3NEW - Isi Rasuah (145-281)-15Mac2022.qxp_Layout 1 3/18/22 5:10 PM Page 145
MUSIBAH BANJIR : DIUNDANG, DIMINTA ATAU TAKDIR Oleh Datuk Mohamad Din bin Yusoh
Manusia memang lemah, tidak dapat menelah dengan tepat perkara yang akan berlaku. Bagaimanapun dengan ilmu yang sedikit kurniaan ALLAH SWT manusia boleh menjangka kejadian banjir akan berlaku. Kejadian banjir yang berlaku di beberapa negeri baru-baru ini amat luar biasa dan sememangnya luar biasa. Dari segi keadaan banjir melanda, ianya datang agak mendadak dan dalam bentuk ombak, serta arus yang deras dari Laut China Selatan, hingga bukan sahaja mampu menenggelamkan kawasan dengan cepat, tetapi juga mengorbankan nyawa dan merosakkan harta benda seperti bangunan-bangunan kediaman, sekolah, pejabat kerajaan dan swasta, premis perniagaan, prasarana sedia ada seperti jambatan, jalan raya, ladang, tanaman dan lain-lain lagi. Jika hendak ditaksir kemusnahan, kerosakan, kerugian dan kos mengganti, memperbaiki dan memulihkan semula kerosakan meliputi harta awam dan swasta mungkin ianya mencecah angka dua bilion ringgit atau lebih. Terdapat beberapa pandangan bahawa kejadian seperti ini di sisi ALLAH SWT adalah perkara biasa sahaja, yang boleh berlaku dengan mudah, di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja. Bahkan kejadian-kejadian yang jauh lebih besar dan lebih dahsyat pernah berlaku dalam sejarah manusia. Ianya banyak dirakamkan di dalam al-Quran termasuk sebab-sebabnya untuk menjadi iktibar kepada manusia. Justeru sama ada kita menyedari atau tidak, kejadian banjir luar biasa ini sudah tentu mempunyai mesejnya tersendiri yang berada di dalam pengetahuan ALLAH SWT. Kalau hendak dikirakan dari segi ilmu pengetahuan dan peralatan canggih yang kita ada dan kuasai telah jauh maju ke hadapan, tetapi ternyata kita masih belum mampu menelah dengan tepat, sehingga kejadian banjir kali ini memakan korban yang bukan sedikit berbanding sebelumnya, kerana persiapan kita jauh daripada mencukupi mengikut keperluan sepatutnya. Apabila dihalusi, ada beberapa sebab yang boleh dikaitkan dengan kejadian banjir tersebut iaitu: 1.
Sebab yang boleh difahami secara mudah melalui fikiran 145