3NEW - Isi Rasuah (145-281)-15Mac2022.qxp_Layout 1 3/18/22 5:10 PM Page 243
ADAB SEORANG PENCERAMAH DALAM MAJLIS ILMU Oleh Datuk Mohamad Din bin Yusoh
Saya mula belajar di Sekolah Menengah Arab Al-Junid, Singapura pada awal tahun 60an dan Insya-ALLAH pada 25 November 2017 nanti Alumni Al-Junid akan mengadakan perayaan sempena 90 tahun Sekolah Menengah Arab Al-Junid ditubuhkan. Saya akan turut ke sana pada hari tersebut. Sekolah ini 100 peratus mata pelajarannya diajar dalam Bahasa Arab, ilmu hisab diajar dalam Bahasa Arab sebab ada kaitan dengan mata pelajaran ilmu faraid, mata pelajaran bahasa Inggeris diajarkan juga. Pada peringkat awal lagi pembelajaran dititikberatkan dari segi Nahu dan Saraf bahasa Arab. Pelajar-pelajar yang datang belajar di Al-Junid ini adalah datangnya dari Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Negara Brunei. Guru-guru atau ustaz-ustaznya pula adalah dari Singapura berbangsa Melayu dan Arab. Ada juga guru yang didatangkan dari Al-Azhar, Mesir. Ketika itu gaji guru / ustaz adalah di antara 70 hingga 80 Dolar Singapura sebulan; berbanding dengan pendapatan penghantar surat ‘despatch’ pun bergaji 120 Dolar Singapura, sebulan. Untuk memperolehi pendapatan tambahan, guru-guru atau ustaz-ustaz ini akan mengajar kuliah Maghrib atau Subuh di masjid. Begitu gigih ustaz-ustaz mengajar kami pada masa itu. Pelajar di Al-Junid tidak dibenarkan bercakap bahasa Melayu. Ada jasus atau pengintip yang memerhati dan akan membuat report jika bercakap bahasa Melayu. Kalau tertangkap dan dilaporkan kepada pihak mudir, pelajar akan dikenakan makan jadam. Begitulah sistem di Sekolah Menengah Arab Al-Junid dari dulu lagi. Saya teringat kata-kata Ustaz Muhamad Ziad kepada saya iaitu ‘Apabila keluar dari Sekolah Menengah Al-Junid, bergiatlah dalam dakwah di mana saja dan mengajarlah di masjid-masjid di mana sahaja, supaya ilmu kamu sentiasa berada dalam dada kamu, tak akan hilang’. Beliau membawa syair Arab – Maknanya, ilmu tanpa amalan seumpama pokok tidak berbuah.
243