2NEW - Isi Rasuah (1-144)-15Mac2022.qxp_Layout 1 3/18/22 3:45 PM Page 132
199. Mu’tazilah kemudiannya, mendapat tempat di sisi pemerintah dan diangkat sebagai mazhab rasmi negara dalam aqidah pada era Abasiah di bawah pemerintahan Khalifah al-Makmun. Tokoh-tokoh Mu’tazilah diangkat menjadi rujukan dalam agama dan diberikan jawatan penting yang secara tidak langsung menjadikan ajaran ini semakin berkembang, khususnya dalam perbahasan sifat, keupayaan akal dan al-Quran adalah makhluk. ASAS KESESATAN AJARAN AL-MU’TAZILAH 200. Kerangka dasar ajaran Mu’tazilah pada awalnya terbina di atas tiga perkara manzilah bain al-manzilatain, fahaman Qadariyah dan ALLAH SWT tidak mempunyai sifat. Pada mereka ALLAH SWT menganugerahkan akal kepada manusia agar digunakan untuk membezakan perkara yang baik dan yang buruk, manusia wajib mengerjakan perbuatan yang baik dan menjauhi perbuatan yang buruk, ALLAH SWT Maha Mengetahui dengan pengetahuanNya dan pengetahuanNya itu adalah ZatNya, bukan SifatNya, ALLAH SWT hanya menciptakan benda-benda material (Jauhar). Adapun al-‘Arad (sifat yang menumpang pada sesuatu yang lain seperti jauhar) itu adalah hasil dari hukum alam. Misalnya, jika sebuah batu dilemparkan ke dalam air, maka gelombang yang dihasilkan oleh lemparan batu itu adalah terhasil dari tindak balas batu tersebut, bukan hasil ciptaan Tuhan. 201. Seorang yang melakukan dosa besar kemudian bertaubat, lalu mengulangi lagi dosa besar akan mendapat seksaan berganda, meskipun ia telah bertaubat atas dosa besarnya yang terdahulu, meyakini bahawa al-Quran itu Qadim hukumnya kafir, kewujudan syurga dan neraka hanyalah ilusi kerana belum tiba masanya manusia memasuki syurga dan neraka dan kiamat masih belum berlaku. Manusia menurut Mu’tazilah melakukan dan menciptakan perbuatannya sendiri, terlepas dari kehendak dan kekuasaan Tuhan. Konsep keadilan ALLAH SWT menurut mereka, manusia adalah merdeka dalam segala perbuatan dan bebas bertindak. Atas sebab itu mereka diazab atas perbuatan dan tindakan mereka.
132