasih kepada semua penderma, semoga memberikan anda rezeki yang berlipat kali ganda.
Sumbangan rakyat Malaysia disampaikan kepada mereka yang memerlukan sempena kedatangan Syawal 1432.. Terima kasih semua
PROGRAM MAHABBAH ORANG ASLI UIA KUANTAN-MRA DI CAMERON HIGHLANDS
cemerlang Program Mahabbah Orang Asli UIA Kuantan-MRA ini merupakan sebuah program pengupay aan komuni ti Orang Asli dengan memberikan mereka bantuan dan nasihat kesihatan bagi memastikan mereka berada didalam kesihatan yang baik. Agak sulit bagi mereka untuk mendapatkan rawatan kesihatan walaupun untuk demam selsema kerana lokasi mereka yang berada di kawasan pendalaman. Kehadiran Tim Medikal ini memang dialu-alukan
TRAUMA HEALING - BELAJAR MEMBUAT BELON, Pengalaman baru setiap peserta Nampak mudah dan murah sahaja aktiviti ini, tetapi kesannya cukup positif dan baik. Kanak-kanak akan sentiasa tersenyum dan gembira apabila mendapat hadiah belon ini. Kita akan tanya apakah bentuk yang mereka mahukan dan kita akan cuba untuk membuatnya. Aktiviti Trauma Healing adalah satu aktiviti penting kepada kelompok masyarakat yang mendapat masalah dan musibah. Kita memberikan mereka satu peluang , memberikan mereka satu sebab untuk ketawa dan bergembira, melupakan masalah dan kesukaran yang diharungi. Paling tidak, memberikan mereka untuk tersenyum.
Cikgu Suzanne Moi
SAMBUTAN RUMAH TERBUKA MRA DI SEKOLAH KOMUNITI ROHINGYA, CHERAS BARU BERSAMA MAHASISWA UIA NILAI – YANG TERBAIK!
Majlis Sambutan dan Rumah Terbuka MRA telah diadakan di Sekolah Komuniti Rohingya Cheras. Majlis ini telah dijayakan dengan bantuan daripada adik-adik Mahasiswa UIA Nilai yang begitu komited, dedikasi dan ceria. Bantuan mereka dalam mengurus serta mengatur aktiviti sepanjang hari tersebut amatlah kami hargai. Mereka hadir seawal jam 9.00 dengan tenaga seramai 40 orang mahasiswa telah membantu kami mengurus majlis tersebut sebaik mungkin, anak-anak Rohingya cukup gembira dilayan sebegini.
MRA PERAK SAMBUT AIDILFITRI DAN MERDEKA DI POS SLIM, PERAK DARUL RIDZUAN
Masyarakat Orang Asli di Pos Slim diraikan serta disantuni oleh Tim MRA Perak dalam Majlis Aidilfitri 1432. Majlis ini turut diselitkan dengan Sambutan Kemerdekaan telah dihadiri oleh penduduk di Pos Slim terutamanya kanak-kanak. Majlis yang bertujuan untuk merapatkan silaturahim diantara sukarelawan dan penduduk Pos Slim ini berjalan dengan lancar dan mencapai matlamatnya.
Berkenalan dengan TIM MRA ke negara SOMALIA SHAHRUL & SAYID
Tim ini terdiri daripada tiga orang jejaka, ada yang masih teruna dan ada yang telah berumahtangga. Mereka juga melalui jalan yang sama seperti yang diikuti oleh Tim Pertama MRA pada 24hb Ogos 2011 yang lalu. Misi Tim Kedua ialah untuk memantapkan lagi pergerakkan bantuan dan sumbangan rakyat Malaysia melalui MRA. Disamping itu, ianya juga bertujuan memberikan peluang kepada anggota tim MRA yang pertama, Sdr. Shahrul yang telah berada di Somalia selama lebih sebulan untuk kembali ke Malaysia bagi memaklumkan kepada rakyat Malaysia apakah yang telah dilakukan oleh MRA sepanjang berada di Somalia.
HJ. HANI
Misi Tim Kedua ialah untuk turut mempersiapkan Mobile Clinic MRA serta membuat persiapan untuk mengadakan Ibadah Qurban di Kem-kem pelarian disana.
IYADZ IQBAL
KEMPEN QURBAN TERBAIK MRA 1432
SOMALIA
Ibadah Qurban MRA di Selatan Thailand Mesyuarat EXCO MRA telah mengambil ketetapan untuk menumpukan Kempen Qurban Terbaik bagi tahun 1432 ke negara Somalia yang sedang dirundung musibah kemarau dan kebuluran. Ini tidak bermakna MRA tidak akan menghantar agihan qurban ke negara-negara lain tetapi jumlahnya mungkin akan menurun sedikit. Justeru, MRA mengajak seluruh umat Islam, para penderma serta seluruh warga Malaysia untuk turut terlibat didalam menjayakan kempen Qurban di Somalia ini. MRA mempunyai rangkaian jentera tempatan yang berupaya untuk menguruskan agihan daging Qurban termasuk Aqiqah di Kem-kem pelarian yang memerlukan. Haiwan Qurban bagi negara Somalia adalah terdiri daripada kambing, biri-biri dan unta. Lembu agak jarang ditemui disini. Rakyat Somalia, 97% daripadanya merupakan umat Islam dari mazhab Shafie kini berhadapan dengan krisis makanan yang meruncing. Bantuan dari anda amatlah dialu-alukan. Harga bagi satu bahagian adalah pada kadar RM350 sahaja. Harga ini termasuk segala urusan pembelian, penghantaran, penyembelihan dan pengagihan, termasuk urusan dokumentasi dan perkara perkara lain yang bersangkutan dengan perlaksanaan ibadah Qurban ini. Hubungi Sekretariat MRA untuk maklumat lanjut di talian 03 2697 2007.
Hidup sopan akhlak mulia Menjadi teras bangsa manusia Hulur bantuan hingga Somalia Tanda ikhlas rakyat Malaysia