VARIASI tanaman
Okt 2020
Pertanian yang dijalankan sama ada secara konvensional atau aplikasi teknologi moden dengan menggunakan bahan komersil atau bahan kitar semula seperti botol-botol plastik, tin kosong, kayu pallet terpakai, tong plastik, tayar dan sebagainya bagi menghasilkan sayur-sayuran, buah-buahan, herba, ternakan dan sebagainya bergantung kepada kesesuaian. Dengan keadaan penduduk yang mencecah berbilion-billion dan semakin hari semakin meningkat yang memerlukan makanan dan air serta udara bersih menjadikan kawasan pertanian telah menjadi semakin berkurang akibat daripada proses perbandaran terutamanya dipinggir bandar untuk mendirikan kawasan rumah kediaman, kawasan perumahan, kawasan industri, jalan raya dan sebagainya. Ekoran daripada kepesatan pembangunan ini, pertanian bandar mula diperkenalkan untuk memenuhi keperluan makanan harian. Dengan kata yang mudah pertanian bandar ini adalah menanam sayuran atau buah-buahan sendiri dengan mengunakan bahan terpakai di kawasan rumah. ini memudahkan pengguna mendapatkan keperluan bahan mentah sayuran terus dari kebun, lantas dapat meningkatkan sekuriti dan keselamatan makanan dinegara kita sekiranya semua melakukan aktiviti berkebun dirumah. Terdapat pelbagai kebaikan melaksanakan pertanian bandar ini iaitu kesan penghijauan dimana ia mengurangkan kesan hakisan berbahaya, menambahkan kawasan teduhan dan mengawal suhu dikawasan persekitaran bandar agar lebih nyaman dan membantu mengindahkan permandangan di sekitar bandar. Selain itu, ia memberikan peluang kepada manusia untuk mendekatkan diri dengan alam semula jadi dan menenangkan fikiran penduduk di bandar yang sentiasa sibuk. Kebaikan lain ialah, pengguna dapat menjimatkan perbelanjaan dapur, mendapat sumber makanan organik dan dijamin pengendalian yang baik serta memberi kepuasan dengan hasil tanaman sendiri. Sekiranya terdapat lebihan tanaman, boleh dijual untuk mendapat pendapatan sampingan. Pada masa yang sama juga dengan melakukan aktiviti pertanian bandar dapat memupuk kesedaran dan minat terhadap kepentingan pertanian sebagai penyumbang terus kepada kesejahteraan serta keceriaan persekitaran bandar.
29