6 minute read

KAUM ASLI SELETAR

Kaum Asli Seletar Kaum Asli Seletar

Ditulis oleh: Siti Awan Rebu @ Pardi (JKKN Johor)

Advertisement

ETNIK Orang Seletar di Johor adalah satu daripada lapan belas kelompok etnik Orang Asli yang terdapat di Semenanjung Malaysia. Kelompok Orang Seletar ini juga dikategorikan dalam kumpulan suku kaum Melayu Asli atau dikenali sebagai Melayu Proto bersama-sama dengan kelompok etnik Jakun, Semelai, Temuan, Orang Kuala dan Kanaq. Perkataan Seletar dikatakan berasal daripada perkataan Melayu yang bermaksud Orang Selat. Perkataan selat bukan sahaja bermaksud badan air yang memisahkan dua tanah besar, tetapi juga bermakna selatan. Mengikut Ariffin Norpiah dalam kajiannya pada 1979 menyifatkan Orang Selat yang dimaksudkan itu merujuk kepada penduduk awal Orang Singapura dan Orang Selat Batam. Nama asal masyarakat ini diambil sempena nama sebuah sungai kecil di Pulau Singapura iaitu Sungai Seletar. Orang Seletar tersebut telah tinggal di sini dan berpindah randah di sekitar kawasan teluk yang berhampiran dengan Selat Tebrau. Terdapat lapan buah kampung di sekitar daerah Johor Bahru yang didiami oleh komuniti Orang Seletar iaitu Kampung Simpang Arang di Gelang Patah yang merupakan penempatan terbesar, Kampung Bakar Batu, Kampung Sungai Temun, Kampung Teluk Jawa, Kampung Pasir Putih di Pasir Gudang, Kampung Kuala Masai, Kampung Teluk Kabung dan Kampung Pasir Salam. Kampung Simpang Arang merupakan perkampungan orang Seletar yang paling besar. Lebih daripada 40% daripada keseluruhan penduduk orang Seletar yang terdapat di daerah Johor Bahru didapati tinggal di kampung ini. Baki selebihnya terdapat di kampung-kampung lain. Perpecahan penempatan ini berlaku kerana pada satu ketika dahulu dikatakan berlaku satu banjir besar yang menenggelamkan Gunung Pulai dan menghanyutkan masyarakat asli Seletar ini ke serata tempat. Kini, sebilangan besar mereka masih meneruskan amalan kepercayaan animisme iaitu amalan kepercayaan tradisi, manakala sebahagian lain telah memilih untuk menganut agama Islam, Kristian dan juga Buddha. Orang Seletar juga dikenali sebagai “Sea Gypsies” oleh pengkaji barat kerana cara hidup mereka yang mengembara secara berkumpulan di persisiran pantai dan laut satu ketika dahulu. Dinyatakan juga mereka ini tidak mempunyai sebarang senjata yang digunakan untuk mempertahankan diri atau pun untuk menyerang. Senjata bagi tujuan mempertahankan diri tidak menjadi satu keperluan kerana dikatakan Orang Seletar ini adalah pemalu dan lebih suka mengelak daripada berbalah dengan masyarakat lain. Oleh itu peralatan yang ada hanyalah alatan yang diperlukan untuk mencari makanan.

Dahulu mereka tinggal di dalam sampan atau perahu yang dikenali sebagai “Perahu Kajang” atau “Pauk Yao” dalam istilah Seletar dengan ukuran 20 kaki panjang dan 5 atau 6 kaki lebar. Sampan-sampan yang digunakan oleh Orang Seletar ini berfungsi sebagai rumah, tempat mereka mengendalikan seluruh aktiviti kehidupan harian. Anak lelaki biasanya akan diberi tempat tidur di bahagian tempat pendayung. Terdapat dua cara untuk membina perahu kajang ini iaitu dengan menggunakan papan atau kayu balak. Membuat sebuah perahu menggunakan papan mengambil masa lebih kurang satu minggu sahaja. Sementara menggunakan kayu balak mengambil masa sehingga 3 bulan. Kayu itu akan dibelah dua dan dikeruk dengan menggunakan alat pada bahagian tengah kayu berkenaan. Pada salah satu hujung sampan tersebut ialah dapur tempat memasak. Di tengah-tengah sampan ini menjadi tempat mereka menyimpan perkakasan yang dimiliki. Manakala di hujung yang satu lagi biasanya dilengkapkan dengan bumbung kajang yang panjangnya sekitar 6 kaki, menjadi tempat mereka tidur serta tempat anjing atau kucing yang mereka pelihara. Walaupun pada waktu dahulu mereka menjalani kehidupan di atas air, namun mereka masih lagi memelihara haiwan peliharaan seperti kucing, anjing dan ayam. Anjing dijadikan sebagai pengawal di dalam kawasan penempatan dan untuk berburu. Sementara ayam digunakan sebagai penanda masa atau jam untuk mereka bangun pagi. Atap perahu kajang diperbuat daripada daun nipah dan boleh berfungsi juga sebagai layar. Atap berkenaan akan dicabut dan dipasang pada tiang layar sekiranya penghuni perahu tersebut mahu bergerak ke suatu tempat. Pada bahagian atap perahu kajang juga dijadikan tempat untuk menyimpan senjata. Senjata ini tidak boleh dilangkah. Antara senjata masyarakat asli Seletar ialah pisau tat, cemerling, lembing 2 mata, pancak 1 mata, wit dan tombak. Pada setiap perahu akan diletakkan tempayan yang digunakan untuk menyimpan beras dan air bersih. Bekalan air bersih diperoleh daripada daratan melalui mata air yang digali. Sekiranya seseorang itu berjaya menemui mata air, dia akan memaklumkan kepada yang lain berkenaan kedudukan mata air tersebut dan air itu akan digunakan bersama-sama. Mereka kerap berpindah dari satu tempat ke satu tempat lain mencari sumber laut untuk menyara kehidupan. Perahu Kajang ini juga berfungsi sebagai rumah, tempat mereka mengendalikan aktiviti kehidupan seharian. Antara aktiviti laut yang mereka jalankan ialah menangkap ikan, ketam, udang dan pelbagai jenis kepah. Walaupun mereka bergantung

pada hasil laut untuk menyara diri, namun mereka juga sering masuk ke hutan bakau untuk memburu haiwan serta mencari buah-buahan serta ubi kayu untuk dijadikan makanan. Sehingga tahun 1950-an masyarakat Seletar masih lagi tinggal di dalam perahu di sekitar kuala sungai dan pesisir pantai selat Johor. Pada ketika itu kerajaan British sangat bimbang terhadap perkembangan pengaruh komunis, lantas mereka mengambil langkah untuk menyekat pengaruh komunis tersebut dan satu daripada caranya ialah dengan mewujudkan penempatan semula orang Asli termasuk Orang Seletar. Buat pertama kalinya Orang Seletar yang biasanya tinggal di dalam perahu telah menetap dalam kumpulan yang besar di Kuala Redan iaitu kawasan yang berhampiran dengan Sungai Pulai di Johor. Pada ketika itu kebanyakan mereka hanya membina pondok-pondok sementara sahaja kerana tidak berminat untuk menetap lama. Lama-kelamaan kawasan tersebut menjadi sesak kerana pertambahan penduduk dan ini menyebabkan sumber-sumber makanan khususnya sumber laut telah menjadi berkurangan. Ini telah menyebabkan beberapa kumpulan kaum Seletar ini berpindah untuk mencari penempatan baharu seperti di sekitar Kota Tinggi, Johor Bahru, Masai dan Gelang Patah. Sesuai dikenali sebagai masyarakat asli laut, masyarakat asli Seletar memang mahir dalam berenang dan menyelam. Kanak-kanak seawal usia 6 atau 7 tahun sudah digalakkan serta diajar berenang. Keseluruhan masyarakat asli Seletar boleh berenang. Selain itu mereka juga mahir dalam menangkap buaya dan biasanya buaya yang telah ditangkap itu akan dijual. Menjadikan kawasan paya bakau sebagai satu daripada tempat mencari rezeki, kanak-kanak masyarakat asli Seletar pada ketika dahulu telah di ajar untuk mencari hasil di kawasan bakau seperti ketam, ibau, siput, kerang dan sebagainya. Pada waktu dahulu mereka boleh mencari ibau yang berada di dalam lumpur sedalam 3 atau 4 kaki hanya dengan menyelokkan tangan ke dalam selut. Masyarakat asli Seletar juga dikenali sebagai masyarakat yang sangat sederhana dari segi pelaksanaan adat dalam kehidupan mereka. Ketam bangkang atau ketam bakau amat sinonim dengan kaum ini sehinggakan terdapat lagu dan tarian yang amat popular dan dikenali dengan tajuk “Ketam Bangkang”. Ketam ini hanya terdapat di kawasan paya bakau dengan saiz yang lebih besar daripada ketam biasa. Berat seekor ketam ini boleh mencecah sehingga 6 kilogram seekor pada satu ketika dahulu. Tetapi kini ketam tersebut sudah pupus kerana kerja-kerja pembangunan di kawasan paya bakau yang dikatakan telah mengganggu ekosistem di kawasan berkenaan. Kesihatan juga boleh dikatakan bergantung kepada cara pemakanan sesuatu masyarakat itu. Kaum asli Seletar dahulu memakan makanan yang dipanggang atau direbus dengan tidak menggunakan bahan campuran. Bahan lain yang digunakan untuk masakan ialah cili api, dengan itu mereka jarang mendapat penyakit. Jika mendapat sesuatu penyakit, mereka akan membuat ubat sendiri dengan menggunakan tumbuhan-tumbuhan yang terdapat di kawasan paya bakau.

This article is from: