3NEW - Isi Rasuah (145-281)-15Mac2022.qxp_Layout 1 3/18/22 5:10 PM Page 194
selama enam bulan di Malaysia, termasuk perjalanan pergi-balik dan enam bulan lagi di Mekah dan Madinah bersama-sama jemaah. Banyak kenangan pahit manis dialami. Antaranya, berbasikal dari kampung ke kampung untuk bertemu dan memberi penerangan seterusnya mendaftar jemaah-jemaah yang berhasrat menunaikan haji. Suatu peristiwa yang tidak dapat dilupakan oleh Sheikh Ahmad ialah ketika berada di Batu 8 Tanjung Karang, Selangor, pada tahun 1950, tahun kedua mengendalikan jemaah haji dari Malaysia. Sheikh Ahmad terpaksa memikul basikalnya selepas hujan lebat, kerana basikalnya tidak dapat ditunggangi akibat jalan yang berlumpur dengan tanah liat menyebabkan roda basikalnya tidak dapat berpusing. Perjalanan dari Mekah ke Madinah mengambil masa antara satu hingga dua hari, menggunakan bas lama. Pemandu bas tidak peka dengan kesusahan jemaah. Ada kalanya melalui jalan potong yang tidak bertar, yang menyebabkan bas tidak dapat bergerak kerana tayarnya terbenam di pasir. Ini telah memaksa jemaah turun daripada bas di tengah-tengah panas terik untuk menolak bas. Selain itu bas tiba-tiba dimatikan enjinnya dan berhenti daripada meneruskan perjalanan. Ini memaksa jemaah mengeluarkan duit sebagai baksis, barulah bas akan bergerak semula. KEADAAN RUMAH / TEMPAT TINGGAL JEMAAH Rumah terdiri daripada rumah-rumah batu. Ada kalanya lantainya dibuat daripada pelepah tamar. Tidak ada kemudahan air paip. Jemaah haji lelaki dan perempuan akan tinggal dalam satu bilik yang mana setiap pasangan hanya menggunakan sekatan beg-beg pakaian masing-masing. Walau bagaimanapun jemaah tetap reda dengan keadaan tersebut. Tidak ada jemaah yang komplen atau mengadu rasa tidak puas hati. Inilah kekuatan jemaah ketika itu, kerana telah membuat persiapan spiritual yang lengkap sehingga segala-segalanya difokus untuk beribadat kepada ALLAH SWT. Falsafah pergi haji sebagai “pergi mati” dihayati sehingga terkesan dalam dirinya. Mati dalam erti kata mematikan sifat-sifat mazmumahnya. Sikapnya sentiasa positif. Kesusahan yang dilalui adalah ujian yang diyakini ada ganjarannya di sisi ALLAH SWT. Inilah resipi yang menyebabkan sekembali daripada mengerjakan ibadat haji berlaku perubahan dari segi sahsiah dan tingkah laku, yang buruk ditinggalkan di Tanah Suci dan yang baik dikutip dan dibawa balik ke tanah air.
194