13 minute read
MENELUSURI MAKYUNG DARI KACA MATA NORZIZI ZULKIFLI
MENELUSURI Makyung
Advertisement
DARI KACA MATA Norzizi Zulkifli
ecintaan pertama saya kepada Makyung sebuah K teater tradisional dari Negeri Kelantan, bermula apabila kesenian ini didatangkan kepada saya pada tahun 1996.
Semasa saya masih lagi menuntut di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) dan kini dikenali sebagai Akademi Seni
Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Seniman Negara, Khatijah Awang, seorang primadona Makyung telah diterbangkan kepada kami setiap minggu bagi mengajar kursus Makyung. Ia sebuah kursus wajib bagi semua pelajar ASK meliputi semua bidang pengajian iaitu teater, tari, muzik dan penulisan. Makyung sebuah teater tradisional yang mempunyai elemen improvisasi dalam lakonan, nyanyian, tarian, muzik dan ritual sebagaimana yang didefinisikan oleh tokoh penyelidik utama Makyung di Malaysia iaitu Profesor Dato’ Dr. Ghulam-Sarwar Yousof. Di ASK inilah kami mula berkenalan dengan Profesor Ghulam dan mempunyai beberapa kuliah bukan sahaja mengenai teater tradisional di Malaysia mahupun Asia Tenggara. Mempelajari dari “sifu” itu banyak nikmatnya. Profesor Dr. Ghulam telah membawa arwah Khatijah ke fasa yang lebih tinggi lagi apabila mula memasuki ke dunia akademik. ASK sebenarnya membentuk persembahan Makyung beracuankan Khatijah Awang. Beliau yang turut dikenali oleh anak-anak murid beliau sebagai Mak Jah, mula mengajar di ASK sejak tahun 1996
sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 2000. Beliau mula terlibat dalam Makyung apabila suatu hari beliau menonton sebuah persembahan Makyung yang dilakonkan oleh pemain–pemain wanita yang telah berusia. Beliau merasa sangat malu menonton persembahan yang menjadi wakil Malaysia pada ketika itu apabila dipersembahkan oleh pelakon-pelakon yang berumur. Ini menjadi tamparan hebat buat Mak Jah dan akhirnya mengambil keputusan untuk belajar dan menjadi pewaris bagi Makyung. Di situlah titik mulanya penglibatan beliau. Mak Jah kemudiannya menubuhkan Kumpulan Seri Temenggung pada tahun 1970 merupakan sebuah kumpulan kesenian yang mempunyai kepakaran dalam bidang Makyung. Diterajui oleh Mak Jah sendiri dan suaminya Zakaria bin Abdullah, anak kepada Che Kemala binti Muhammad seorang primadona Makyung yang berkahwin dengan Abdullah bin Supar seorang pemain Makyung yang juga terkenal. Abdullah mempunyai Kumpulan Makyung Diraja Che Kemala yang diterajui olehnya sendiri selaku pemain utama yang memegang watak Peran dan Che Kemala sebagai Pakyung. Kemasyhuran Kumpulan Makyung Diraja Che Kemala adalah kerana kumpulan ini banyak membuat persembahan di istana-istana di Kelantan dan Thailand. Nama Kumpulan Seri Temenggung di inspirasikan dari Kampung Temenggung iaitu sebuah perkampungan kesenian diraja pada tahun 1923 yang dinaungi oleh Long Abdul Ghafar atau dikenali sebagai Tengku Temenggung. Long Abdul Ghafar adalah putera kepada Sultan Muhammad II, Raja Kelantan. Di Kampung Temenggung, Long Abdul Ghafar telah memilih penari dan pemuzik yang terbaik di Kelantan untuk dilatih di istana baginda. Selain diajar dan mempelajari kesenian tradisi, mereka juga diajar untuk mendalami ilmu agama. Terdapat dua anjakan penting yang dibuat semasa berada di bawah naungan diraja ini iaitu pertukaran jantina pemain watak Pakyung iaitu watak Raja yang dilakonkan oleh lelaki, ditukar kepada perempuan. Ini adalah kerana bagi mengelakkan sebarang rasa cemburu sesama ahli kumpulan Makyung yang kebanyakan adalah pasangan suami isteri. Misalnya, si isteri berlakon dengan Pakyung lelaki dan suaminya adalah ahli muzik atau pelakon lain dalam kumpulan tersebut. Dikhuatiri ketika melakonkan watak antara Pakyung dan Makyung itu, boleh menimbulkan cemburu dan ketegangan dalam rumahtangga. Selain itu, dalam temu bual yang pernah dibuat, dikatakan apabila seorang Pakyung itu dilakonkan oleh seorang lelaki dan dikhuatiri juga jika tuanku permaisuri boleh jatuh cinta akan ketampanan pelakon Pakyung itu, dan adalah tidak molek juga apabila persembahan untuk kerabat istana, seorang raja yang sedang duduk di singgahsana, sedang menonton Pakyung seorang lagi raja lelaki yang sedang berlakon dengan pelbagai kehebatan. Atas faktor-faktor inilah, persembahan Makyung di istana telah berlaku pertukaran iaitu pemain watak Pakyung seorang raja lelaki akhirnya dilakonkan oleh pelakon wanita.
Juga atas faktor keindahan sebuah persembahan inilah gaya lakonan watak Pakyung ini tidak pula mengubah gaya lakon menjadi lelaki totok, sebaliknya memperlihatkan kedua sisi jantina itu masih ditekankan dengan mengekalkan kejelitaan sebagai pelakon wanita dan hanya menunjukkan sedikit kesasaan di postur tubuh sebagai melakonkan watak lelaki. Selain itu, antara sumbangan utama Kampung Temenggung terhadap kesenian Makyung adalah dengan memperhaluskan gerak tari, muzik dan kostum sejajar naungan oleh kerabat diraja. Selama 12 tahun, Kampung Temenggung ini mampu dipertahankan. Setelah kematian Long Abdul Ghafar, semua pemain Makyung terpaksa kembali ke kampung halaman masing-masing. Maka, Kumpulan Seri Temenggung milik Mak Jah, mengambil nama dari Tengku Temenggung dan cuba menjadi sebuah kumpulan yang turut memain peranan mendukung kegemilangan Makyung pada zamannya itu.. Profesor Dato’ Dr. Ghulam berpendapat Kumpulan Seri Temenggung telah banyak memberikan inovasi terhadap Makyung. Ia mula mewujudkan sebuah persembahan Makyung yang glamour untuk penonton di bandar. Mak Jah banyak memberi transfomasi utama yang diikuti hingga ke hari ini antaranya dengan menukar bentuk pementasan iaitu daripada pemain Makyung hanya berlakon dalam bulatan, kini boleh dibuat di proscenium. Keduanya, tempoh masa persembahan Makyung dipendekkan. Mak Jah mula meringkaskan urutan persembahan yang terlalu panjang. Secara konvensi, Makyung dipersembahkan ceritanya bersambung bermalam-malam. Selain itu, Mak Jah mula memperkenalkan rekaan set pentas dan props serta kostum Makyung telah mula diperindahkan lagi. Pengunaan manik kepada watak-watak lain selain Pakyung mula diperkenalkan. Dengan setiap perubahan yang dibuat memberi penambahbaikan agar Makyung menjadi lebih baik dan kekal relevan. Transformasi yang dibuat bermula pada tahun 1970-an dengan kemaraan Kumpulan Seri Temenggung ini telah memberi nafas baharu terhadap persembahan Makyung. Ia juga memberi impak kepada pengajaran yang dilakukan oleh Mak Jah kepada para pelajar ASK. Makyung diajar di ASK di mulakan dengan gerakan asas yang harus dipelajari, “Re tubuh, sede dado” yang bermaksud ‘Rendahkan tubuh, buka dada’. Gerakan asas ini dicipta sendiri oleh Mak Jah dan di awal kuliah teknik latihan ini dibuat pada setiap kelas sebelum pelajar boleh mencapai ke
teknik seterusnya. Teknik yang dicipta oleh Mak Jah ini membuktikan beliau seorang guru yang memahami proses transformasi ilmu itu haruslah bermula dengan gerakan-gerakan asas yang dilatih kepada tubuh bukan hanya terus mengajar menari. Gerakan asas ini penting bagi melatih tubuh pelajar dengan lebih efektif sebelum mula mempelajari tarian. Pengalaman saya mempelajari Makyung semasa bekerja di bawah arahan Mak Jah ialah proses belajar teater tradisional atau berguru ialah melalui demonstrasi, observasi-mengamati, imitasi sepenuhnya dan dibuat semula dan ditunjukkan lalu dibetulkan oleh gurunya. Pengalaman sewaktu melakonkan watak Anak Raja Gondang, sebuah watak yang kerap dilakonkan oleh Mak Jah, agak mendebarkan saya. Kerana pastinya ada persepsi dan harapan besar yang diletakkan di situ. Meskipun mempunyai skrip, proses untuk berlakon dalam teater tradisional yang harus dibuat adalah meliputi pembacaan skrip dan proses meminta guru membacakan dialog. Pada waktu dahulu, proses belajar dibuat dengan menggunakan tape recorder maka Mak Jah akan membacakan dialog dan kemudian saya memohon beliau mendemonstrasikan pergerakan lakonan dan tarian. Seterusnya daripada rakaman suara ini, saya harus mendengar berulang kali dan meniru gaya dan lengguk pengucapan dialog Makyung serta mempelajari penyebutan dialog-dialog bahasa Kelantan yang tidak kurang sukar prosesnya. Proses mendengar kaset rakaman ini dilakukan berkali-kali hingga dapat dikuasai sepenuhnya serta boleh berlaku hingga ke sebelum tirai persembahan hampir dibuka. Masih diulang dengar untuk memastikan imitasi itu betul-betul tepat. Begitu juga dengan pergerakan tarian. Teknik pengulangan demonstrasi guru ini masih diaplikasikan oleh guru dan anak murid hingga ke hari ini. Lebih-lebih lagi dengan kecanggihan teknologi sekarang. Nyanyian guru dan tarian di rakam dalam telefon pintar dengan mudahnya. Walaupun begitu, guru tetap perlu melakukan demonstrasi dan pelajar dapat membuat semak dengan observasi, tiru dan aplikasi semula di hadapannya. Inilah satu proses teknik pembelajaran teater tradisional yang begitu indah. Sebagaimana kecanggihan teknologi dunia pendidikan hari ini, pelajar boleh mempelajari Makyung dengan menonton di YouTube, mahupun belajar dalam talian sekalipun, namun guru tetap akan melakukan tunjuk ajar demonstrasi berulang kali bagi memastikan ketepatan penyampaian pengajaran tersebut. Begitulah pengalaman mempelajari teater tradisional Makyung daripada Mak Jah sepanjang dua semester untuk persediaan mementaskan Makyung pertama terbitan ASK, Makyung Anak Raja Gondang yang dipersembahkan di Panggung Eksperimen, Panggung Negara pada 26 & 27 April 1997. Teater ini menampilkan Juhara Ayob sebagai Pakyung, Eliza Mustafa sebagai Makyung dan saya sendiri sebagai Pakyung muda iaitu Anak Raja Gondang. Pengalaman kedua diarahkan oleh Mak Jah adalah dalam persembahan Makyung Raja Bongsu Sakti di mana saya memegang peranan sebagai Makyung iaitu Puteri Ucana Muda. Pakyung dilakonkan oleh Juhara Ayob. Persembahan ini juga di adakan di Panggung Eksperimen pada 11 - 12 Disember 1998. Ini juga adalah Makyung pertama lakonan saya di gelanggang profesional sebaik sahaja tamat pengajian Diploma. Selepas mengadakan persembahan ini, saya mendapat undangan menjadi seniman bagi menghiasi muka hadapan majalah ‘Karya’. Saya diminta untuk memakai sepasang persalinan Pakyung dan wartawan itu menemu bual Khatijah Awang mengenai kemampuan saya sebagai pelapis Makyung ketika itu. Pada sesi fotografi itu, saya dipakaikan pakaian dan tanjak milik primadona Khatijah Awang sendiri. Besar nikmatnya dan tidak terucap keterujaan diberi peluang begini oleh majalah ‘Karya’ dan komen-komen apresiasi daripada Mak Jah itu sendiri. Pada tahun 2001, saya dipanggil oleh Tan Sri Norliza Rofli yang pada waktu itu Pengarah ASK, untuk ke pejabatnya. Ketika itu ASK berpusat di Empire Tower, Kuala Lumpur. “Norzizi, kita nak minta you
kembalikan kegemilangan Makyung Khatijah Awang”. Terdiam saya. Berat. Saya akhirnya cuba memikul tanggungjawab itu dan kerana ingin mengembalikan kegemilangannya, saya cuba membawakan cerita yang pertama diarahkan oleh Mak Jah iaitu Anak Raja Gondang. Semua elemen saya kekalkan termasuklah pelakon-pelakon dahulu yang saya tawarkan seolah memberi nostalgia menonton air tangan Mak Jah. Namun, pastinya dalam bentuk arahan yang berbeza. Saya mengarahkan Makyung itu pada 23 - 25 Oktober 2001 di Pentas Terbuka MaTiC dan dilakonkan oleh Juhara Ayob, Eliza Mustafa, Mardiana Ismail, Rosdeen Suboh, Samoza, Rosman Ishak, Che’kem dan ramai lagi. Produksi inilah pertama kali saya diperkenalkan kepada Fatimah Abdullah yang waktu ini telah mula menggantikan posisi arwah Mak Jah mengajar di ASK setelah kematiannya pada 2000. Dalam produksi ini Fatimah Abdullah atau dikenali sebagai Mama As bertindak selaku koreografer. Mama As banyak memberikan kebebasan untuk saya mengarah tanpa menyekat kreativiti saya yang pada waktu itu pertama kali mengarahkan Makyung. Fatimah Abdullah merupakan adik ipar kepada arwah Mak Jah. Beliau adalah adik kepada Zakaria Abdullah tapi berlainan ibu. Mama As mula mengajar Makyung di ASK sejak kematian Mak Jah sehingga ke hari ini. Makyung kemudiannya semakin berkembang, mula dipelopori oleh graduan-graduan ASK, lahirlah nama-nama Juhara Ayob, Marlenny Deenerwan, Rosdeen Suboh, Zamzuriah Zahari, Ismadian Ismail, Mardiana Ismail, Mardiana Alwi, Kamrul Husin, Kamrul Baisah dan ramai lagi. Generasi seterusnya inilah yang mula menggerakkan kesenian Makyung di Kuala Lumpur lahir daripada perkembangan ASK/ASWARA. Makyung di ASK/ASWARA hanya datang daripada dua Adiguru iaitu Khatijah Awang dan Fatimah Abdullah yang juga datang daripada Kumpulan Seri Temenggung. Pada 2003 pula, menyaksikan Makyung pertama kali masuk ke Istana Budaya yang baru sahaja dirasmikan oleh Perdana Menteri pada 1999 iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ini merupakan sejarah untuk Makyung dan Istana Budaya apabila mementaskan produksi Makyung yang terbesar pada waktu itu. Makyung Raja Tangkai Hati dipentaskan pada 22 - 26 Ogos 2003 di Panggung Sari dengan Profesor Dato Dr. Ghulam-Sarwar Yousof telah dilantik sebagai penasihat dan Fatimah Abdullah sebagai pembimbing. Makyung ini mempunyai nilai sentimental secara peribadi buat saya sebagai pengarah termuda pada waktu itu kerana berpeluang untuk mengarah di Istana Budaya yang berprestij pada usia 27 tahun. Sebagai seorang yang bukan berasal dari Kelantan dan hanya mempelajari Makyung dari ASK, besar kecintaan saya kepada Makyung ini sahajalah yang menjadi sumber kekuatan saya untuk mengarahkan sebuah produksi yang begitu besar pada waktu itu. Transformasi sebuah persembahan yang dahulunya hanya dipertontonkan di
kampung-kampung untuk komunitinya kini menjadi sebuah persembahan besar di panggung yang berprestij seperti ini. Sudah tentu ia amat mencabar kemampuan saya. Makyung Raja Tangkai Hati mengekalkan cerita, nyanyian dan tarian dalam persembahan Makyung serta berpegang kepada kecanggihan pentas dan teknologi dalam menghidangkannya kepada penonton. Makyung arahan saya yang kedua ini cuba bereksplorasi memusatkan fokusnya kepada aplikasi teknologi dalam persembahan terutamanya untuk memberikan aspek kekaguman. Bermula pada 2007 hingga 2012 pada setiap hari Ahad, saya mengadakan Kelas Makyung Norzizi Zulkifli di studio Swatari, Pak Ngah Production dengan motonya “Menyemai Benih Warisan”. Ini adalah kerana saya merasakan pencambahan kemahiran dan pengetahuan harus dibuat dengan lebih meluas tanpa hanya berharap kepada pelajar di institusi pengajian tinggi. Oleh kerana itu, kelas ini dibuka untuk semua peringkat umur bagi membolehkan sesiapa sahaja yang meminati kesenian Makyung, boleh mendapatkan ilmu. Kelas dibahagikan kepada dua peringkat iaitu kelas asas dan kelas lanjutan. Kelas asas dan lanjutan dibuka pengambilannya setahun sekali dan selama tempoh pembelajaran 6 bulan. Pelajar akan diberikan sijil setelah tamat. Mama As juga merupakan tenaga pengajar untuk kelas Makyung ini selain saya sendiri. Mama As bertindak sebagai guru saya dan saya juga turut mempelajari Makyung ini daripada beliau. Makyung ketiga arahan saya merupakan sebuah eksplorasi dengan teks Barat iaitu adaptasi dari A Midsummer Night’s Dream karya William Shakespeare yang diberi tajuk Makyung Titis Sakti. Pengarahan karya ini berpusat untuk mengambil cerita selain daripada himpunan cerita Makyung dan diadunkan dengan memasukkan cerita Shakespeare sepenuhnya ke alam Makyung. Maka, nama watak dan lokasi telah ditukar sepenuhnya ke dunia Makyung. Semasa membaca cerita-cerita Shakespeare, saya melihat begitu banyak persamaan dengan dunia Melayu dan cerita-cerita Makyung. Oleh kerana cerita ini terdapat dua alam, alam kayangan dan bumi yang penuh dengan magis, maka intipati ini menjadi tunjang dalam adaptasi. Makyung Titis Sakti mencipta sejarahnya sendiri apabila merupakan sebuah teater tradisional Melayu yang menggunakan sepenuhnya bahasa Kelantan dan dipentaskan di Pentas 2, Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) dan full house sepanjang lima malam dipentaskan. Dipentaskan dari 3 - 7 Jun 2009 dan penontonnya terdiri daripada berbilang bangsa. Ini merupakan kejayaan luar biasa bagi sebuah teater tradisional di KLPAC. Selepas kejayaan produksi ini, Makyung Titis Sakti dijemput untuk dipentaskan semula di Pentas 1, KLPAC sempena sambutan ulang tahun ke-30 The Actors Studio.
Semasa pementasan tahun 2018, Makyung Titis Sakti dipersembahkan dalam tiga bahasa dengan stail yang berbeza iaitu bahasa Melayu, bahasa Kelantan dan bahasa Inggeris. Makyung Titis Sakti tercalon dalam 16th BOH Cameronian Arts Award 2019 bagi kategori Pelakon Pembantu Terbaik untuk kedua watak perannya iaitu Asrulfaizal Kamaruzaman sebagai peran tua dan Rosdeen Suboh sebagai peran muda. Selain itu, pementasan ini merupakan satu-satunya teater dari Malaysia yang tersimpan di Asian Shakespeare Intercultural Archive (A-S-I-A), National University of Singapore. Kecintaan saya tidak pernah padam terhadap Makyung malahan semakin lagi. Banyak lagi impian untuk mengarah, menggarap Makyung dengan lebih baik supaya terus hidup dan kekal relevan. Bukan untuk menukar atau merosakkan. Tetapi seiring masa dengan cabaran utama hari ini, saya memikirkan pelaksanaan sesebuah pementasan Makyung itu harus berjaya menggerakkan penonton untuk hadir ke panggung dan menonton. Jika ia tidak berevolusi maka Makyung akan mati begitu sahaja. Dahulu, Makyung itu keperluan komuniti terutama di Kelantan. Hari ini, Makyung di Kuala Lumpur itu perlu ada daya penarik. Tapi apa yang patut digunakan untuk menarik penonton? Belum ada jawapan. Pelbagai usaha telah dibuat oleh pementasan Makyung dengan pelbagai strategi. Pelbagai strategi pemasaran telah digunakan tetapi kehadiran penonton masih hambar. Paling penting, strategi harus dicari dan teruskan mencuba. Tidak boleh patah semangat. Dana daripada pihak kerajaan dan swasta amat perlu diwujudkan untuk diperuntukkan bagi menerbitkan produksi Makyung secara konsisten. Setahun sekali itu pun, sudah cukup bagus. Dua kali setahun adalah lebih baik, tetapi hakikatnya setahun belum tentu sekali. Terima kasih guru-guru saya, allahyarhamah Seniman Negara Khatijah Awang, Profesor Datuk Dr. Ghulam-Sarwar Yousof dan adiguru Fatimah Abdullah atas tunjuk ajar. Terima kasih buat alma mater Akademi Seni Kebangsaan kini ASWARA kerana memberi peluang untuk saya jatuh cinta kepada teater tradisional Makyung, bukan sekali tetapi berkali-kali malahan masih terus jatuh cinta dan bercinta dengan Makyung. Semoga apa jua sebarang usaha yang ditabur untuk mendidik anak bangsa tidak dipandang enteng. Apa yang disemai itu, yakinlah ia pasti memberi hasil pada masa hadapan. Moga apa jua karya Makyung saya pada masa akan datang memberikan timbal balas kepada guru-guru saya dan buat Makyung di Malaysia. Kecintaan saya terhadap Makyung itu sudah dan tetap tersemat, tetapi kecintaan yang lain kepada Makyung, harus terus disemai.