2 minute read

Cerita Teladan: Nasib Malang

Cerita Teladan

Oleh: Miss Pakma

Nasib Malang Sang Arnab…

Jauh di sebuah hutan belantara, terdapat sepasang sahabat yang amat akrab. Mereka ialah seekor arnab dan seekor tupai. Keakraban kedua-dua haiwan ini sudah diketahui oleh semua penghuni rimba yang lain di situ. Ramai yang cemburu melihat persahabatan yang terbina antara mereka termasuklah Si Belang, Harimau.

Setiap hari mereka menghabiskan masa bersamasama. Pada suatu hari, tupai berkata kepada arnab, “Marilah kita membuat sarang. Sekarang ini sudah tiba musim hujan. Apabila hujan, kita ada tempat untuk tinggal dan berteduh.”

“Ya, betul kata awak. Tapi biarlah saya berehat dulu, saya mahu tidur,” jawab arnab tidak acuh.

Si Belang telah mendengar perbualan mereka lalu mempunyai satu idea. Ia mahu membuat onar dan membuat dua sahabat ini bergaduh.

“Buat apa kamu bersusah payah membuat sarang. Kamu boleh melompat tinggi, pasti ada dahan yang boleh dipanjat dan boleh berteduh.

Baik masa ini kamu duduk berehat dan tidur sahaja,” hasut Si Belang.

“Betul katamu wahai Si Belang, aku setuju dan badan aku pun letih, nanti-nanti sahajalah aku bantu tupai membuat sarang,” ujar arnab.

Si Belang hanya tersenyum sinis mendengar jawapan daripada arnab. Sangkaannya tepat sekali, arnab telah termakan pada hasutannya. Si Belang ternyata telah menyimpan dendam yang amat lama buat arnab dan tupai.

Pada petang itu, hujan turun dengan lebatnya. Tupai dan arnab berteduh di bawah pokok. Mereka basah dan kesejukan. ”Jika kita ada sarang, tentu kita tak akan basah begini,” kata tupai.

“Ya, betul kata awak,” jawab arnab.

“Pagi esok kita akan buat sarang,” tambah arnab lagi.

Keesokan pagi, cuaca sungguh baik sekali. Tanpa membuang masa, tupai mengajak arnab membuat sarang.

“Cuaca redup begini eloklah kita membuat kerja. Di sebalik semak ini ada kayu-kayu yang boleh kita gunakan dan lebih baik kita pergi cari kayu untuk membuat sarang,” kata tupai.

“Ohh, di belakang semak ini sahaja. Dekat sahaja tu. Saya rasa sebentar lagilah kita mencari kayu, bukan sekarang,” jawab arnab dengan nada malasnya.

“Kita masih ada banyak masa lagi. Marilah kita pergi cari makanan. Saya sungguh lapar!” selar arnab. Tupai menggeleng-gelengkan kepala melihat sikap sahabatnya itu.

Tupai sedar, walaupun bersahabat baik dengan

arnab, namun satu sikap sahabatnya yang paling tidak digemari adalah sifat malas arnab. Tupai sering menasihati sahabatnya agar meninggalkan sikap buruk itu, namun sering kali diabaikan oleh arnab.

Pada petang itu, hujan turun lagi. Kali ini hujan turun dengan lebatnya. Tupai yang telah membina sarang sempat berteduh di dalamnya. Tupai berasa lega kerana dia tidak basah kuyup lagi.

Namun, nasib yang berlainan menimpa arnab. Akibat kelekaan arnab yang sibuk dengan makan dan tidur, arnab tidak sempat membuat sarang. Lalu, basah kuyup arnab kerana tiada tempat untuk berteduh.

“Lihat kamu begitu kesejukan dan basah kuyup. Alangkah baiknya jika kamu ada sarang,” kata tupai.

“Saya menyesal tidak mendengar nasihatmu. Saya tak mahu terus basah seperti ini sewaktu hujan,” ujar arnab.

“Jangan malas-malas lagi arnab, kelak kamu yang ditimba musibah. Saya menasihati kamu kerana ingin kamu selamat,” terang tupai.

“Maafkan aku wahai tupai, aku leka dan tidak mendengar nasihat kamu. Aku berjanji tidak mahu malas-malas lagi,” kesal si arnab.

This article is from: