HIDIR ALI RAZALI
(Terima kasih atas kebenaran menyiarkan artikel ini)
KISAH DI SEBALIK WATAK BUTA
KassimSelamat
Filem Ibu Mertuaku, karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee merupakan filem yang telah berjaya menjentik emosi peminat filem Melayu dari dahulu sehingga kini. Melalui filem Ibu Mertuaku, P. Ramlee telah diiktiraf sebagai ‘Bakat Serba Boleh’ (Most Versatile Talent) dalam Festival Filem Asia Pasifik yang ke-10 yang berlangsung di Tokyo pada tahun 1963. Anugerah ini hanya dimiliki oleh P.Ramlee sahaja kerana kategori ini tidak pernah dipertandingkan lagi di mana-mana anugerah filem selepas beliau menerimanya. Tahukah anda mengapa P. Ramlee
19
CITRA BUDAYA 2/2019
‘membutakan’ watak Kassim Selamat dalam filem Ibu Mertuaku? Sebenarnya, watak Kassim Selamat yang buta matanya akibat menangis setiap hari kerana meratapi pemergian isterinya Sabariah (lakonan Sarimah), ialah berdasarkan kisah benar yang berlaku kepada ayahanda P.Ramlee sendiri iaitu Teuku Nyak Puteh bin Teuku Karim.
Selepas P. Ramlee meninggalkan Pulau Pinang dan pergi ke Singapura pada tahun 1948, Teuku Nyak Puteh dikatakan sering berduka dan menangis kerana merindui anak tunggalnya itu. Walaupun pada awalnya beliau merestui pemergian P. Ramlee dalam mengejar cita-cita, tetapi jiwanya merintih sepi dipeluk rindu yang mendalam. Ayahandanya seringkali menangis dan berduka hingga mengakibatkan mata beliau menjadi buta. Pada suatu ketika, Teuku Nyak Puteh pernah meminta rakan-rakannya membawa beliau ke panggung wayang untuk menonton filem lakonan P. Ramlee. Walaupun tidak dapat melihat lakonan dan wajah anaknya dalam filem berkenaan, tetapi bagi beliau, ia sudah cukup untuk melepaskan segala rindu di hati selepas dapat mendengar suara anaknya P. Ramlee.