8 minute read

DUNIA KECIL FOO: PENGGIAT MINIATUR DAN DIORAMA MALAYSIA

Next Article
KAUM ASLI SELETAR

KAUM ASLI SELETAR

DUNIA KECIL FOO: PENGGIAT MINIATUR PENGGIAT MINIATUR DAN DIORAMA malaysia DAN DIORAMA malaysia

Ditulis oleh: Haryanti Yahaya

Advertisement

Sejauh mana kita bersungguh untuk merealisasikan impian semasa kecil? Setiap daripada kita mungkin ada sekurang-kurangnya satu kecenderungan kepada sesuatu minat atau hobi pada usia semuda itu. Namun, seiring masa dan menjadi dewasa, kehidupan telah membataskan dan menuntut hampir semua porsi masa yang kita ada. Sehinggakan terpaksa melepas begitu banyak minat dan keinginan yang pernah kita impikan.

Begitulah yang dilalui oleh saudara Foo Loke Kee, 47. Beliau memulakan pendidikan awal di sekolah kebangsaan. Oleh itu tiada masalah untuk beliau bergaul dalam kalangan berbilang bangsa dan sudah tentu dapat berasimilasi dengan adat dan budaya yang berbeza di negara ini. Melihatkan keunikan setiap bangsa ini menyebabkan Foo ingin mempelajari tentang pelbagai aspek budaya asal bangsanya sendiri, bangsa Cina. Sejak pada usia kanak-kanak, Foo sudah kagum dengan teknik penghasilan patung miniatur dan diorama yang terkenal dari tanah besar China. Pada setiap pasar pagi minggu, Foo akan menuju ke sebuah gerai yang menghasilkan anak patung kecil diperbuat daripada tepung gandum. Leka benar dia di situ menonton ia diuli dan dibentuk menyerupai model subjek sebenar. Adakala dibentukkan mengikut skala tertentu. Foo berasa amat kagum dengan hasilnya. Namun, kekangan kewangan pada masa itu tidak membolehkan beliau memilikinya.

Seterusnya, Foo penuhi masa remaja untuk belajar dengan tekun di sekolah. Beliau kemudiannya memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan. Beliau sudah pun membina nama dalam bidang ini selama lebih 20 tahun dan mengusahakan sebuah firma pengauditannya sendiri bersama adiknya.

Tanpa disangka-sangka, bermula pada tahun 2010 Foo berpeluang kembali kepada bidang yang dicintainya semasa zaman kanak-kanak dahulu. Beliau telah menghadiri satu pameran berkenaan hasil patung miniatur di Yanjiao, China. Pada masa itulah nyala rasa beliau terhadap patung-patung kecil ini mula terbakar kembali. Tidak lengah lagi, Foo mengambil keputusan berani membina sebuah kilang khusus untuk pembikinan patung miniatur dan diorama di negara itu. Kilang ini asalnya ditumpukan untuk mengeluarkan patung-patung miniatur bagi projek diorama peribadi yang ingin dilestarikannya. Selama tiga tahun di sana, Foo mengumpulkan lebih sepuluh orang artisan tempatan China yang mahir dalam pembuatan miniatur. Melalui mereka inilah beliau dapat mendalami teknik dan proses membuat patung miniatur serta diorama yang sebenar. Hasil pertama dari kilang ini adalah set diorama kehidupan harian rakyat China semasa zaman kegemilangan Dinasti Song sekitar tahun 1200. Menurut Foo, beliau mendapat gambaran bagi pembuatan diorama itu melalui maklumat yang ditemui pada rekod skrol lama dinasti berkenaan. Skrol panjang yang lengkap itu dipenuhi dengan lukisan dan cerita untuk setiap situasi, lokasi, pakaian, makanan dan sebagainya. Selepas dua tahun, Foo akhirnya berjaya menyudahkan kesemua babak diorama seperti yang digambarkan dalam skrol tersebut.

Bagi setahun setengah selepas itu, Foo menghabiskan masanya mempelajari teknik kaligrafi dan lukisan China di Taiwan. Selepas berjaya menghabiskan pelajarannya di sana, Foo kembali ke Malaysia pada 2015. Tiada dalam fikiran beliau pada ketika itu melainkan mahu membawa dan menyebarkan dapatan kemahiran dan ilmu tentang budaya China kepada rakyat di negaranya sendiri. Foo sanggup mengeluarkan perbelanjaan daripada simpanannya yang bukan sedikit selama bertahun-tahun demi tujuan ini.

Semasa tempoh lima tahun berada di sana, Foo sering ditanyakan tentang budaya orang Malaysia. Mereka juga mahu belajar dan mengenali persamaan serta perbezaan kita berbanding negara China. Foo memandang hal ini sebagai satu peluang untuk beliau mengasimilasikan teknik penghasilan model miniatur diorama mereka ini tetapi berfokus kepada budaya tempatan. Sekembalinya Foo ke tanah air, beliau berkesempatan bertemu dengan Dato’ Dr. Najib Dawa yang mencadangkan hal sama, supaya beliau mula menghasilkan model miniatur diorama berciri Malaysiana. Foo mengambil cabaran ini dan menggerakkan empat aspek sekaligus dengan penggabungan diorama, wau, lukisan dan binaan istana lama. Pada pendapat Foo, semua elemen ini penting diketengahkan serentak kerana baginya dengan cara ini budaya kita dapat dipersembahkan dengan lebih lengkap.

Foo menubuhkan WCO Art & Culture Gallery pada Jun 2015 sebagai pusat atau galeri seni dan budaya untuk pameran semua hasil kesenian peribadi beliau. Bangunan tiga tingkat dengan satu tingkat bawah tanah

tambahan ini terletak di Cheras, Batu 9, Hulu Langat, Selangor. Di tempat inilah, Foo menjalankan kursus-kursus bagi melatih individu tempatan yang berbakat untuk dijadikan artisan yang boleh bekerjasama dengannya. Foo mengenal pasti beberapa individu yang berkebolehan. Seorang wanita bernama Helen Chua menyerlahkan bakat dan ketelitian yang cukup tajam dalam menghasilkan miniatur. Foo tidak lengah lagi terus mengambilnya bekerja dengan beliau. Semenjak itu, boleh dikatakan hampir kesemua miniatur yang dipamerkan di galeri tersebut adalah sentuhan magis Helen. Kini, wanita yang berasal dari Kelantan itu berperanan utama sebagai Pengarah Seni bagi WCO. Salah satu projek yang ada dipamerkan hasil air tangan Helen adalah siri diorama tarian setiap negeri di Malaysia. Pelbagai jenis tarian diperkenalkan dengan ketelitian penghasilan miniatur dapat dipamerkan dalam kotak kaca pada sebaik saja melangkah masuk ke galeri ini. Antaranya adalah tarian Makyung, Joget Gamelan dan Asyik.

Pada Disember tahun sama, Huaxia (Malaysia) Art & Cultural Development Association dibentuk bagi mengetengahkan kesenian ini untuk jaringan tempatan. Dua tahun kemudian, pada 2017, WCO (World Culture Organisation) ditubuhkan. Melalui pembentukan organisasi baharu ini, Foo berharap dapat membawa lebih banyak pendedahan terhadap kesenian miniatur berunsur budaya Malaysia ke mata dunia. Foo berbangga dapat menemui ramai individu berbakat besar dalam menghasilkan kesenian yang diusahakannya. Beliau menjelajah ke seluruh negara dan menelusuri media sosial bagi mengenal pasti kepakaran artisan kayuan untuk menghasilkan sendiri model rumah, istana lama dan perahu kayu bagi melengkapkan pelan seninya. Mohd Zain Abd Aziz, adalah seorang pesara tukang rumah yang ketika itu baru berjinak-jinak menaikkan gambar hasil hobi pembikinan replika dan model bangunan berunsurkan kayu ke media sosialnya, telah menarik perhatian Foo. Beliau melamar lelaki berbakat itu untuk bekerjasama dengan WCO secara eksklusif sepenuh masa. Mohd Zain telah dipertanggungjawabkan menyedia binaan kayuan sejak 2018. Selain bertindak membuat binaan untuk senario diorama, Mohd Zain juga membina replika istana lama bagi setiap negeri untuk dipamerkan di galeri ini. Uniknya, istana-istana ini menggunakan konsep tanggam yang menyerupai teknik binaan asal.

Bagi menyiapkan sesuatu projek, Foo akan memberikan panduan asas tentang situasi diorama kehendaknya. Selepas berbincang dan membuat kajian bersama-sama mengenai bayangan diorama yang ingin dibuat dengan artisan yang terlibat, Foo akan memberi kebebasan pula untuk mereka berkarya dalam tempoh yang diberi. Biasanya projek yang dikerjakan akan mengambil masa yang panjang sehingga

satu setengah ke dua tahun lamanya. Antara projek yang berjaya disiapkan adalah diorama Tanah Melayu semasa tahun-tahun sebelum kemerdekaan. Apabila dipamerkan, ia bagaikan satu susur sejarah yang membawa kita melihat kehidupan kepelbagaian etnik dan kaum yang ada. Setiap satunya memaparkan keunikan kaum itu sendiri dengan gaya hidup dan rupa paras yang berbeza. Jika diamati dengan teliti, satu sensasi emosi dalam hati bagi yang melihat berjaya disentuh. Sesungguhnya kita beruntung dikurniakan perbezaan yang selama ini sudah pun kita dapat samakan.

Jumlah keseluruhan patung-patung miniatur yang ada di dalam galeri ini adalah kira-kira 2000 unit. Satu diorama mempersembahkan suasana di Kota Melaka pada zaman kegemilangannya mempunyai sekitar lebih 600 miniatur kesemuanya. Diorama sepanjang lebih sepuluh kaki panjang ini lengkap dengan binaan rumah dan sistem pengangkutan pada masa itu berupa haiwan seperti gajah serta lain-lain. Foo turut merancang miniatur siri semua etnik yang terdapat di Malaysia. Sejumlah 28 etnik berjaya disiapkan dan menunggu giliran untuk pameran.

Selain daripada diorama, galeri WCO juga mempamerkan lukisan dan turut mengabungkan lukisan dalam diorama. Foo bercita-cita untuk mempamerkan lukisan pemandangan dalam diorama mengikut bilangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa yang ada di Malaysia iaitu 222 buah. Terkini, sudah lebih 150 buah lukisan berjaya disiapkan. Lukisan lain yang mempersembahkan keunikan busana dan gerak tari setiap negeri juga ada dipamerkan. Seorang artis tempatan bernama Foong Yeng Yeng, menumpukan penyediaan lukisan bagi semua projek ini. Replika sampan dan kapal disediakan oleh seorang artisan kayuan yang berpengalaman bernama Azhar Kamaruddin. Beliau yang lebih selesa disapa sebagai Captain Jack ini adalah seorang pembina kapal dan sampan kayu berskala sebenar. Tidak hairanlah hasil replika yang dibinanya nampak begitu hidup dan teliti bagaikan binaan yang asal.

Foo turut mahu menjadikan wau sebagai elemen seni dalam galeri beliau. Kerjasama dengan beberapa artisan wau dibawa dari utara tanah air iaitu Ahmad Shukri Baharom, Muhammad Hakimie dan Muhamad Rusli telah membentuk satu pasukan yang ideal serta amat mahir tentang teknik penghasilan dan penyediaan wau yang berbeza-beza mengikut setiap negeri. Hasil tukangan yang berseni dan halus sifatnya serta mengikut kepada teknik sebenar ini menjadikan wau yang terhasil sangat indah buatannya. Kesemua wau yang sudah tersedia dipamerkan di tingkat bawah tanah di bangunan galeri.

Usaha Foo dilihat sangat luar biasa memandangkan beliau melakukannya demi nyala rasa dan cinta terhadap budaya yang tinggi. Beliau belum pernah mendapat sebarang dana yang berkaitan dengan aktiviti keseniannya ini. Namun begitu ia tidak menghalang beliau melangsungkan aktiviti seni ini. Beliau dan WCO miliknya pernah dianugerahkan beberapa penghormatan untuk usaha ini. Misalnya, pengiktirafan anugerah The Malaysia Book of Record sebagai “First Cross-cultural Handcrafted Diorama” (Diorama Silang Budaya Pertama) dan anugerah rekaan terbaik bagi kategori Cultural Gift Set & Souvenirs khusus buat Model Bangunan Sultan Abdul Samad.

Foo percaya setiap satu usaha seni yang dilakukannya dan kejayaan yang diraih selama ini bukanlah miliknya seorang tetapi adalah hasil gabungan air tangan ramai

dalam kalangan bakat tempatan dalam pasukannya. Foo tidak jemu mencari individu-individu ini yang dianggapnya permata yang terlindung di seluruh pelusuk tanah air untuk diketengahkan ke persada seni negara. Beliau ingin terus menceburi dan menyelongkar kepelbagaian seni yang ada di Malaysia. Lukisan batik sejak akhir-akhir ini telah berjaya menarik perhatian Foo dan sedang merangka satu projek baharu berkaitan dengan bidang itu. Harapan Foo agar usaha yang beliau lakukan sedikit demi sedikit ini dapat menjadikan pembuatan miniatur diorama sebagai salah satu elemen kesenian yang sinonim dengan budaya Malaysia pada suatu hari nanti. Beliau juga bercita-cita pada sekurang-kurangnya beberapa tahun ke hadapan ini untuk mengembangkan lagi WCO Art & Cultural Gallery sebagai satu perniagaan yang mampu berada pada dagangan papan utama, mewakili institusi berunsur kebudayaan negara. Beliau juga merancang pada masa terdekat ini untuk membina sebuah lokasi pelancongan berbentuk binaan replika dan diorama ala Malaysiana yang terbesar di sini. Foo amat mementingkan maklumat yang sah pada setiap budaya yang ingin dipamerkan. Oleh itu, bantuan konsultasi daripada jabatan atau agensi kerajaan terutamanya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara sudah tentu dapat menaikkan lagi prestij dan memastikan ketepatan semua maklumat ini. Sementara impian itu diusahakan, Foo akan meneruskan minat dan keinginannya berkarya menjadikan diorama sebahagian unsur kesenian yang dapat mempersembahkan keunikan budaya rakyat serta membanggakan negara Malaysia.

This article is from: