3 minute read
AYAM BUAH KELUAK HIDANGAN AUTENTIK PERANAKAN BABA NYONYA MELAKA
Advertisement
AYAM BUAH KELUAK
HIDANGAN AUTENTIK PERANAKAN BABA NYONYA MELAKA
Ditulis oleh: Novriadi Jamalus (JKKN Melaka) Tahukah anda apa itu buah keluak? Ya, kebanyakan daripada kita jarang mendengar nama buah keluak, tapi tahukah anda buah keluak juga dipanggil buah kepayang yang sering kita dengar dan ditutur dalam masyarakat kita?
Buah keluak atau kepayang dikenali dengan nama saintifiknya Pangium Edule merupakan buah yang memabukkan jika dimakan dan tidak diproses dengan kaedah tertentu terlebih dahulu. Sebab itulah sering kita terdengar ungkapan “mabuk kepayang” dalam masyarakat Melayu kerana buah keluak atau kepayang ini boleh menyebabkan rasa mabuk dan kesan sampingan yang lain seperti perut memulas dan muntah jika makan tidak kena gayanya.
Buah keluak ini juga boleh dibuat masakan sebagai salah satu hidangan autentik dan ia amat popular dalam kalangan masyarakat peranakan Baba Nyonya Melaka lebih dikenali sebagai masakan Ayam Buah Keluak dan dihidangkan semasa sambutan perayaan Tahun Baru Cina. Menu autentik ini amat mudah disediakan tetapi penyediaan awal bahan mentah buah keluak ini mengambil proses yang lama terlebih dahulu sebelum dimasak untuk dijadikan hidangan yang lazat.
Proses menyingkirkan racun mabuk dalam buah keluak ini, buah yang mentah mestilah dicuci dengan bersih dan direndam selama 7 hari serta air rendaman perlu digantikan dengan air yang baharu setiap hari. Buah keluak kemudian direbus pada hari ketujuh selama satu jam sebelum mulut buah keluak dibuka dan sedia untuk dibuat masakan.
Menurut Baba Allan Wan Lai Yuan iaitu chef peranakan berketurunan Baba Nyonya Melaka, menu Ayam Buah Keluak amat digemari oleh Baba Nyonya kerana rasanya yang sedap dan berlemak ditambah pula proses penyediaan buah keluak ini yang rumit menjadikannya sangat eksklusif. Kini harga buah keluak agak mahal dan stok juga amat sukar didapati dan kebanyakannya perlu diimport bagi mendapatkan bahan mentah untuk dibuat masakan.
Berikut merupakan resepi dan cara memasak Ayam Buah Keluak yang boleh dicuba dan dikongsikan oleh Baba Allan Wan Lai Yuan :
AYAM BUAH KELUAK
BAHAN-BAHAN :
•1/2 ekor ayam saiz sederhana, dipotong 10 bahagian, cuci dan toskan. •12 biji buah keluak yang telah diproses (direndam 7 hari dan direbus selama 1 jam). •2 batang serai. •1 liter air asam jawa. •1 sudu serbuk pati ayam. •Garam dan gula secukup rasa. •Air jika perlu.
BAHAN-BAHAN KISAR :
•30 tangkai cili kering, potong buang biji dan rendam dalam air panas. •12 biji bawang merah. •4 ulas bawang putih. •1 inci belacan. •3/4 inci kunyit hidup. •5 batang serai, hiris halus. •1/2 inci lengkuas.
Cara memasak
CARA MEMASAK 1. Panaskan 1 senduk minyak masak dalam kuali. 2. Masukkan 2 batang serai. 3. Tumis bahan yang telah dikisar sehingga pecah minyak dan berbau wangi. 4. Masukkan buah keluak dalam tumisan dan masak sebati sehingga isi keluak lembut empuk. 5. Masukkan ayam yang telah dipotong dan gaul sehingga ayam separuh masak. 6. Masukkan air asam jawa. 7. Masukkan air sehingga menutupi ayam. 8. Kuah hampir pekat masukkan garam, gula dan serbuk pati ayam ikut citarasa. 9.Gaul sehingga ayam empuk masak dan sedia untuk dihidang.